> AKTIVITI KAMPUS > Fenomena kesyukuran belia sempena tahun baru 2019
Fenomena kesyukuran belia sempena tahun baru 2019
AMYRAH MUJAHIDAH, YKDMM 4 January 2019

PUTRAJAYA – Kadar peningkatan gejala sosial dilaporkan sangat tinggi ketika sambutan Tahun Baru, Hari Kekasih atau tarikh-tarikh sambutan hari keramaian di Malaysia.

Menurut statistik dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 14 Februari 2018, seramai 12,117 remaja terlibat dengan kes remaja hamil luar nikah dalam lingkungan umur 10 hingga 19 tahun. Secara purata setiap bulan sebanyak 1,500 kes remaja hamil menjadikan 50 kes dilaporkan dalam sehari sementara seramai 296 bayi dibuang dengan hanya 103 bayi ditemui masih hidup, sementara 193 ditemui sudah meninggal dunia.

Sambutan Tahun Baru sepatutnya menjadi satu kerahmatan umat Islam untuk memperbaiki diri dan kehidupan ke arah kebaikan. Bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam ayat Surah At-Taubah, ayat 36 yang bermaksud; “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah 12 bulan (sebagaimana) dalam ketetapan ALLAH pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam 4 bulan itu dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa ALLAH berserta orang-orang yang takwa.”
Sembang Santai Tahun Baru bersama panel, Tuan Ahmad, PU Amin dan Ustaz Hanif selaku moderator. (FOTO YDKMM)

Sempena menyambut tahun baru 2019, Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) mengadakan Program Ambang Gema Syukur (AGS) pada 31 Disember 2018 dan 1 Januari 2019. Tujuan program ini adalah untuk mengajak masyarakat untuk bersama-sama membendung aktiviti tidak bermanfaat semasa tahun baru. Penganjuran kali ini adalah yang kedua selepas kejayaan AGS 2018 di Masjid Asy-Syakirin KLCC tahun lalu.

Persembahan oleh Fitri Haris. (FOTO YDKMM)

Antara pengisian menarik sepanjang program ini adalah New Year Quran Hour, Sembang Santai Tahun Baru bersama Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli dan PU Amin bersama Moderator Ustaz Hanif Nasaruddin; Muhasabah Sejuta Bersujud bersama jurulatih Kecerdasan Emosi dan Spiritual ACT Consulting Sdn. Bhd, Firdaus Djamaris; Konsert Amal Ambang Gema Syukur bersama Fitri Haris; Kuliah Subuh Tahun Baru bersama Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Hj Hashim Hj Salleh dan Borak Santai bersama Pengarah Unit Cawangan Khas PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam slot YOSH Mega Gathering.

Muhasabah Sejuta Bersujud bersama Firdaus Djamari. (FOTO YDKMM)

Program dihadiri lebih 500 penduduk sekitar ini tidak akan berjalan lancar tanpa kesungguhan dan kerjasama jitu Ahli Jawatankuasa (AJK) dan juga Sukarelawan Youth of Strength and Happiness (YOSH) yang bertungkus-lumus membuat persiapan dan memastikan kelancaran program.

Menariknya, sukarelawan YOSH ini sebahagiannya terdiri daripada golongan profesional (doktor, jurutera, pensyarah, usahawan) dan kebanyakannya adalah penuntut dari institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Pusat Asasi UiTM Dengkil, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) cawangan Bangi, Politeknik Sultan Idris, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) dan Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh).

Para peserta melaksanakan qiamulail dan solat Subuh berjemaah. (FOTO YDKMM)

Salah seorang peserta dari Uniten, Anas telah berkongsi pengalamannya ketika program Ambang Gema Syukur 2019.

“Setiap kali tahun baru, pasti ramai yang merungut dengan sesuatu yang tidak kena dengan sambutannya. Tetapi di Ambang Gema Syukur 2019, aktiviti pentarbiahan itu berlangsung dari malam hingga subuh. Selepas kuliah subuh, sukarelawan berkumpul untuk aktiviti mengikut modul yang dirancang sehingga ke petang. Secara keseluruhannya, program ini memberi manfaat kepada pemuda kini. Saya berharap program ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang," katanya.

Ahmad Umair menyerahkan baju YOSH kepada Ayob sebagai tanda penghargaan atas kesudian hadir ke program Ambang Gema Syukur 2019. (FOTO YDKMM)

Selain itu, ketika slot istimewa Borak Santai: Sukarelawan Ekstremis?, Datuk Ayob menyatakan sokongannya kepada usaha murni yang dilakukan oleh para sukarelawan YOSH yang menjalankan program-program kebajikan.

“Saya berharap YDKMM bebas daripada sebarang gerakan ekstremisme dan saya sendiri yang akan menapis (mengambil tindakan) sekiranya terdapat unsur-unsur yang mengaitkannya dengan gejala ekstremisme," ujarnya.
Para peserta Ambang Gema Syukur 2019. (FOTO YDKMM)

Semoga dengan penganjuran program Ambang Gema Syukur ini memberi manfaat kepada semua seterusnya membentuk mereka menjadi ejen yang mengubah diri dan orang lain untuk berusaha mencapai kejayaan hidup, baik di dunia dan juga di akhirat.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Bersempena cuti sekolah Disember lalu, seramai 88 orang belia Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) sanggup mengorbankan cuti hujung minggu mereka untuk turun padang...
GOPENG - Dalam dunia teknologi yang penuh cabaran ini, mahasiswa dituntut untuk sentiasa mempersiapkan diri dengan kemahiran komunikasi dan kepimpinan yang baik sebelum melangkah...
MESIR - Tanggal 19 Oktober 2018 mencatat sejarah tersendiri khususnya bagi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia Cawangan Mesir (YDKMM Mesir) dengan penglibatan delegasi YDKMM...
TANGGAL 23 September lalu memberi satu pengalaman baharu kepada seramai 200 sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan apabila terlibat dalam program...
Masjid Sultan Badlishah bergema dengan selawat salam ke atas junjungan besar Rasulullah dan iringan doa
Paradoxx Ventures daripada Fakulti Pengurusan dan Peniagaan akan menganjurkan Instameet Malaysia 2018 pada 8 Disember 2018 di Eco Grandeur, Puncak Alam. Program ini merupakan...