> ISU > Kemenjadian mahasiswa bukan warisan
Kemenjadian mahasiswa bukan warisan
PROF MADYA DR AFANDI AHMAD, UTHM Selasa | 8 Januari 2019

Universiti sebagai pusat pengajian tinggi berperanan antaranya untuk melatih mahasiswa dalam bidang tertentu sebelum mereka meneruskan kerjaya dalam bidang masing-masing. Iltizam universiti dalam memperkasa sumber manusia kompeten ini lazimnya digariskan dengan jelas menerusi misi, visi serta falsafah pendidikan universiti masing-masing.

Namun begitu, tempoh pengajian para pelajar yang hanya sekitar empat (4) tahun tidaklah begitu panjang jika dibandingkan dengan harapan dan jangkaan terhadap mereka. Harapan yang bukan sahaja hadir daripada ibu bapa dan keluarga serta universiti, malah tidak kurang hebatnya juga jangkaan daripada bakal majikan, industri serta masyarakat.

Di peringkat sekolah, kemenjadian murid semakin jelas kedengaran. Yang ingin dilahirkan bukan hanya murid yang boleh menghafal dan memuntahkannya menerusi medan peperiksaan, berbangga menayangkan senarai semua A dalam mata pelajaran yang diambil, tetapi jiwanya kosong. Apabila baru-baru ini, pentaksiran baharu tahap 1 melalui kerangka didik dan hibur yang berteraskan pelajar, jelas bermatlamatkan untuk merealisasikan kemenjadian pelajar.

Soalnya, bagaimana pula dengan kemenjadian mahasiswa? Jika kemenjadian mahasiswa ingin diukur berdasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan (GE), pertimbangan yang lebih holistik mesti kita kemukakan. Mutakhir ini, kita melihat bukan sahaja untuk dilahirkan job seeker tetapi lebih mencabar adalah juga untuk melahirkan job creator demi manfaat berganda.

Pada zaman yang semakin VUCA (mudah berubah, tidak menentu, kompleks dan kabur) ini, seiring dengan Jobs Report 2018 oleh World Economic Forum (WEF), jelas sekali kefahaman bahawa kemenjadian mahasiswa bukan suatu warisan memerlukan penelitian. Jika anak-anak pelajar terdahulu cemerlang di peringkat sekolah, proses penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) tidak boleh tidak, mesti terus menerus berlaku di semua peringkat.

Lebih utama lagi, jika dahulu dan hari ini banyak penilaian yang menjurus kepada keupayaan intelektualisme semata-mata, kita memerlukan lebih daripada itu. Dunia sangat memerlukan mereka yang berupaya menyelesaikan masalah yang kompleks demi kebaikan sejagat, dilatih berperanan sebagai penyelesai masalah dan bukan hanya sebagai wira papan kekunci atau golongan hanya baca tajuk! Kita mahu melahirkan mereka yang memiliki perspektif yang luas, yang mana sahaja kita campakkan mereka akan menjadi pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan.

Apabila YB Menteri Pendidikan tidak surut-surut menjelaskan berkaitan empat (4) nilai yang mesti dipasak sedalamnya dalam diri pelajar di semua peringkat, iaitu kasih sayang, kegembiraan, saling menghormati dan manusiawi, ini merupakan isyarat bahawa untuk melahirkan rakyat kelas pertama bukan hanya tentang akademiknya malah lebih luas daripada itu.

DR AFANDI

Justeru di Universiti, peranan bahagian hal ehwal pelajar dan alumni (HEPA) jangan sesekali dianggap sebagai tempelan atau kelas dua. Atau juga hanya sebagai penyelaras mendapatkan pelajar untuk memenuhkan dewan apabila ada majlis rasmi. Soal penarafan dan kenaikan pangkat staf juga mesti dilihat dengan holistik, jika benar universiti mahu melahirkan individu yang menyeluruh. Tidaklah wajar jika yang sibuk diukur hanya berkiblatkan kepada pencapaian H-indeks, bilangan pelajar Sarjana dan PhD bergraduan, nilai geran penyelidikan serta keuntungan pengkomersilan. Mereka yang bertungkus-lumus membangunkan pelajar juga mesti dihargai!

