> IKON > Sanggup korban waktu rehat demi Burger Jali
Sanggup korban waktu rehat demi Burger Jali
SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI Selasa | 8 Januari 2019

Di sebalik kesibukan mahasiswa dalam mengejar cita-cita di menara gading, ada sebahagian daripada mereka terpaksa berkorban masa rehatnya dengan bekerja sambilan.

Bagi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi),Muhammad Abdul Samat Mat Hussain, 22, sanggup mengorbankan waktu terluangnya dengan menjual burger bagi tambah pendapatan selain membantu keluarganya di kampung halaman.

Mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu dengan kepujian, Fakulti Bahasa & Komunikasi ini menambah, dia bermula berniaga pada semester keempat apabila mendapat idea daripada rakan-rakannya yang kini menjadi rakan niaga dan kongsi perniagaan burgernya itu.

“Ini semua bermula dengan idea daripada dua orang sahabat saya iaitu Zulhairei Zulkifle dan Arif Faizal yang mahu membuka gerai burger untukmemudahkan para mahasiswa atau penduduk setempat di sini untuk membeli.

“Malah, mereka berdua banyak membantu saya dalam perniagaan burger ini. Ada kalanya mereka juga akan membantu jika saya sibuk dengan kuliah atau aktiviti kampus yang memerlukan saya,” katanya.

Muhammad Abdul Samat berkata,kedua-dua rakannya itu juga turut membantu dalam hal ehwal perniagaannya itu.

“Arif Faizal banyak mengajar teknik membuat burger dan membantu sekali-sekala jika saya ada hal, mesyuarat dan sebagainya, manakala Zulhairie merupakan rakan kongsi saya yang juga membantu ketika saya ada tugasan atau kelas," katanya.

Burger Jali nama watak dalam teater

Ditanya bagaimana dapat nama bagi perniagaan burgernya, Muhammad Abdul Samat menjawab ia adalah nama watak utama yang dilakonkannya sendiri sebelum ini.

Katanya, sebelum ini, dia pernah membawa watak utama sebagai Jali.

Muhammad Abdul Samat bersama-sama pelanggannya yang juga rakannya

Jelasnya, dia yang mula menjual burger dengan harga RM3 sebiji dan ke atas, mampu menjual kira-kira 80 hingga 100 burger setiap malam.

"Kami mula berniaga selepas waktu Maghrib sehingga 12 tengah malam namun ia bergantung kepada pelanggan.

"Malah kami juga mengadakan perkhidmatan mengambil pesanan dan menghantar burger kepada pelanggan kami yang berhampiran dengan gerai kami di Kampus Sultan Azlan Shah," katanya.

Guna duit sendiri dan PTPTN untuk berniaga

Katanya, dia memperoleh modal untuk menerusi simpanan sendiri dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digunakan untuk menjalankan perniagaan burgernya.

Kira-kira RM800 digunakan untuk membeli peralatan dan bahan kering serta basah untuk menjalankan perniagaannya itu.

Keluarga Muhammad Abdul Samat yang banyak memberi semangat pada dirinya.

"Dalam tempoh dua minggu kami bekerja, setelah tolak modal bahan basah dan kering dah boleh dapat duit modal balik.

"Apa yang penting adalah untuk simpan hasil jualan dan tidak membazir dengan membeli barang yang kurang penting," katanya.

Penting bahagikan masa

Mengakui tidak mendapat rehat yang secukupnya kerana perlu membahagikan masanya di antara mencari ilmu pada siang dan bekerja pada waktu malam.

Katanya, dia terpaksa mengorbankan masa rehat pada hari Sabtu dan Ahad kerana menyiapkan tugasannya dan berniaga pada waktu malam.

Muhammad Abdul Samat bersama-sama rakannya yang banyak membantu dalam perniagaanya

"Tapi alhamdulillah untuk satu semester, saya bersama sahabat berjaya menghadapinya walaupun terkejar-kejar dalam urusan harian.

"Saya perlu gigih dan rajin berusaha demi kelangsungan diri dan keluarga terutamanya selain sentiasa bermotivasi dengan keadaan diri dan keluarga untuk mengubah nasib ke arah lebih baik suatu hari nanti," katanya


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
SERDANG - Di sebalik kesukaran kerana terpaksa berulang alik dari Sabah ke Universiti Putra Malaysia (UPM) tiga atau empat kali setiap semester, seorang bapa Murhqah Mohd Neng...
NILAI - Seramai 111 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menyempurnakan ibadah korban di empat negara Global Islamic Student Outreach (GISO). Pegawai Pusat Komunikasi...
Menduduki dalam peperiksaan akhir (CE Exam) 20 hari selepas melahirkan anak kedua tatkala penumpuan fikiran juga terarah kepada anak yang dijaga oleh ahli keluarga di luar dewan...
SABAK BERNAM - Bergelumang dalam dunia perniagaan tudung bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi berdepan dengan pelbagai cabaran. Mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak...
Perasaan sedih jelas terpancar pada wajah keluarga mendiang Pimpisa Rattanadilok Na Phuket yang mewakilinya untuk menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) Anumerta pada sesi pertama...
ADIK-BERADIK merupakan insan yang paling terdekat jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.