> PERAK > Scholar's Suites Upsi penuhi keperluan hospitaliti
Scholar's Suites Upsi penuhi keperluan hospitaliti
BERNAMA Isnin | 7 Januari 2019

TANJUNG MALIM - Sebagai 'ikon' institusi pengajian tinggi yang menghasilkan ribuan graduan berkualiti dalam bidang perguruan di negara ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) terus berusaha melonjakkan namanya dengan mengembangkan portfolio dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan.

Upsi melalui anak syarikatnya Upsi Holdings Sdn Bhd (USHB) kini memperluas sayapnya dalam bidang perniagaan dengan melancarkan Scholar's Suites yang juga dikenali sebagai Pusat Latihan Hospitaliti bagi merancakkan lagi kemudahan hospitaliti kepada penduduk setempat.

Lokasinya yang strategik di kawasan flora dan fauna serta pergunungan dan air terjun yang menjadi tumpuan pencinta alam di Tanjung Malim, Perak, telah membuka peluang kepada Upsi untuk memperkenalkan kemudahan hospitaliti di kawasan itu.

Terletak di dalam Kampus Sultan Azlan Shah, Scholar’s Suites merupakan pilihan tepat bagi mereka mahukan tempat untuk didiami sekiranya berkunjung ke daerah Tanjung Malim.

Berlatarkan Banjaran Titiwangsa, hotel tiga bintang itu yang memulakan operasi pada 11 Okt 2018 diuruskan oleh Upsi Holdings Sdn Bhd (UHSB), anak syarikat milik penuh Upsi.

Manfatkan komuniti

Naib Canselor Upsi Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kemudahan penginapan itu dapat memberi manfaat kepada Upsi dan komuniti setempat kerana mampu menjadi daya tarikan dan meningkatkan sektor pelancongan di kawasan sekitar Tanjung Malim.

Ketiadaan kemudahan hospitaliti yang sesuai di daerah ini menyebabkan ramai yang perlu ke Kuala Lumpur dan Shah Alam bagi mengadakan seminar, kursus dan aktiviti berkumpulan di sana.

“Di daerah ini, tiada kemudahan seperti dewan ataupun tempat penginapan yang mampu menampung program berskala besar.

“Dengan adanya Scholar’s Suites, kami harap lebih ramai yang akan datang ke sini kerana Tanjung Malim mempunyai daya tarikannya tersendiri,” katanya pada pelancaran Scholar’s Suites baru-baru ini.

Scholar’s Suites mula dibina pada 20 Jan 2014 dan siap sepenuhnya pada 17 April lalu dengan kos RM16.7 juta.

Ia menawarkan 98 bilik penginapan merangkumi 62 bilik standard, 34 bilik deluxe standard dan 2 suite Upsi. Selain itu, terdapat empat dewan seminar yang mampu menampung 100 orang dalam satu-satu masa serta dewan bankuet yang boleh memuatkan sehingga 400 orang.

Seminar dan latihan

Shatar berkata, Upsi berharap Scholar’s Suites digunakan oleh Pusat Tanggungjawab dan Fakulti universiti itu bagi mengadakan seminar, bengkel, kolokium dan pelbagai aktiviti lain untuk membincangkan hal ehwal pendidikan.

Scholar’s Suite juga memberi penjimatan kepada Upsi dalam penganjuran acara berskala besar yang melibatkan pelbagai kos seperti dewan, makanan dan pengangkutan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

“Walaupun baru dibuka, Scholar’s Suite turut menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran pelbagai acara daripada jabatan-jabatan kerajaan serta swasta malah kesemua bilik juga ditempah sepenuhnya semasa istiadat Konvokesyen Upsi ke-20 baru-baru ini,” katanya.

Pusat Latihan Hospitaliti itu juga dimanfaatkan oleh pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional dan universiti awam lain bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang memberi pendedahan dan kemahiran melalui latihan industri yang dijalankan.

