> APIIT, UniSZA cemerlang dalam reka bentuk dan inovasi automotif PD3C 2018
APIIT, UniSZA cemerlang dalam reka bentuk dan inovasi automotif PD3C 2018
YANG LATIFFA AHMAD KAMILY, DRB-HICOM Selasa | 18 Disember 2018

PEKAN – Upacara penutupan peringkat akhir cabaran PROTON-DRB-HICOM University Creative Car Challenge (PD3C) telah menyaksikan penyertaan bakat-bakat muda daripada lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang mempamerkan kemahiran dan kreativiti dalam reka bentuk automotif dan bidang teknikal.

Berlangsung di DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM University) dari 6 hingga 8 Disember lalu, PD3C yang diadakan buat julung kalinya ini telah menarik penyertaan hampir 200 pelajar IPT bersaing di dalam tiga kategori berkaitan dengan industri automotif iaitu 13 pasukan bagi kategori PROTON & DRB-HICOM University Creative Car Challenge, PROTON & DRB-HICOM University Car Modelling Challenge (9 pasukan) dan PROTON & DRB-HICOM University Design Battle (33 penyertaan).

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang, Naib Canselor DRB-HICOM University, Prof Datuk Sr Dr Omar Osman berkata, penyertaan bakat baru dalam industri automotif kini amat memberangsangkan dan pertandingan ini telah mencungkil bakat dan kemahiran penuntut IPT yang telah mencipta berbagai reka bentuk kereta unik dengan inovasi dan kemahiran teknikal tinggi, dari casis model kereta Proton.

Para pemenang PD3C 2018. (FOTO DRB-HICOM)

“Sesetengah peserta mahir dalam reka bentuk kereta, manakala lainnya mahir pula dalam aspek teknikal. Saya melihat ini sebagai perkembangan positif untuk industri automotif negara, dan sebagai pemain industri kami perlu membantu bakat-bakat muda ini berkembang supaya mereka boleh melangkah lebih jauh.

“Saya percaya DRB-HICOM dan Proton boleh berperanan sebagai tunjang utama dalam membantu mengembangkan bakat mereka. Industri automotif tempatan boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dengan bakat-bakat muda yang kita ada,” katanya.

DRB-HICOM University katanya lagi, akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan penyertaan pertandingan sedemikian ke sekolah-sekolah.

"Ini kerana perkembangan kreatif seharusnya dipupuk di peringkat sekolah supaya mereka yang berbakat dengan idea-idea yang unik boleh dicungkil dan dibawa ke hadapan," tambahnya.

APIIT juara cabaran PROTON & DRB-HICOM University Creative Car Challenge

Bagi kategori PROTON & DRB-HICOM University Creative Car Challenge yang menawarkan pingat emas dan wang tunai berjumlah RM7,000 telah dimenangi Asia Pacific University of Technology & Innovation (APIIT) dengan reka ciptanya yang dinamakan Invictus.

Inivictus (APIIT). (FOTO DRB-HICOM)

Invictus merupakan kereta konsep direka untuk generasi Z yang diasaskan dari Proton Preve. Ia mempunyai reka bentuk futuristik, ciri-ciri canggih dan inovasi berteknologi tinggi seperti kawalan sentuhan pintar, sistem pintar A.I, kamera pandangan sisi bersepadu dan pintu yang menggunakan sistem pengenalan wajah (imbasan wajah).

Universiti Malaya pula menduduki tempat kedua dengan Scrumptious Food Car (diasaskan dari Proton Saga), diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di tempat ketiga dengan Deutro (diasaskan dari Proton Suprima S) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di tempat keempat menerusi Envysage (diasaskan dari Proton Preve).

Scrumptious Food Car (UM). (FOTO DRB-HICOM)

UniSZA cemerlang juara cabaran PROTON & DRB-HICOM University Car Modelling Challenge

Dalam kategori PROTON & DRB-HICOM University Car Modelling Challenge yang merupakan cabaran reka cipta model kereta konsep berskala 1:4, telah dijuarai UniSZA dengan rekaan Tigres, tempat kedua dimenangi Politeknik Ibrahim Sultan sementara tempat ketiga Universiti Teknologi Mara (UITM).

Tigres (UniSZA). (FOTO DRB-HICOM)

Pertandingan PROTON & DRB-HICOM University Design Battle yang merupakan pertandingan lakaran tangan reka bentuk kereta pula telah dimenangi Mohamed Saiful Abdul Halim dari UniSZA, sementara tempat kedua dimenangi Ahmad Zul Khairi Mohd Othman juga dari UniSZA dan tempat ketiga oleh Khoo Wern Sheung dari APIIT.

Upacara penutupan PD3C ini telah disempurnakan Naib Canselor DRB-HICOM University, Prof Datuk Sr Dr Omar Osman dan turut dihadiri Pengarah Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM), Prof Madya Dr Mohamad Hariri Abdullah.

DRBH U (FOTO DRB-HICOM)

PD3C telah dianjurkan dengan kerjasama Proton sebagai penaja utama dan Majlis Reka Bentuk Malaysia sebagai rakan teknikal.

Misi utama PD3C adalah untuk menyemai budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar jurusan automotif dan pensyarah pelbagai IPT selain berhasrat untuk menjadi medan utama untuk memacu bakat-bakat muda yang sedang berkembang dalam industri automotif.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
PEKAN - Pelajar lepasan sekolah yang ingin meneruskan pembelajaran di pusat pengajian tinggi, terutamanya dalam bidang automotif kini mempunyai pilihan yang mana DRB-HICOM...
SHAH ALAM - DRB-Hicom University of Automotive Malaysia (DRB-Hicom University) baru-baru ini telah merangkul juara dalam pertandingan WorldSkills Malaysia bagi Kategori Belia...
CYBERJAYA - Pusat Rekabentuk Penjenamaan & Pembungkusan Limkokwing, hari ini menandatangani MoA (Memorandum Perjanjian) dengan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS)...
Program Karnival Sekolah/Kluster Angkat (Kaska) 2017 anjuran Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) tahun ini dilaksanakan dengan melibatkan Science, Technology,...
Ciptaan ini mampu mengelak pencemaran alam melalui pembuangan sisa berkenaan.
PUSAT Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES) dengan kerjasama Centre Of Technopreneurship Development (CTeD) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan...