> AKTIVITI KAMPUS > UM harum nama negara menerusi tarian
UM harum nama negara menerusi tarian
NAHRIZUL ADIB KADRI, UM 11 January 2019

Gerak tari penari tarian tradisional Melayu yang lemah lembut sememangnya diterima sebagai simbolik kepada nilai sopan santun yang tinggi dalam budaya masyarakat Melayu. Maka tidak hairanlah jika persembahan tarian tradisional banyak dipersembahkan di pelbagai majlis rasmi dan keramaian bagi mengetengahkan aspek ini, selain menjadikannya ‘buah tangan’ paling bernilai apabila berpeluang memperkenalkan kesenian dan budaya Malaysia di luar negara.

Kumpulan tarian tradisional dan moden yang dinamakan ‘Asbari Dance Theater’ (ADT) telah ditubuhkan sejak 2013 bagi menampung sebahagian daripada keperluan ini. ADT kini dianggotai oleh 20 orang penari yang terdiri daripada mahasiswa dan graduan dari Pusat Kebudayaan, https://www.um.edu.my/, http://www.aswara.edu.my/webportal/ms/, https://www.facebook.com/UPSIMalaysia/, dan Sekolah-sekolah Seni Malaysia.

“Penubuhan kumpulan ini pada asalnya hanyalah menjadi platform kepada para pelajar ini untuk menerima pendedahan kepada industri tarian, melalui jemputan mengadakan persembahan di pelbagai majlis rasmi dan keramaian. Namun dengan sokongan pelbagai pihak, para pelajar dan graduan mula memahami yang kemahiran dan pengalaman yang ada turut boleh dijadikan tapak pembinaan kerjaya pada masa hadapan,” kata Mohd. Hairil Anuar Bari, pengajar di Pusat Kebudayaan, UM yang juga merupakan pengasas ADT.

Mohd. Hairil Anuar (berdiri, tengah) dan Danesh (duduk, kanan) sebelum membuat persembahan di sebuah majlis rasmi.

ADT telah menjayakan banyak program dalam dan luar negara, meliputi program berbentuk akademik sehinggalah kepada yang bersifat komuniti. Antara lainnya termasuklah persidangan antarabangsa seperti ‘18th Asia-Oceania Congress of Medical Physics & 16th South East Asia Congress of Medical Physics’ anjuran UM, dan ‘6th British Council New Directions in English Language Assessment Conference’ anjuran British Council.

Kumpulan ini turut menjadi penyeri utama di Majlis Santapan Diraja sempena Malam Jubli Emas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang turut disertai oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, dan mewakili negara ke MUARA Dance Festival di Singapura.

Mereka turut terpilih mewakili negara ke Gelar Seni Serumpun, sempena Festival Bumi Sri Gemilang, program tahunan anjuran Kabupaten Indragiri Hilir, Riau, Indonesia yang menjemput kumpulan penari Melayu dari seluruh Asia Tenggara untuk membuat persembahan dan bertukar pengalaman.

Menariknya, kumpulan ini turut dianggotai oleh penari dari pelbagai latar belakang jurusan pendidikan, dan keturunan.

Penari ADT juga mampu menarikan tarian tradisional pelbagai etnik di Malaysia.

“Sejak dari bangku sekolah lagi, saya memang mengidamkan untuk meneruskan pengajian di UM dalam bidang tarian. Peluang yang ada untuk terus berkecimpung dalam bidang tarian selepas tamat pengajian melalui penyertaan saya di dalam ADT ini amat saya hargai, dan bakal saya gunakan untuk lebih mendekati masyarakat. Saya percaya golongan muda turut mempunyai peranan dalam usaha menyemarak dan menyubur minat dalam aspek seni persembahan budaya Melayu,” kata Danesh Raj Nagarajan, salah seorang penari ADT yang juga merupakan graduan Pusat Kebudayaan UM.

Menurut Mohd. Hairil Anuar lagi, ADT berazam untuk terus menyumbang sebagai platform kepada generasi muda yang berkemahiran dan berbakat dalam bidang tarian tradisional untuk mengetengahkan keindahan seni persembahan ini kepada khalayak ramai menerusi penyertaan kami di pelbagai program dalam dan luar negara.

“Saya yakin kumpulan ini mampu menjadi penanda aras kepada mereka yang berminat untuk menjadikan bidang tarian sebagai kerjaya yang bukan sahaja menghibur, malah turut membantu dalam proses pembinaan masyarakat yang menyayangi dan menyanjungi budaya,” katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Sememangnya bidang kerjaya pada zaman kini mempunyai saingan yang tinggi dalam kalangan para mahasiswa. Jika dilihat terlalu banyak lambakan mahasiswa di pasaran pekerjaan....
Watak Mak Inang yang dibawanya ketika menjayakan pementasan Mek Mulung semasa bergelar pelajar jurusan seni tari di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM), amat meninggalkan...
JOHOR BAHRU - Bahasa Malaysia tetap menjadi tonggak utama kenegaraan, walaupun bahasa-bahasa lain khususnya bahasa Inggeris dan Mandarin diguna pakai secara meluas berikutan...
MALAM Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Pejabat Antarabangsa dan Kelab Pelajar Antarabangsa berjaya menghimpunkan seramai 900 pelajar antarabangsa daripada 30...
PROGRAM Musafir Hana merupakan program meraikan tetamu dan keluarga yang menghantar anak-anak mereka mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Putra Malaysia (UPM), kini...
KOTA KINABALU: Kejohanan Boling Piala Dekan Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah dengan penyertaan tujuh pasukan boling lelaki dan lima pasukan wanita,...