> PERAK > Rupa-rupanya ini sebab Telaga Gergasi @ 'opo' semakin hari semakin menarik ramai pengunjung luar...
Rupa-rupanya ini sebab Telaga Gergasi @ 'opo' semakin hari semakin menarik ramai pengunjung luar...
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN Khamis | 10 Januari 2019

SELAMA - Siapa sangka daerah Selama yang terletak di kawasan penghujung negeri Perak sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah sejarah berharga dan unik seperti Mukim Raja Bersiong, Sungai Atas Sungai dan Telaga Gergasi.

Namun, segmen ‘Asal-usul’ Sinar Harian kali ini tertarik untuk menyingkap kisah peninggalan bersejarah sebuah telaga digelar ‘Telaga Gergasi’ yang terletak di Kampung Bagan Baharu, Kubu Gajah dekat sini.

Mempunyai saiz telaga mega berkedalaman lebih kurang 18 meter, Telaga Gergasi pastinya bersesuaian dengan gelarannya, lebih-lebih lagi pengunjung boleh melihat perigi itu lahap memamah air dari Sungai Ijok.

Berbeza dengan fahaman mitos dan dongeng yang selalu dikaitkan terhadap telaga, Telaga Gergasi sebaliknya mempunyai fungsi penting untuk mengawal kadar pengaliran air sungai dari Sungai Ijok ke Kolam Bukit Merah, Kerian.

Seorang penduduk, Agus Salim Mustaffa, 50an, berkata, inisiatif mengawal kadar pengaliran air itu sangat penting kerana ia bagi memastikan pengaliran air ke Kolam Bukit Merah berjalan lancar, sekali gus memastikan bekalan pengairan sawah padi di daerah Kerian mencukupi.

AGUS SALIM

Menurutnya, Telaga Gergasi tercipta hasil inisiatif teknologi British ketika itu yang pada asalnya berfungsi untuk memindahkan hasil bijih timah melalui sungai.

“Namun ciri moden binaan itu secara tidak langsung dapat mengelak hakisan tanah daripada termendap di Kolam Bukit Merah setelah dibawa aliran air. Kalau pengunjung bernasib baik, mungkin mereka boleh menyaksikan biasan pelangi yang unik, terbentuk hasil aliran air deras memasuki Telaga Gergasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk kampung gelar ‘opo’

Berbeza sebelum ini apabila pengunjung perlu meredah jalan kecil berumput yang agak mencabar untuk dilalui kenderaan ringan, kini laluan untuk menjejaki Telaga Gergasi sudah diselenggarakan bagi memudahkan aksesibiliti pengunjung.

Papan tanda arah ke pelbagai lokasi pelancongan bersejarah di Selama sudah boleh dilihat di jalan masuk ke daerah itu.

Penduduk setempat, Ida Ibrahim, 21, berkata, dari jauh pengunjung akan melihat sebuah lubang besar dimasuki air deras dengan kelihatan percikan air seperti wap keluar dari lubang telaga itu.

Namun, dia menegaskan kawasan pelancongan itu sudah dipagari rapi bagi melarang orang ramai memasuki kawasan telaga atas faktor keselamatan.

“Terdapat tangga disediakan bagi sesiapa yang ingin turun melihat lebih dekat cara proses air memasuki telaga gergasi. Ada juga penduduk kampung berenang dari sungai menuju ke tengah lubang perigi untuk menangkap ikan,” katanya.

Ida berkata, berdasarkan penceritaan ahli keluarga, telaga itu merupakan peninggalan ketika zaman British dan pernah menjadi tempat permainan kanak-kanak di kawasan kampung.

Salah satu gambar bersejarah keadaan Telaga Gergasi sebelum dibangunkan pihak berwajib bagi tujuan pelancongan.

Menurutnya, kegiatan menjala dan menangkap ikan di dalam lubang Telaga Gergasi juga sering dilakukan penduduk suatu ketika dahulu meskipun saiz diameter telaga yang besar menakutkan.

“Telaga itu unik kerana saiznya yang besar dan semakin hari kami lihat ramai pengunjung luar termasuk para pengkaji dan pelajar universiti datang melihat sendiri untuk melihatnya. Emak saya juga ada cakap Telaga Gergasi itu juga ada digelar panggilan ‘opo’ oleh penduduk kampung, maksudnya apa saya tidak pasti kerana gelaran itu digunakan penduduk dahulu kala,” katanya.

Ida berharap, Kerajaan Perak dapat membantu menaikkan imej lokasi pelancongan bersejarah seperti Telaga Gergasi sekali gus membantu mempromosi keunikan produk pelancongan daerah Selama.

MDS giat promosi Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Selama (MDS), Mohd Amzari Mohd Arzami berkata, inisiatif mempromosi Telaga Gergasi dan pelbagai produk pelancongan daerah Selama lain sudah dimulakan pihaknya melalui Unit Pelancongan MDS pada 2016.

Menurutnya, bagi perancangan masa hadapan, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Selama untuk menyelenggarakan dan menaik taraf akses jalan masuk ke lokasi pelancongan itu selain menyelenggarakan kunci air telaga.

Keunikan Telaga Gergasi dapat disaksikan pengunjung dan merupakan salah satu daripada pelbagai proguk tarikan pelancongan di Selama.

“MDS bercadang menyediakan kemudahan jalan berturap bagi memudahkan pengunjung di samping penyediaan sebuah papan tanda baharu bagi menerangkan sejarah kewujudan Telaga Gergasi.

“Kami juga akan meningkatkan kerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di lokasi pelancongan bagi memastikan Telaga Gergasi sentiasa terjaga,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
ASALNYA ketika dalam peperiksaan A-Levels, dia memilih bidang sains dan matematik, namun sejak sering membaca isu-isu berkaitan kehidupan susah ramai orang, minat dan kecenderungan...
ASALNYA dia seorang yang pendiam, pasif dan kurang keyakinan diri. Namun, lama-kelamaan, Ahmad Safiuddin Ibrahim, 22, sedar dia tidak boleh terus berada dalam 'dunia'nya...
KUALA NERUS - Bidong Merdeka Dive 2018 atau BMD2018 merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semenjak 2016 bertujuan untuk menyemai...
BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 113,190 penutup botol digunakan bagi menyiapkan empat mural tiga dimensi (3D) yang bercirikan pemandangan di sekitar kawasan Seberang Perai, di...
USIANYA baru mencecah 20 tahun, namun pengalaman yang dilalui Mogesh a/l Sababathy, penuntut tahun kedua Sarjana Muda Sains Biologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)...
KUALA NERUS - Minat yang mendalam terhadap pasukan beruniform tanpa mengira penat lelah demi melihat keamanan dan kedaulatan tanah air menjadi pendorong buat Pegawai Kadet Kanan...