> ISU > Peperiksaan selesai, bukan terus "Say Good Bye"
Peperiksaan selesai, bukan terus "Say Good Bye"
DR AFANDI AHMAD, UTHM Jumaat | 11 Januari 2019

Kampus universiti hampir sunyi, perjuangan mahasiswa semester ini hampir sampai ke titik penyudah. Ada kampus yang berada pada minggu akhir peperiksaan, ada juga yang telah pun selesai semuanya.

Ahli akademik akan mula lebih sibuk menyelesaikan proses semakan pemarkahan, para pentadbir pula tekun menguruskan pengesahan kemasukan markah dan proses kerja yang berkaitan.

Mahasiswa pula bagaimana? Terus bergegas meninggalkan kampus kembali kepada keluarga tersayang? Atau menyertai teman-teman bergembira dalam percutian? Apapun rencananya, biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Bagaimana?

Peperiksaan masa untuk mencurahkan kembali, kemampuan dalam mengingati apa yang telah dipelajari selama satu semester. (Foto UTHM)

1. Teruskan berdoa

Dahi yang jejak di tikar sembahyang dan zikir yang tidak putus serta munajat kepadanya janganlah pernah mengenal musim, hanya pada minggu peperiksaan. Usai peperiksaan, teruslah beriltizam untuk terus memahami bahawa doa tidak sama sekali boleh diketepikan. Jika sebelum ini para pelajar berdoa agar dapat menjawab dengan cemerlang, kini titipkan doa agar pensyarah yang menanda dilembutkan hati dan mudah memahami apa yang dipersembahkan dalam skrip jawapan. Ucapkan juga syukur kerana proses peperiksaan dapat dilalui tanpa perkara-perkara yang membebankan.

2. Ucapkan terima kasih

Jangan berlengah, utuskan emel atau hasilkanlah 'kad ucapan murah buatan tangan' kepada para pensyarah, penolong jurutera, kerani, pengawal keselamatan, pemandu bas, pekerja pembersihan dan semua pihak yang banyak memudahkan urusan para pelajar. Malu? Membebankan? Mengapa malu untuk berterima kasih? Ingat, mudah urusan kita bukanlah kerana kita memiliki semua perkara, tetapi atas izin-Nya kita bertemu dengan ramai pihak yang sudi membantu dan memudahkan kita.

Restu pensyarah amat penting. (Foto UTHM)

3. Maklumkan kepada ibu bapa dan keluarga

Mahu berhibur dan melepas lelah belajar? Tiada masalah, tetapi fikir dengan mendalam dan peliharalah segala batasan dan tatasusila sebaiknya. JANGAN sesekali menyertai aktiviti yang tidak dipersetujui ibu bapa atau keluarga. Jangan juga berhibur tanpa sempadan jiwa, raga dan batas agama. Jangan sesekali menyepi tanpa berita, ibu bapa sangkakan para pelajar masih di kampus, tetapi rupanya lesap bersuka ria tanpa izin. Buat apapun, biarlah berpada-pada, ingat ibu, bapa dan keluarga.

4. Manfaatkan masa yang ada

Cuti antara semester lazimnya tidaklah panjang mana. Masa yang ada gunakan sebaiknya untuk dekat dengan ibu bapa dan keluarga. Ringankan tangan bantulah semua kerja-kerja di rumah, pelajari sebanyak mungkin hal ehwal kemahiran hidup. Jika sebelum ini ibu dan ayah melakukan tugasan di rumah sendirian, inilah masa terbaik para pelajar untuk mengambil alih sedikit peranan. Janganlah cuti dipenuhi dengan jadual tidur yang tidak terpimpin, lebih banyak masa melepak pula bersama rakan-rakan. Kalau semasa semester rindukan keluarga, inilah masa untuk melepas rindu sebaiknya.

5. Pertingkatkan kemahiran diri

Masa cuti yang ada mesti dipenuhi dengan aktiviti yang menambah nilai diri. Libatkan diri dengan aktiviti kejiranan agar lebih banyak pengalaman baharu ditimba. Jika ada peluang untuk bekerja secara sambilan juga ada banyak baiknya. Tidak kurang juga banyak nilai yang akan diperolehi dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan. Fikiran dan pergerakan perlu ligat, rebut dan cipta peluang, untuk masa depan yang lebih gemilang.

Musim peperiksaan. (FOTO UTHM)

Ringkasnya, cuti semester adalah rutin yang perlu dipimpin. Merancang secara strategik apa yang ingin diperolehi adalah amat perlu. Jika tidak, cuti hanya akan berakhir sebagai cuti tanpa dilengkapi dengan sebarang penambahbaikan kualiti berterusan. Cuti mesti dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh pembentukan jati diri dan nilai dalam diri. Mereka yang cemerlang adalah mereka yang sentiasa berfikir dan meneroka peluang. Jika peluang tidak muncul, mereka akan akan mencari pintu-pintu peluang. Semoga cuti kali ini lebih bererti dan membentuk nilai diri.

PROF MADYA DR AFANDI

Penulis, Prof Madya Dr Afandi Ahmad merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Melihat kawan-kawan mendapat pointer tinggi setiap kali semester tentu akan timbul perasaan teruja dengan pencapaian yang dimilikinya. Di sudut hati, timbul pertanyaan bagaimana...
Kita bakal menyambut hari kemerdekaan kali ke-61 tanggal 31 Ogos nanti. Setiap tahun negara kita pasti akan menyambutnya dengan penuh kemeriahan bagi memberi penghormatan dan...
SETIAP tahun, tidak dinafikan jumlah graduan baharu yang dilahirkan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam mahupun swasta kian bertambah.
"Semalam saya terima notification, bila buka rupa-rupanya cerita pasal Ayah konvo 2 tahun lepas keluar semula sempena musim konvo ni. Masih ramai yang share, like dan ucap...
PROGRAM latihan industri adalah tidak asing lagi kepada mahasiswa yang mengikuti program diploma mahupun ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi. Ia merupakan fasa yang...
SINTOK - Peminjam yang bergaji RM1,000 ke atas boleh mengemukakan rayuan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar dikecualikan daripada bayaran balik...