> IKON > Tinggal kerusi empuk demi dakwah
Tinggal kerusi empuk demi dakwah
ROSLINDA HASHIM 11 January 2019

ALOR SETAR - Bukan mudah meninggalkan kerjaya tetap dengan gaji lumayan, namun itulah pengorbanan Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, 43, yang nekad meninggalkan kerusi empuk di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk memberi tumpuan kepada dakwah.

Setelah lebih 10 tahun menabur bakti di Kuin yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), bekas Pengarah Perhubungan Awam ini akhirnya mengambil keputusan memfokus kepada dakwah pada 2013, selain menerokai bidang keusahawanan.

Menurut Muhammad Azki, dalam memperluaskan dakwahnya, beliau menubuhkan Smart IQ Quranic Centre dengan memberi tumpuan kepada program hafazan al-Quran hujung minggu kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga 18 tahun.

Muhammad Azki Hafizi Ibrahim

“Saya turut anjurkan program quranic lain seperti seminar temuduga Ulul Albab, pengajian al-Quran serta seminar al-Quran,” katanya.

Muhammad Azki turut mengetengahkan unsur dakwah dalam program pembangunan motivasi, team building, seminar serta kem remaja dan kanak-kanak.

“Bawah Smart Triple IQ Sdn Bhd, saya anjurkan program pembangunan organisasi dan diri seperti pengucapan awam serta pengurusan acara, selain perkenalkan produk kesihatan dan sunnah,” katanya.

Usaha dakwah beliau tidak berhenti setakat itu, malah, turut menubuhkan Pusat Jagaan Yatim Miskin Smart IQ pada 2017.

“Selaku Pengerusi, saya diamanahkan membiayai persekolahan, sara kehidupan, menyediakan keperluan harian dan menjaga kebajikan anak yatim miskin ini. Walaupun fokus adalah dakwah, namun saya turut aktif bawah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah (DPMMK) membantu usahawan kecil sederhana,” katanya.

Menurutnya, biarpun agak sibuk mengendalikan pelbagai program dakwah, namun dirinya sentiasa mencari idea baharu untuk mencari kelainan sama ada kemahiran dakwah, inovasi usahawan, bidang teknologi maklumat serta multimedia.

“Jika kita dapat menguasai banyak bidang ia membantu tugasan dakwah. Jangan anggap ustaz tidak mampu kuasai teknologi dan multimedia. Pendakwah harus peka dengan isu semasa,” katanya.

Muhammad Azki berkata, kebahagiaan sebenar bukanlah apa yang kita miliki, sebaliknya berapa banyak yang kita sumbangkan kepada orang lain.

Pelbagaikan skop dakwah

Dunia dakwah bukanlah asing buat dirinya, kerana aktif sejak di bangku sekolah.

“Saya diajar untuk sampaikan sesuatu kebaikan walaupun kecil, sama ada perkataan atau pemberian. Ketika belia, saya wakili Persatuan Pelajar Malaysia (PMRAM) bawah Universiti Al Azhar, berucap pada ‘Persidangan Mahasiswa Malaysia Islam Sedunia’ melibatkan lebih 20 negara,” katanya.

Pendekatan bersahaja dan santai sesuai untuk golongan remaja.

Menurutnya, beliau juga menubuhkan rancangan realiti menerusi Youtube, Akademik Pendakwah Muda, mencungkil bakat pendakwah muda di Kedah, untuk menghimpunkan tenaga pendakwah muda di lapangan atau ‘street dakwah’.

“Sejak 2014, saya berdakwah kepada golongan LGBT bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di seluruh negeri. Antaranya, bimbingan khas secara dwi bulanan untuk didikan agama termasuk pengajian al-Quran,” katanya.

Muhammad Azki turut melebarkan dakwahnya menerusi platform kuliah di masjid, forum dan program bual bicara.

Ustaz Azki popular kalangan kanak-kanak

Nama Ustaz Azki sinonim kalangan kanak-kanak, peserta yang mengikuti kem kendaliannya, pasti mengalirkan air mata keinsafan.

Berkongsi pengalaman itu, katanya, kesedaran membantu pelajar dan remaja adalah disebabkan kehidupan kini sangat mencabar dengan adanya teknologi.

“Pendekatan ‘sentuhan jiwa’ antara kaedah penyampaian berkesan. Bukanlah tangisan 100% sebagai tanda program saya sempurna, paling penting saya dapat menyentuh sanubari remaja dalam isu mereka, membuatkan mereka berfikir dan muhasabah diri,” katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
MELAKA - Bekas Pensyarah Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Alor Setar Kedah, Abdul Ghani Samsudin diisytiharkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M negeri Melaka sempena...
Namanya bukan baharu dalam kerja-kerja dakwah. Malah pemilik nama, Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman sanggup meninggalkan kerjaya tetap demi...
Untuk berjaya, perlukan banyak usaha dan kerja keras. Biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun semua itu akan ditempuhi demi mencapai matlamat yang diinginkan. Lebih...
Apa yang aku nak sampaikan ialah aku bukan hendak membuka aib sendiri...aku nak masyarakat tahu bahawa aku dulunya seorang yang liar dan nakal. Terlibat dengan jenayah, maksiat...
KOTA TINGGI - Bagi sesetengah orang sudah pasti tidak akan menolak apabila ditawarkan kerjaya bergaji lumayan, namun tidak bagi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi yang memilih untuk...
Alhamdulillah, sesungguhnya rezeki Allah itu tidak pernah salah alamat. Ternyata segala perih jerih dan usaha yang disumbangkan selama 11 minggu hingga melayakkannya ke Pentas...