Kesemua pelajar itu diberi elaun ketika menjalani latihan industri di situ.

“Bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar dan menjana ekonomi UHSB, beberapa kedai seperti salon kecantikan, butik dan cenderahati bakal dibuka di bawah kelolaan fakuliti masing-masing,” kata Shatar.

Berbeza dengan universiti lain yang mempunyai kemudahan hospitaliti, Upsi bagaimanapun tidak menawarkan program pengurusan perhotelan tetapi yakin kewujudan Scholar’s Suites mampu memberi manfaat kepada pelajarnya.

Selain itu, penduduk sekitar Tanjung Malim juga berpeluang menjadi warga kerja di Upsi dengan adanya lebih 100 peluang pekerjaan dalam beberapa unit di Scholar’s Suite.

“Antara jawatan yang ditawarkan ialah di atendan pengemasan (housekeeping), pembantu/atendan makanan dan minuman, pramusaji dan bagi jawatan yang lebih tinggi di peringkat pengurusan, ia akan dibuka mengikut keperluan,” katanya.

Tarikan Edu-tourism

Scholar Suites juga menjanjikan pengalaman istimewa buat pengunjung untuk mencipta pengalaman termasuk di Upsi Adventure Park.

Upsi mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama Asia yang mempunyai Adventure Park iaitu taman rekreasi yang mempunyai kemudahan ‘challenge rope course’ dengan teknologi terkini bagi aktiviti lasak melibatkan ketinggian.

Selain itu, Upsi Adventure Park mempunyai kolam renang dan trek jogging serta bakal membangunkan sebuah pusat boling.

“Sesetengah kemudahan seperti ‘adventure park’ dikenakan bayaran. Pihak hotel juga menyediakan pakej istimewa buat pengunjung yang menginap manakala fasiliti lain pula boleh digunakan secara percuma,” kata Shatar.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB Prof Emeritus Datuk Wira Ir Dr. Mohd Noor Salleh berkata Scholar’s Suite merupakan penjenamaan yang baik bagi universiti itu dan dapat menjana pendapatan UHSB untuk tempoh yang panjang.

UHSB, yang menyambut ulang tahun ke-10 baru-baru ini, ditubuhkan bagi menyahut seruan kerajaan supaya setiap institut awam perlu mempunyai anak syarikat yang dapat menjana pendapatan untuk universiti.

Sehingga kini, UHSB menjana pendapatan kira-kira RM5 juta menerusi produk yang dikomersilkan seperti MYFIS, MYGURU, program akademik, kursus jangka pendek dan program lain hasil kerjasama dan kepakaran daripada Upsi.

Kerjasama di antara Upsi dan komuniti setempat di daerah Tanjung Malim dapat memberi kelebihan kepada UHSB untuk lebih maju pada masa hadapan.

“Diharapkan dengan adanya Scholar’s Suite, UHSB mampu menjana pendapatan yang lebih agresif pada masa akan datang,” katanya.- Bernama.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - UPSI Holding Sdn Bhd (USHB), anak syarikat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan melancarkan pembukaan Pusat Latihan Hospitaliti atau Scholar’s Suites di...
Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Koir SUKSIS Universiti Awam Malaysia Berikut merupakan butirannya: Tarikh: 12 OGOS 2018 Lokasi:...
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal mengadakan Pesta Buku UPSI Kali Ke-16 dengan anjuran bersama Perpustakaan Tuanku Bainun dan Penerbit UPSI. Berikut merupakan...
TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Top Maxlink Sdn. Bhd. dan Twi- Akademik Binaan Malaysia (ABM) Training...
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) melancarkan Produk Inovasi Komik Stem hasil inovasi penyelidik dari institusi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),...
TANJUNG MALIM - Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) perlu menjadi modal insan pendidik yang berkualiti, kreatif, produktif dan menguasai kemahiran diri menepati...