Sudah tentu ada kewajarannya untuk kita mengiktiraf kecemerlangan pihak yang berusaha keras siang malam memacu usaha menjadikan agenda kemenjadian mahasiswa bukan suatu khayalan. Yang menjadi jurulatih membentuk kekuatan mental dan fizikal para pelajar, yang tanpa jemu memberi dorongan dan panduan melahirkan hero bermula dari zero. Juga tidak kurang mereka yang membentuk nilai manusiawi dan mencurah kasih sayang kepada pelajar, menjaga kebajikannya.

Sementelah kemenjadian mahasiswa itu bukan satu warisan dan kelak apabila ramai yang gagal mendapat pekerjaan, Universiti pula yang akan dipersalahkan, ekosistem kampus menyeluruh mesti diperhalusi dan direalisasikan. Untuk staf, berikanlah penghargaan sewajarnya kepada semua pihak yang memainkan peranan menjadikan mahasiswa insan yang unggul. Iktiraf secara saksama bukan bermaksud menggunakan hanya kayu ukur yang sama. Semua pihak yang menjayakan agenda kecemerlangan Universiti mesti dikasihi.

Lantaran kemenjadian mahasiswa itu bukan warisan, tidak boleh tidak usaha gigih itu mesti juga datang dari tuan empunya diri, warga mahasiswa. Tempoh di Universiti tidak boleh hanya ingin menjadi biasa-biasa sahaja dan mengharap bantuan datang ke muka pintu. Lakukan refleksi, rancang keperluan penambahbaikan diri dan rebut semua peluang yang ada. Atas sebab inilah, seawal mahasiswa menjejaki tangga menara gading mesti jelas akan peluang dan cabarannya. Universiti adalah medan ilmu terbuka, terokai sedalamnya.

Ringkasnya, kemenjadian mahasiswa bukanlah permainan silap mata. Andai hari ini mereka mendaftar dan kelak bergraduan semuanya terus menjadi elok-elok belaka dan indah pada pandangan mata. Universiti bertanggungjawab memacu pengalaman kampus yang menyeluruh demi merealisasi kemenjadian mahasiswa. Yang ingin kita lahirkan mereka yang bukan sahaja hebat fizikalnya, tetapi kukuh emosinya, mantap mindanya serta luhur pekertinya. Ingatlah, jika berjaya mereka ramai yang sibuk bersorak memukul gendang, jika tidak menjadi mereka, pihak manakah yang akan ditempelak dan dilabel sebagai gagal? Renung, fikir dan ambil tindakan, demi universiti yang penuh akal budi, memartabat kemuliaan insan.

Penulis, Profesor Madya Dr Afandi Bin Ahmad merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Walaupun memiliki Diploma Kejururawatan, namun ia bukanlah jaminan untuk Noor Ezzreen Abdu Razak atau lebih selesa dikenali dengan panggilan Bunga meneruskan kerjaya dalam bidang...
MERLIMAU – Politeknik Merlimau baru-baru ini telah mengadakan Hari Kerjaya Internship & Career Excellence Day 4.0 dengan kerjasama JobMalaysia Centre Melaka bersempena dengan...
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada 19 Disember lalu
Berkunjung ke Hari Terbuka UNITAR pastinya anda bagaikan berada dalam sebuah karnival yang menyeronokkan. Bukan hanya menyediakan pelbagai maklumat untuk pengunjung, Hari Terbuka...
SERI ISKANDAR - Mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) cukup sinonim dengan bidang sains dan teknologi, namun ia tidak bermakna mereka akan kaku jika diminta untuk...
Dalam usaha membantu peningkatan minat pelajar sekolah dalam bidang pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), sekumpulan pensyarah dari Jabatan...