> > Memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa
Memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa
ZALMIMAZURA ZAHARI Selasa | 8 Januari 2019

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat unik dan ada 'gayanya' yang tersendiri. Selain dijadikan bahasa rasmi di negara ini, bahasa Melayu juga diangkat untuk diperkenalkan di seluruh dunia sebagai salah satu bahasa antarabangsa. Tidak hairanlah, demi mencapai objektif ini, pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan bahasa 'ibunda' ini terus berkembang dan dituturkan di setiap pelosok dunia terutama dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Salah satu pendekatan yang digunakan adalah mewujudkan jalinan kerjasama dengan beberapa universiti luar negara seperti mana yang dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan universiti-universiti tempatan yang lain.

Selain itu, dalam memastikan hasrat ini terlaksana, kerajaan turut menganjurkan beberapa pertandingan melibatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa antaranya Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu (PABM) piala Perdana Menteri yang diadakan setiap tahun.

Pelajar dari negara China mempersembahkan tarian tradisional Melayu.

Menurut penyelaras Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Profesor Madya Dr Goh Sang Seong, bahasa Melayu ialah bahasa yang indah, sopan dan lemah-lembut. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa bahasa Melayu tidak dapat berkembang melainkan penuturnya sendiri yang enggan mengembangkannya.

Pada masa yang sama, populasi yang menuturkan bahasa Melayu menduduki tangga kelima dalam populasi pengguna bahasa sedunia. Berikutan itu, bahasa Melayu wajar diangkat sebagai bahasa antarabangsa atau setidak-tidaknya dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.

"Bahasa Melayu semakin hari semakin mendapat sambutan daripada pelajar antarabangsa dari seluruh pelosok dunia. Namun, pelajar antarabangsa ini tidak dapat menjiwai semangat bahasa Melayu selagi mereka tidak menjejaki alam Melayu, dan merasai sendiri suasana sosiobudaya dan kepenggunaan bahasa Melayu.

"Atas kesedaran inilah, PPIK mengambil inisiatif membuka ruang kepada pelajar antarabangsa yang bermajor Bahasa Melayu atau Pengajian Melayu untuk mengenali dan mendekati bahasa Melayu melalui penawaran yang terdapat di PROPERBM," katanya.

Justeru, matlamat utama PROPERBM adalah untuk mengantarabangsa bahasa Melayu melalui penyaluran ilmu dan pengetahuan tentang bahasa, budaya, pandangan sarwa serta pemikiran Melayu kepada pelajar antarabangsa.

Profesor Madya Dr Goh Sang Seong.

"Pada akhir program ini, diharapkan pelajar antarabangsa akan menjadi penterjemah dan jurubahasa bahasa Melayu di negara mereka, atau setidak-tidaknya menjadi penjalin hubungan persahabatan antara negara asal mereka dengan dunia Melayu," katanya lagi.

PROGRAM YANG DITAWARKAN

Menurut Dr Goh, program PROPERBM ini mula ditawarkan pada semester 1, sidang akademik 2018/2019. Pada semester tersebut, seramai 10 pelajar dari Guangdong University of Foreign Studies, 14 pelajar dari Yunnan Minzu University, dan tiga pelajar dari Hainan College of Foreign Studies telah mendaftar. Daripada 27 pelajar ini, 10 darinya mendaftar untuk satu semester (enam bulan), dan yang selebihnya mendaftar untuk dua semester (12 bulan).

"PROPERBM ditawarkan dalam dua pakej, iaitu pakej A untuk satu semester, manakala pakej B untuk dua semester. Dalam kedua-dua pakej ini, pelajar diajarkan kursus-kursus bahasa, budaya (kompang, wayang kulit, tarian tradisional, dikir barat), tamadun dan falsafah, kesusasteraan, sejarah dan terjemahan.

"Dijangkakan PROPERBM akan menyambut jumlah kemasukan pelajar dari China yang lebih ramai pada semester seterusnya dan selain itu diharapkan juga PROPERBM akan menyuntik keyakinan dan kebanggaan masyarakat Malaysia terhadap bahasa Melayu.

Wakil dari USM menyambut kedatangan delegasi pelajar dari negara China.

"Paling penting, kikis sikap pandang rendah pada bahasa Melayu. Sesungguhnya setiap bahasa mempunyai ciri-ciri keunikannya yang tersendiri, dan bahasa tidak wajar disinonimkan dengan status sosial seseorang," pesan Dr Goh.

XU YANG PELAJAR CHINA JUARA PABM 2018

Baru-baru ini, Xu Yang atau nama Melayunya, Izzah pelajar dari Guangdong University of Foreign Studies telah memenangi pingat johan dalam Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu (PABM) piala Perdana Menteri. Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar antarabangsa yang dilatih dan dibimbing dengan baik mampu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi rasmi secara berkesan.

Xu Yang atau Izzah pelajar dari Guangdong University of Foreign Studies telah memenangi pingat johan dalam Pertandingan Antarabangsa baru-baru ini.

“Apa yang saya lakukan adalah menghafal teks dengan bersungguh-sungguh supaya memudahkan saya mengingati setiap patah perkataan bahasa Melayu. Apabila saya sudah hafal, membuatkan saya lebih yakin untuk bercakap di hadapan penonton,” kata Izzah.

Sesungguhnya PABM membuka gelanggang yang amat berguna kepada pelajar antarabangsa untuk mempamerkan kebolehan berbahasa Melayu mereka kepada kaca mata dunia. Lantarannya, sudah nyata bahawa PABM perlu dianjurkan saban tahun sebagai platform bagi menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Renjer-renjer ini diberi tunjuk ajar cara-cara tukar barangan lama kepada guna semula
Menyedari betapa pentingnya penguasaan dan pemahanan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar, 11 mahasiswa dari Universiti Selangor (Unisel) telah mengadakan satu program yang...
APABILA saya memandu memasuki halaman Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di kampus Gombak, satu perkara yang paling jelas berubah seolah-olah ia cinta pandang pertama...
Pensyarah Biodiversiti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinobatkan Johan bagi Anugerah Pengajaran Transformatif: Tanpa Syarahan dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai...
KUALA LUMPUR - Efficient Frontier Consulting Sdn Bhd mengadakan forum HR Luncheon bertemakan ‘Empowering Employees In The New Malaysia’ di Park Royal Hotel Kuala Lumpur, hari...
Kira-kira 150 pelajar melafaz ikrar pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Ambilan Kedua Semester Pertama Sesi 2018/2019 sekali gus bergelar mahasiswa UUM di Dewan INASIS TM,...