> IKON > Gara-gara henti bersukan, otot kaki mengecut hingga saintis ini terpaksa berkerusi roda
Gara-gara henti bersukan, otot kaki mengecut hingga saintis ini terpaksa berkerusi roda
ZALMIMAZURA ZAHARI Selasa | 15 Januari 2019

Setiap orang ada 'cara' kehidupannya yang tersendiri. Kadang kita tak jangka apa yang Allah mahu uji. Di sebalik ujian yang ditimpakan ada hikmah yang tersembunyi.

IKON kali ini bukan calang-calang orangnya. Dilahirkan normal, namun kuasa Tuhan tiada siapa dapat menghalang. Dalam berjuang untuk mendapatkan segenggam Ijazah Kedoktoran (PhD), tak diduga 'kenikmatan' ditarik secara perlahan-lahan.

Individu yang di maksudkan adalah Prof. Madya Dr. Zaidi Embong, Pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), http://www.uthm.edu.my/en/, selain bergelar Penyelidik Utama di Pusat Kajian Tanah Lembut (RECESS), Institute Intergrated Engineering (IIE), ORICC, UTHM.

Berkemahiran luas dalam bidang ilmu fizik, tak hairanlah saintis hebat ini banyak memberi sumbangan dalam kajiannya terutama melibatkan kos yang tinggi.

Prof.Madya Dr Zaidi Embong.

"Kepakaran yang saya sumbangkan adalah multi disiplin. Selain daripada mengkaji aras radiasi sinar belakang (sinar gamma) dari sumber semula jadi, saya juga menyumbangkan kepakaran dalam bidang Sains Bahan, iaitu dalam kajian Sains Permukaan Bahan dan Bahan Nano menggunakan sistem analisis kimia yang canggih yang dikenali sebagai Spektroskopi Fotoelekton Sinar-X (XPS). Sistem peralatan canggih ini bernilai kira-kira RM5 juta dan tidak ramai pakar peralatan ini di negara ini," katanya.

DULU NORMAL KINI BERSTATUS OKU

Menceritakan sejarah awal 'perubahan' dalam hidupnya, Dr Zaidi berkata ketika di menuntut di Fakulti Sains http://www.utm.my/ beliau sangat aktif dalam badan beruniform dan sukan. Namun ketika di tahun akhir pengajian, beliau mengambil keputusan menumpukan masa kepada akademik (menyiapkan tesis) Sarjana Muda.

"Kesan dari tidak aktif bersukan telah menyebabkan otot kaki dan tangan mengecut dan menyebabkan pergerakan saya terbatas. Perkara ini tidak saya sedari sehingga saya melanjutkan pengajian PhD di Bristol, England. Memandangkan kerja-kerja PhD memerlukan aktiviti fizikal yang agak lasak, maka kesakitan yang ada terpaksa saya abaikan seketika demi untuk berjuang menamatkan pengajian PhD.

Gambar di tahun akhir PhD...kaki semakin lemah ketika ini.

"Di tahun akhir pengajian, saya dimasukkan ke Hospital Frenchay, Bristol, England untuk menjalani pembedahan kecil iaitu biopsi otot. Doktor pakar menjelaskan bahawa saya mengalami penyakit jarang jumpai iaitu 'Miyoshi Dystrophy', kerosakan otot disebabkan faktor genetik.

"Doktor memberitahu bahawa penyakit seperti ini tiada ubatnya dan kemungkinan saya terpaksa berkerusi roda suatu hari nanti," ujarnya.

Menurutnya lagi, sekembali ke tanah air awal 2008, beliau terpaksa berjalan menggunakan tongkat. Walau bagaimanapun, lama kelamaan otot makin mengecil dan semakin lemah.

Ketika biopsy di Frenchay hospital, Bristol.

"Pada 2010, saya memohon status Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan menggunakan kerusi roda sehingga sekarang. Walau begitu, saya bersyukur kerana saya masih boleh memandu kenderaan dan berkeupayaan melaksanakan tugas sebagai pensyarah biarpun berkerusi roda," kata anak bongsu daripada 11 adik beradik ini.

CABARAN BERGELAR OKU

Pastinya dari seorang yang normal ke OKU bukan lah satu cabaran yang mudah, lebih-lebih dalam menyesuaikan diri serta menangani emosi, namun bagi Dr Zaidi paling penting adalah keyakinan diri dan semangat yang tinggi.

