> CETUSAN > Tahun baru atau tahun baharu?
Tahun baru atau tahun baharu?
MUNSYI - CHAI LOON GUAN, DBP Khamis | 10 Januari 2019

MALAM tahun baharu, 1 Januari 2019 telah disambut oleh warga di seluruh dunia, termasuklah rakyat jelata di negara kita. Penduduk di daerah Muallim yang terdiri daripada masyarakat berbilang ras, agama dan kepercayaan tidak ketinggalan untuk merayakan kedatangan tahun baharu di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Yang pasti, pelbagai acara telah disusun dan dilaksanakan dengan jayanya untuk meraikan kedatangan tarikh tersebut dengan azam, iltizam dan impian yang perlu direalisasikan sepanjang dua belas bulan atau 365 hari yang bakal meniti takwim sepanjang tahun 2019.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, penulis turut terbaca akan uar-uaran atau hebahan dalam Facebook menjelang tahun baharu. Antara lain, terpampangnya brosur ucapan yang wajar dibaca dan direnungi bersama-sama oleh para pembaca, terutamanya pihak berkuasa tempatan ketika menjelang tahun baharu pada tahun-tahun yang akan datang, iaitu:

a. Selamat Menyambut Tahun Baru 2019

b. Sambutan Ambang Tahun Baru 2019

Yang ingin dibicarakan menerusi makalah ini bukan seni grafik brosur ucapan yang cukup mempesonakan khalayak pembaca di laman media sosial dengan jalinan rona-rona seni grafik yang kreatif dan inovatif tetapi ungkapan yang dipaparkan dalam brosur ucapan yang berkenaan.

Persoalan utamanya ialah kewajaran atau kepersisan penggunaan kosa kata, "baru" yang tertera dengan jelasnya pada kedua-dua brosur tersebut. Baru atau baharu?

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), kosa kata, "baharu" digolongkan sebagai kata adjektif waktu, yakni jenis perkataan yang membawa pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan.

Buku Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu, Golongan Kata (DBP, 2017) pula menghuraikan bahawa perkataan, “baharu” tergolong sebagai kata adjektif yang digunakan untuk maksud sifat. Yang jelas, kata adjektif ialah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama atau frasa nama. Kata adjektif, yang juga dikenali sebagai kata sifat, menjadi unsur inti binaan frasa adjektif.

Ayat contoh:

1a. Raju ke kedai untuk membeli sepasang kasut baru.(x)

1b. Raju ke kedai untuk membeli sepasang kasut baharu. (/)

2a. Kereta baru itu milik Chong Ah Peng. (x)

2b. Kereta baharu itu milik Chong Ah Peng. (/)

3a. Mesyuarat itu diadakan untuk memilih bendahari yang baru. (x)

3b. Mesyuarat itu diadakan untuk memilih bendahari yang baharu. (/)

Kosa kata, “baru” pula digolongkan sebagai kata bantu aspek. Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Buku Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu, Golongan Kata (DBP, 2017) pula menghuraikan bahawa perkataan, “baru” tergolong sebagai kata bantu yang digunakan untuk maksud masa, iaitu belum lama.

Bentuk-bentuk kata bantu aspek ialah telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula, dan belum.

Sesungguhnya, kata bantu, yang hadir sebelum frasa, ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama, iaitu dengan menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam.

Ayat contoh:

4a. Anak Cikgu Chai baharu menamatkan pengajiannya di Universiti Tuanku Abdul Rahman. (x)

4b. Anak Cikgu Chai baru menamatkan pengajiannya di Universiti Tuanku Abdul Rahman. (/)

5a. Guru itu baharu tiba dari Slim River. (x)

5b. Guru itu baru tiba dari Slim River. (/)

6a. Majlis perkahwinan sahabat karib saya baharu sahaja selesai. (x)

6b. Majlis perkahwinan sahabat karib saya baru sahaja selesai. (/)

Yang jelas, perkataan baru digunakan sebagai kata bantu manakala perkataan baharu digunakan sebagai kata adjektif. Kedua-dua perkataan ini berbeza maksud dan fungsinya.

Maka, brosur ucapan menjelang tahun baharu yang persis dan tepat adalah seperti yang berikut:

c. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2019

d. Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.

MUNSYI - CHAI LOON GUAN

*Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka

*Artikel ini dipetik daripada ruangan Cetusan - Oh, bahasaku! yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian Khamis 10 Januari 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
BANGI - Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Mohad Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti...
Seramai 314 orang pelajar Kolej Komuniti Kuantan telah menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Kuantan 2019 atau...
Sempena menyambut tahun baru 2019, Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) mengadakan Program Ambang Gema Syukur (AGS) pada 31 Disember 2018 dan 1 Januari 2019.
KAMU SEMUA BERSALAH PADA DUNIA!TEBUS SALAH KAMU DENGAN UPCYCLE FABRIK SINTETIK!.Sertai kami di program#UpcycleCreations-RecoveryOfSyntheticFabrics.Pameran : 12-16 Januari 2019 (8am...
Menyedari akan kepentingan sesuatu bahasa boleh diangkat sebagai bahasa komunikasi di seluruh dunia dengan menjadikan ia bahasa perantaraan, Al Madinah International University...
LEBIH dua dekad yang lalu, Kementerian Kesihatan gigih mempromosikan kempen Badan Cergas, Otak Cerdas sejak di bangku sekolah lagi. Ironisnya hari ini berbaki dua tahun lagi,...