> AKTIVITI KAMPUS > 'Saintis' Komuniti Rose turun ke desa perkasa bidang STEM
'Saintis' Komuniti Rose turun ke desa perkasa bidang STEM
MIMI RABITA, UMP 4 January 2019

PENGANJURAN program Saintis Turun ke Desa oleh Komuniti Renaissance of Science Educators (Rose) yang dianggotai oleh gabungan pensyarah, mahasiswa dan alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) mampu meningkatkan tahap celik dan minat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda serta komuniti setempat.

Program yang berlangsung di Kampung Kuala Wau, Maran baru-baru ini melibatkan seramai 60 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Kampung Kuala Wau, Maran bagi menyasarkan perkembangan potensi individu secara menyeluruh.

Ia juga membabitkan seramai 15 orang guru dan 16 keluarga angkat dengan dikendalikan oleh seramai 70 fasilitator dalam kalangan mahasiswa UMP yang sedang mengikuti program Teknologi Bahan, Bioteknologi Industri dan Kimia Industri.
Jalinan kerjasama dua hala antara UMP dengan pihak sekolah dalam menjayakan program STEM di sekolah. (FOTO UMP)

Hadir merasmikan program, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Mohamed Bakri Abdul Malek yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kuala Wau (SKKW), Saharul Nizam Haji Bahaman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais dan pengarah program, Ts. Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir @ Lokman.

Menurut Dr. Wan Azhar, pihaknya menzahirkan perasaan bangga terhadap kejayaan program ini yang merupakan salah satu usaha UMP dalam meningkatkan minat pelajar sekolah dalam bidang STEM.

"Program ini secara langsung dapat mendukung Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan STEM iaitu melahirkan murid-murid berliterasi STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasikan serta mengintegrasikan konsep STEM dalam penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif.

Demonstrasi Sains dalam mengenal pasti, mengaplikasikan serta mengintegrasikan konsep STEM dalam penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif. (FOTO UMP)
“Matlamat pendidikan STEM perlu diperkasakan kerana semakin banyak aplikasi teknologi melibatkan mesin dan komputer telah direncanakan di dalam Revolusi Industri ke-4. Fenomena ini bukan lagi terfokus dalam konteks industri malahan dalam segala operasi rutin dan harian di dalam komuniti. Kita juga bakal menyaksikan kewujudan pelbagai pekerjaan baharu yang tidak lagi terfikir bentuknya,” ujarnya.

Beliau mengharapkan dengan usaha ini lebih ramai ahli akademik, teknologis, alumni dan mahasiswa UMP akan berganding bahu, berkongsi idea untuk menggalakkan pembangunan bakat dalam bidang STEM.

"Diharap program sebegini akan mendapat perhatian dari pihak industri sebagai pemegang taruh untuk turut serta dalam agenda pembangunan negara," tambahnya.

Sementara itu, Dr. Saifful berkata, dalam program ini, pelajar sekolah dilatih berfikir secara kritikal dan logik melalui hasil uji kaji Sains dan Matematik menggunakan sumber yang terdapat di kampung halaman.

"Selain itu, program juga membimbing pelajar memupuk sikap berkeyakinan tinggi dalam membuat keputusan melalui kaedah hipotesis bersandarkan fakta serta menunjukkan suri teladan terhadap aspek kerohanian termasuklah menanam sifat jujur, amanah, suka berkongsi ilmu juga kepimpinan," jelasnya.

Pihaknya juga telah menjalankan beberapa program lain termasuklah Lighting Up the Community, Kem Saintis Muda dan Science Hero di beberapa sekolah sejak tahun 2017 sebagai pendedahan awal yang dapat mengurangkan persepsi segelintir pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik yang dianggap agak sukar dan tidak dapat melihat mengaplikasikannya di luar kelas.

Dr. Wan Azhar bersama pensyarah dan pelajar sekolah dalam memupuk semangat cintakan Sains dan Matematik. (FOTO UMP)

Komuniti Rose UMP ini merupakan ejen intervensi pembelajaran STEM yang menggunakan pendekatan terbaharu seperti elemen teknologi, permainan dan pendekatan suri teladan bagi menarik minat pelajar.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUANTAN - Graduan pada masa kini diingatkan agar mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran sampingan dan bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan yang tercatat pada segulung...
MERLIMAU - Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) terus bergerak seiringan dengan pihak industri terutama dalam aspek inovasi sekali gus memberi potensi dikembangkan atau dikomersialkan...
BATU PAHAT – Teruja untuk merasakan pengalaman berkhidmat kepada masyarakat di luar negara adalah salah satu respons daripada salah seorang dari 20 peserta program Mobiliti...
PUSAT ANGKASA TSUKUBA – Pengesan sinaran yang menggunakan fiber optik pintar ciptaan tiga saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dihantar oleh Agensi Penerokaan Angkasa...
Persidangan Antarabangsa Pembelajaran dan Pembangunan Guru (ICTLD) kali ke-4 diadakan selama tiga hari bermula 14-16 Ogos 2018 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Penganjuran...
Graduan daripada Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong Muhammad Nur Hakimi Maiden 22, dari jurusan Kenderaan Perdagangan terkejut dipilih sebagai graduan bertuah...