> UTeM hasilkan inovasi biomas jana tenaga yang dapat bantu sewaktu kecemasan
UTeM hasilkan inovasi biomas jana tenaga yang dapat bantu sewaktu kecemasan
MOHD KHAIRULHUSAINI MOHD SAAT, UTEM Selasa | 8 Januari 2019

PRODUK berkonsepkan inovasi biomas jana tenaga ini dihasilkan oleh kumpulan siswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terdiri daripada Nagen Krishnan dan Singh Dhillon Gurdir Singh merupakan pelajar Tahun 4 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bersama dengan Penyelia mereka Rahaini Mohd Saad dan Shamsul Fakhar Abd Gani yang juga merupakan pensyarah dari fakulti berkenaan.

Produk tersebut dikenali sebagai Development of Energy Harvesting Mechanism from Burning Process via IoT Based System dibangunkan sebagai alternatif untuk membantu komuniti sewaktu kecemasan seperti banjir dan beberapa keadaan lain yang memerlukan.
Singh Dhillon dan Nagen (dua, kiri) bersama dengan penyelia mereka Rahaini (dua, kanan) sewaktu dinobatkan sebagai juara dalam IIC 2018 Zon Selatan. (FOTO UTEM)

Menurut Nagen, produk ini dihasilkan dengan menggunakan sumber biomas sepenuhnya dan dibakar untuk menghasilkan tenaga elektrik.

“Ia juga dilengkapi dengan sistem IoT bagi memantau penghasilan tenaga yang dijanakan,” katanya.

Tambahnya lagi, sistem ini selari dengan perkembangan momentum kecanggihan teknologi terkini beraliran Revoulusi Industri 4.0.

“Produk ini juga jelas berbeza dengan produk-produk lain yang menjana sumber tenaga menerusi sistem panel solar yang mana memerlukan kos yang tinggi untuk penghasilan di samping terbabit dengan kos penyelenggaraan berkaitan,” jelasnya lagi.

Inovasi ini telah dinobatkan sebagai juara dalam Cabaran Inovasi Inklusif (IIC 2018) Zon Selatan yang membolehkan mereka membawa pulang trofi, sijil penghargaan bersama wang tunai RM5,000.

Trofi, sijil penghargaan bersama wang tunai RM5,000 yang dimenangi dalam IIC 2018. (FOTO UTEM)

Sementara itu, Rahaini berkata, projek inovasi pelajar FTKEE ini telah dipilih untuk mewakili FTKEE UTeM selepas dilihat berpotensi dan mampu diketengahkan setelah melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Dekan FTKEE UTeM, Prof. Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff turut menyatakan bahawa penyertaan FTKEE ke pertandingan inovasi seperti ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkenalkan FTKEE dan UTeM khususnya ke peringkat nasional dan global.

“Penyertaan dari para pelajar juga mampu memberikan satu pendedahan yang sangat berharga kepada mereka dan ia mampu meningkatkan keyakinan dan potensi pelajar-pelajar.

“Saya juga mengharapkan lebih ramai lagi pelajar-pelajar FTKEE mengambil peluang penyertaan seumpama ini sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam merancakkan bidang penyelidikan dan inovasi di negara ini,” katanya.

Kumpulan pelajar UTeM bersama Rahaini (dua, kiri) dan Shamsul Fakhar (kiri sekali) sewaktu meneliti operasi produk inovasi mereka di makmal berteknologi tinggi di FTKEE Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh Melaka. (FOTO UTEM)

Lebih daripada lima puluh produk inovasi dan penyelidikan telah menyertai IIC 2018 yang mereka antaranya dari Universiti Teknologi Malaysia, UNIKL, ADTEC, RISDA dan banyak lagi.

Pertandingan ini merupakan medan inovasi antara universiti awam, swasta serta agensi-agensi dari sektor awam serta swasta dalam mempamerkan pembangunan idea-idea baharu dan seterusnya menambah baik kualiti kehidupan pada masa hadapan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Produk berkonsepkan inovasi biomas jana tenaga oleh kumpulan siswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dinobatkan sebagai juara dalam Cabaran Inovasi Inklusif...
Idea menghasilkan alat ini adalah bagi membantu meringankan permasalahan dihadapi seorang kurang keupayaan terutama sekali pesakit strok dan pesakit yang sentiasa terbaring dan...
PENGKALAN CHEPA - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan 11 produk baharu hasil daripada penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada kemajuan dan pembangunan...
HASIL inovasi para pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya meraih kemenangan besar...
ARAU - “3rd Innovation Competition 2018” yang telah dianjurkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin,Perlis (PTSS) ini telah mencetuskan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan...
MINAT mendalam dan kecintaan kepada alam sekitar ternyata membawa tuah buat Norazlin Hassan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Alam Sekitar) di Fakulti...