"Kebiasaan, kebanyakan golongan OKU mempunyai sifat rendah diri terhadap masyarakat. Memandangkan tugas saya sebagai pensyarah universiti memerlukan berinteraksi dengan masyarakat maka ianya telah menjadi satu kebiasaan bagi saya sepanjang bertugas dalam keadaan normal sebelum berstatus OKU.

"Segala pandangan dan persepsi negatif orang sekeliling, saya abaikan. Saya amalkan sikap positif dan yakin bahawa saya boleh melaksanakan tugas harian saya setara dengan insan normal lain.

Tetap positif dan sentiasa bersemangat biarpun berkerusi roda.

"Selain itu, saya sentiasa bertawakal kepada Allah kerana segala-galanya adalah ujian dari Nya. Kita perlu redha dan memandang ke hadapan. Walau apa jua keadaan dan rintangan. Perjuangan mendidik anak bangsa perlu diteruskan berbekalkan ilmu dan kepakaran yang kita ada," ujarnya yang turut berterima kasih kepada isteri, Salawati Ahmad yang banyak memberi semangat dan pihak pengurusan UTHM kerana memahami keadaan dirinya dengan menyediakan prasarana OKU.

GOLONGAN OKU TIDAK PERLU DIPINGGIRKAN

Seharusnya golongan OKU tidak perlu diketepikan kemampuan dan kebolehan mereka. Ini kerana golongan OKU juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Sesuatu kekurangan itu bukan bermakna terus lemah, tetapi sebenarnya setiap kekurangan itu adalah kekuatan kerana ianya adalah semangat yang tinggi dalam diri setiap OKU untuk meneruskan kehidupan mereka.

"Di pihak saya pula, sudah tentu saya ingin melahirkan ramai saintis muda dalam bidang yang melibatkan penggunaan teknik analisis sains permukaan ini. Kerana bidang ini mampu memberikan impak tinggi terutama dalam bidang bahan Nano dan juga Fizik Bahan Termaju. Selain daripada itu juga, adalah diharapkan agar ilmu dan kepakaran yang saya ada akan diwarisi oleh generasi akan datang apabila saya berpencen kelak," katanya.

PROFIL:

Nama Penuh : Zaidi Embong

Umur: 46 tahun

Asal: Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Melaka.

Tahap pendidikan:

- Doktor Falsafah (Fizik), University of Bristol, England

- Ijazah Sarjana Sains (Fizik), UTM

- Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sains Komputer serta Pendidikan (Fizik), UTM.

Idola : Tun Dr Mahathir Mohamad

Prinsip hidup: Usaha gigih dan berserah kepada Allah adalah teras kejayaan.

Pencapaian:

- Reviewer untuk journal penyelidikan berimpak dari luar negara seperti England, Rusia, Belgium, Ukraine dan China.

- Outstanding Reviewer untuk dua Journal berimpak iaitu Journal of Alloys and Compounds,Elsevier dan juga Journal of Applied Surface Science, Elsevier.

- Sehingga kini mempunyai lebih daripada 50 Journal penyelidikan

- Menerima beberapa pingat untuk pertandingan inovasi di peringkat universiti

- Anugerah Khas OKU 2018 (Akademik) dari pihak JKM.

Pencapaian sumbangan kepada masyarakat

- Penasihat Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Melaka (MasDeaf).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Alhamdulillah, rezeki Allah tiada siapa yang dapat pertikaikan. Sesungguhnya setiap apa yang diusahakan ke jalan yang benar pasti akan beroleh kejayaan dan mungkin juga lebih dari...
Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak diluar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Orang sukses selalu mengambil risiko untuk sukses, dan untuk mengambil risiko itu harus mempunyai keberanian. Keberanian! Inilah salah satu daripada sikap terpuji Nur Fatihah Che...
PUTRAJAYA - Mahu membalas jasa kedua ibu bapanya yang tidak pernah berhenti berdoa serta memberi sokongan mendorong Muhammad Haziq Nordin, 25, untuk menamatkan pengajian dengan...
Usaha murni 40 peserta terdiri dari mahasiswa Malaysia United Kingdom yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memulakan ekspedisi menjejaki golongan kurang bernasib baik di...
Usaha murni 40 peserta terdiri dari mahasiswa Malaysia United Kingdom yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memulakan ekspedisi menjejaki golongan kurang bernasib baik di...