> AKTIVITI SENI > Konflik 5 Cempedak hasil 'sentuhan' bakal jurutera ini, dapat respons luar biasa
Konflik 5 Cempedak hasil 'sentuhan' bakal jurutera ini, dapat respons luar biasa
MIMI RABITA, UMP Jumaat | 14 Disember 2018

PEMENTASAN teater bertajuk Friendship mengangkat tema kisah persahabatan dan pertelingkahan antara lima pelajar dalam kelas 5 Cempedak di SMK Warisan. Watak yang ditonjolkan berjaya membawa penonton untuk mengimbau kembali kenangan pada zaman persekolahan.

Karya yang dipentaskan Kelab Waris Theatre baru-baru ini berkisar konflik yang terjadi antara pelajar 5 Cempedak dengan para guru, ditambah pula kisah percintaan serta kisah lampau dua sahabat baik Pok Tam dan Bird yang mempunyai isu berbangkit telah menghidupkan lagi kemeriahan di kelas 5 Cempedak.

Aksi pelakon yang berjaya membawa penonton mengimbau zaman persekolahan. (FOTO UMP)

Justeru, tidak hairanlah jualan tiket pada kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan warga UMP sendiri dengan lebih daripada 300 tiket berjaya dijual.

“Penonton pastinya tidak menyangka jangka masa latihan produksi hanyalah sekitar dua minggu sahaja. Tempoh latihan yang singkat bukanlah penghalang bagi pasukan produksi Friendship untuk menonjolkan sebagai sebuah karya yang hebat kerana mempunyai bakat besar yang dimiliki oleh para pelakon sendiri,” ujar pengarah produksi Friendship, Mohamad Lokman Idris yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Asli (FKASA).

Lebih dikenali sebagai Lo’i, 20, dia sangat berbesar hati kerana diberikan kepercayaan dalam mengendalikan karya agung dihasilkan sendiri oleh Muhammad Fuad Ahmad Nasser yang merupakan seorang karyawan berpengalaman dan pernah mewakili negeri Pahang pada Festival Teater Malaysia baru-baru ini. Ditambah pula dengan tenaga produksi publisiti yang mantap, sememangnya sangat membantu karya ini agar menjadi bualan orang ramai.

Beraksi sebagai budak sekolah yang mencuit hati penonton. (FOTO UMP)

Menjadi seorang pengarah buat pertama kalinya ini, sememangnya mencabar dirinya seterusnya menjadi satu titik permulaan buat beliau untuk keluar dari kepompong zon selesa sebagai seorang pelakon dan belajar untuk menjadi pengarah yang baik setanding pengarah filem dalam industri seni di luar sana.

Katanya, antara cabaran lain yang dihadapi dalam mengendalikan produksi ini juga ialah kekangan masa, tempat latihan yang terhad juga barisan pelakon baru yang kehausan pengalaman dan tunjuk ajar.

Namun begitu, produksi yang bertulang belakangkan seramai 76 orang ini, dilihat sebagai satu sumber kekuatan buat pengarah sendiri untuk meneruskan perjuangan tersebut hingga ke akhir.

Menurutnya, teater sememangnya tidak mampu membuatkan kita kaya dengan harta benda, sebaliknya menjadikan kita kaya dengan ilmu dan juga pengalaman. Dengan tagline Teater Memanusiakan Manusia, kepuasan dalam menyertai teater ialah perasaan cinta, kasih dan sayang dapat dikongsi bersama penonton.

Sebahagian mahasiswa UMP yang menjayakan pementasan teater Friendship. (FOTO UMP)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Baru-baru ini melalui perkongsian di aplikasi WhatApp, seorang kenalan penulis berkongsi sebuah video nostalgia membandingkan suasana dahulu dan kini kampus Universiti Sains...
MELAKA - Mungkin bagi sesetengah orang ikan laga atau pelaga hanyalah ikan picisan tetapi bagi Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam, 22, ia memberi makna yang besar dalam...
Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.
Kalau dahulu bidang jahitan lebih sinonim dengan kaum hawa, namun kini bidang tersebut dilihat turut mendapat permintaan di kalangan kaum lelaki, bersesuaian dengan perubahan zaman...
Cuti semester tidak seharusnya dipersia tanpa dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Menyedari hal ini, Youth of Happiness (YOSH) mengambil langkah proaktif dengan melatih...
Pusat Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) bekerjasama dengan syarikat alumni Usim, Tunas Duta Cemerlang (TDC) melalui Program Kebolehpasaran Mahasiswa sebagai Duta TDC...