> PAHANG > Bakal jurutera hebat di pentas teater!
Bakal jurutera hebat di pentas teater!

PEKAN - Tidak semua orang dilahirkan berbakat atau dikurniakan bakat. Malahan, jika tidak digilap atau dicungkil, memang kita tidak akan tahu kemampuan diri sendiri.

Begitu juga buat Nurul Atiqah Mohd Aidi, atau dikenali sebagai Ika, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang dahulunya seorang pemalu dan kurang menonjol kini tampil berani dan yakin di khalayak ramai.

Bermula dengan menyertai pertandingan Drama English sewaktu di bangku sekolah dengan sekadar untuk mencuba dan mencari pengalaman baharu, Ika, 23, tidak menyangka berjaya dipilih mewakili sekolah ke peringkat daerah.

Sejak itu, beliau mencari peluang mempelajari teater dan tarian bersama guru yang aktif dalam bidang kebudayaan di SMK Taman Jasmine 2, Kajang, Selangor, kemudian sering menonton persembahan teater di Istana Budaya seperti Mahsuri, Mana Setangginya, Badai Semalam, Menggamit Kenangan 60’ an, Natrah dan lain- lain.

“Sewaktu saya di tingkatan 3, saya pernah menyertai produksi teater bertajuk ‘Forest’ yang terdiri daripada kanak kanak autism sebagai krew. Teater tersebut adalah sebuah persembahan untuk Malaysia Books of Records,” katanya.

Beliau tidak menyangka minatnya ini dapat dikembangkan di UMP. Banyak kemudahan dan program yang memberi peluang mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Nurul Atiqah Mohd Aidi, atau dikenali sebagai Ika

“Di UMP, saya merupakan ahli yang bergiat aktif dalam Kumpulan Teater Senandika, Sekretariat Kebudayaan & Kesenian (SKK). Bermula dengan teater Taubat (2016) yang merupakan program untuk mencungkil bakat pelajar tahun satu seterusnya terpilih bagi sebuah pementasan kolabrasi bersama Waris Theater Production, SKK dalam teater DORM 12,” ujar beliau.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang begitu meminati bidang pementasan teater ini pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Harapan pada tahun 2016 dan mendapat Anugerah Persembahan Terbaik (DORM12) oleh Pusat Sukan & Kebudayaan.

Beliau pernah menyertai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Zon Pahang anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan mendapat tempat keempat.

Pada tahun 2017, beliau telah mendapat peluang menyertai Festival Teater Pahang (FTP) dengan membawa naskah 'ASRAMA-RA' karya Khairunazwan arahan sahabatnya, Fendi Shah.

“Kami dinobatkan sebagai Juara dalam FTP dan telah mendapat kelayakan 6 kumpulan teater terbaik Malaysia yang layak ke peringkat akhir dan Naib Juara dalam Festival Teater Malaysia (FTM) 2018,” katanya.

Ika bersama rakan-rakan meraikan hari kemenangan mereka dalam salah satu pertandingan

“Penglibatan saya tiada terhenti di sini, saya masih bergiat aktif dalam beberapa pementasan dalaman UMP seperti teater Selamat Tinggal Bunga Ku, Rumah Lama Kampung Baru, Penglipur dan lain-lain,” ujarnya.

Ika berkata, beliau akan cuba membahagikan masa dengan sebaik mungkin. Sewaktu kelas, dia akan fokus dan memastikan memahami sesuatu subjek dan akan mengulangkaji bersama rakan tentang subjek-subjek yang kurang mahir ataupun menyiapkan tugasan (assignment) yang ada di perpustakaan.

Selain itu, beliau juga mempraktikkan belajar selepas waktu latihan teater. Kebiasaannya waktu latihan dari jam 9 malam hingga ke 12 tengah malam. Ika akan mengambil masa dalam dua jam untuk belajar lepas dari waktu latihan.

Salah satu pementasan teater yang dilakonkan oleh Ika bersama rakan-rakan

Hasrat Ika, beliau ingin menjadi seorang jurutera dalam bidang mekanikal. Sementara itu, Ika berharap agar masyarakat awam dapat menghargai seni teater kerana teater akan membentuk jiwa kita menjadi manusia yang lebih berkualiti. Aktiviti teater harus dipertahankan dan tidak dipinggir oleh arus pembangunan dan gajet .

Beliau juga berharap agar pencinta-pencinta teater dapat berjuang dan meneruskan minat mereka dalam bidang ini agar dapat terus diwarisi generasi yang serba boleh dan semoga Sekretariat Kebudayaan & Kesenian UMP terus maju dan semakin matang dalam membentuk pelapis Kumpulan Senandika & Waris di masa akan datang.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
TRANSISI dari zaman sekolah ke era kampus, dari zaman 'mentah' ke permulaan dewasa menjadikan seseorang mudah terdedah dan terpengaruh dengan persekitaran termasuk dalam...
ADIK-BERADIK merupakan insan yang paling terdekat jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.
Dalam menghadapi dunia pendidikan yang semakin mencabar, seramai 13 orang pensyarah dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) Kolej UNITI telah menghadiri Kursus Pengurusan...
Hari konvokesyen sememangnya saat-saat yang dinantikan oleh semua mahasiswa/siswi. Setelah berpenat lelah mengharungi cabaran dalam menuntut ilmu, sudah tentu bibir mengukir...
KESUNGGUHAN ibunya yang merupakan ibu tunggal menjaga keluarga dijadikan sebagai inspirasi utama dalam kejayaan Pavithra Panir Selvam, 24, graduan Bacelor Pendidikan (Pengajaran...
PASIR PUTEH - Tidak ada rahsia besar untuk anak kelahiran Machang ini mengekalkan kecantikan selain mengaktifkan gaya hidup sihat dan mewujudkan keceriaan dalam kehidupan...