> Penyelidik Usim cipta permainan berkonsep gamifikasi, pupuk kesedaran halal
Penyelidik Usim cipta permainan berkonsep gamifikasi, pupuk kesedaran halal
NUR SHARIEZA ISMAIL 24 December 2018

Memilih yang halal adalah keperluan dan kewajipan yang harus dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

Kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang konsep halal juga perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa dalam konteks pemakanan, pakaian, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain.

Sebagai sebuah badan yang berautoriti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meletakkan beberapa garis panduan berhubung prosedur pensijilan halal, 'Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia' bagi menjamin status halal terhadap produk-produk yang digunapakai oleh masyarakat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, tahap kesedaran masyarakat terutamanya dalam kalangan usahawan produk makanan Muslim terhadap kepentingan pensijilan halal masih lagi rendah.

Menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, hanya 10 daripada 30 usahawan produk makanan yang berdaftar di bawah DPMM mempunyai sijil halal.

Persepsi bahawa produk dihasilkan oleh orang Islam adalah halal menjadi salah satu faktor kurangnya permohonan sijil halal daripada usahawan Muslim selain kos permohonan yang dianggap membebankan.

Sebenarnya, pensijilan Jakim tidak hanya melihat kepada sumber atau bahan mentah digunakan dalam proses penyediaan sesuatu makanan tersebut semata-mata, sebaliknya ia melangkaui aspek kebersihan, kesucian, keselamatan dan kualiti.

Bertitik tolak daripada hal inilah, sekumpulan penyelidik dari Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) diketuai Timbalan Pengarahnya, Prof Madya Dr Azman Ab Rahman merangkap Ketua Pereka telah membangunkan suatu permainan ilmiah dikenali Global Halal Game (GHG).

GAMIFIKASI TINGKAT KESEDARAN HALAL

Menurut Dr Azman,GHG diperkenalkan menggunakan konsep gamifikasi untuk meningkatkan kesedaran berkaitan halal kepada masyarakat seawal usia kanak-kanak.

"GHG adalah permainan papan ilmiah, dibangunkan secara khusus berasaskan sukatan pelajaran pendidikan Islam sekolah rendah dan sekolah menengah dan 'Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia' bagi menerapkan konsep didik hibur dan interaktif dalam pendidikan halal.

Katanya, objektif GHG dibangunkan adalah untuk merealisasikan GHG sebagai produk nilai tambah dalam pemasaran bidang halal di negara termasuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan industri halal melalui medium pembelajaran yang interaktif.

GHG bukan sekadar permainan

"Selain itu, GHG juga dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan halal dan proses permohonan sijil halal serta menjadi salah satu alternatif dakwah kepada umat Islam dalam memahami konsep halal secara menyeluruh,” katanya.

INOVASI KAEDAH LATIHAN PEMBELAJARAN INTERAKTIF

Menurut Dr Azman, GHG amat relevan dari sudut kebolehgunaan yang mana akan menjadi salah satu kaedah latihan kepada eksekutif halal syarikat-syarikat tempatan mempelajari konsep halal secara menyeluruh.

"GHG juga adalah transformasi dan inovasi baharu dalam meningkatkan kefahaman masyarakat dan pelajar di institusi pendidikan terhadap kepentingan halal.

"Manakala dalam konteks pendidikan, ia dapat mewujudkan konsep didik sambil berhibur dengan menggunakan permainan ilmiah GHG sebagai alat bantu mengajar dan sangat relevan dengan corak Pendidikan Abad ke-21 (PAK21) yang membentuk suasana pembelajaran aktif serta interaktif antara guru dan pelajar,” katanya.

SESUAI JADI BAHAN RUJUKAN

GHG sesuai dijadikan bahan rujukan santai di samping menjadi bahan latihan dan alat bantu mengajar di dalam kursus-kursus berkaitan prosedur halal.

Dalam pada itu katanya, GHG turut diyakini mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pensijilan halal.

"Bagi golongan profesional dalam bidang persijilan halal Malaysia, mereka dapat mengukuhkan lagi kemahiran pengurusan halal dalam kalangan eksekutif dan pelajar berkaitan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

"Permainan ini secara tidak langsung melahirkan eksekutif yang profesional dan cekap dalam pengurusan pensijilan halal.

"GHG mampu memperkenalkan serta mempromosikan institusi berkaitan penyelidikan dan pengurusan halal Malaysia di persada dunia seperti institusi-institusi pengajian tinggi dan COE (Ihram), Pusat Latihan Halal (Risda, HDC, MTDC), Badan-badan Autoriti (Jakim, Main, PPIM) dan Pengusaha Produk Halal.

"Selain itu, GHG juga mampu menjadi salah satu medium alat bantu mengajar bagi subjek dan topik pensijilan halal di institusi pendidikan negara dan global termasuk sebagai satu kaedah latihan kepada eksekutif halal, pegawai-pegawai agama Islam dan masyarakat berkaitan prosedur pensijilan halal di Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

HARAP KERJASAMA SEBAR LUASKAN PRODUK INI

Menurut Dr Azman, produk GHG ini dalam proses semakan oleh Bahagian Hab Halal Jakim bagi memastikan ia benar-benar seiring dengan keperluan dan kehendak semasa.

Beliau turut mengharapkan jalinan kerjasama daripada mana-mana pihak atau syarikat yang berminat untuk meluaskan rangkaian produk ini.

"Diharapkan GHG dapat menjadi platform mempromosikan industri halal di Malaysia dan di persada dunia. GHG juga diyakini boleh menjadi medium dakwah berkesan dalam usaha meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang halal dan kepentingan permohonan sijil halal Malaysia.

"Semoga dengan memperkenalkan GHG di setiap lapisan masyarakat menjadi usaha murni Usim dalam memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan halal di serata dunia,” katanya sambil memberitahu GHG telah memenangi anugerah emas dalam pertandingan inovasi pengajian Islam dan bahasa Arab pada 2018 anjuran Usim.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Pelajar dari negara Tembok Besar China dan UUM berpeluang menyelami adat dan budaya Melayu dalam program Bakti Siswa (BAKSIS) di Kampung Felcra Belimbing Tualak, Kuala Nerang,...
BARU-BARU ini kerajaan telah mengumumkan akan mengambil langkah mengharamkan penggunaan straw plastik bermula 1 Januari 2020 yang memberi pelbagai reaksi netizen di media sosial....
PROGRAM latihan industri adalah tidak asing lagi kepada mahasiswa yang mengikuti program diploma mahupun ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi. Ia merupakan fasa yang...
KUALA TERENGGANU - Jam menunjukkan 8.40 malam, suasana Pantai Chagar Hutang di Pulau Redang, Terengganu gelap gelita. Kelihatan dua ekor penyu Agar timbul di permukaan Laut China...
MENEROKA alam pekerjaan sememangnya suatu tempoh yang amat sukar bagi sesetengah individu setelah bergelar graduan. Tidak asing lagi sekiranya para graduan kini memperoleh kerjaya...
NILAI - Persiapan hampir dua tahun pasukan Rumah Solar Mizan (MizanHome) yang diterajui oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)...