> ISU > Kemenjadian mahasiswa: Bukan hanya wira papan kekunci atau golongan baca tajuk!
Kemenjadian mahasiswa: Bukan hanya wira papan kekunci atau golongan baca tajuk!
NORHAYATI ALLI Selasa | 22 Januari 2019

UNIVERSITI sebagai pusat pengajian tinggi, berperanan antaranya untuk melatih mahasiswa dalam bidang tertentu sebelum mereka meneruskan kerjaya masing-masing kelak.

Iltizam universiti dalam memperkasa sumber manusia kompeten ini lazimnya digariskan dengan jelas menerusi misi, visi serta falsafah pendidikan universiti masing-masing.

Namun begitu, tempoh pengajian para pelajar yang hanya sekitar empat tahun tidaklah begitu panjang jika dibandingkan dengan harapan dan jangkaan terhadap mereka. Harapan yang bukan sahaja hadir daripada ibu bapa dan keluarga serta universiti, malah tidak kurang hebatnya juga jangkaan daripada bakal majikan, industri serta masyarakat.

Di peringkat sekolah, kemenjadian murid yang ingin dilahirkan bukan hanya boleh menghafal dan memuntahkannya menerusi medan peperiksaan, berbangga menayangkan senarai semua A dalam mata pelajaran diambil, tetapi jiwanya kosong.

Soalnya, bagaimana pula dengan kemenjadian mahasiswa? Kemenjadian mahasiswa bukan sekadar cemerlang dalam akademik, memperoleh CGPA atau GPA sempurna mahupun anugerah dekan setiap semester.

Jika kemenjadian mahasiswa ingin diukur berdasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan (GE), pertimbangan yang lebih holistik mesti kita kemukakan lantaran mutakhir ini, kita melihat bukan sahaja untuk dilahirkan job seeker tetapi lebih mencabar adalah juga untuk melahirkan job creator demi manfaat berganda.
Persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa mesti sentiasa disemarakkan. (Gambar hiasan 123rf.com)

Lebih utama lagi, jika dahulu banyak penilaian yang menjurus kepada keupayaan intelektualisme semata-mata, sebaliknya kini kita memerlukan lebih daripada itu.

Dunia sangat memerlukan mereka yang berupaya menyelesaikan masalah kompleks demi kebaikan sejagat, dilatih berperanan sebagai penyelesai masalah dan bukan hanya sebagai wira papan kekunci atau golongan hanya baca tajuk!

Kita mahu melahirkan mereka yang memiliki perspektif yang luas, di mana sahaja kita campakkan mereka akan menjadi pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan.

Kemenjadian mahasiswa bukanlah permainan silap mata

Mustahil andai hari ini mereka mendaftar, kelak tamat pengajian dan bergelar graduan, semuanya terus menjadi elok-elok belaka dan indah pada pandangan mata.

Universiti sebagai medan intelektual terbuka sangat berperanan dalam menjayakan aspirasi kemenjadian mahasiswa. Tempoh menjadi warga kampus tidaklah panjang tetapi sangat memerlukan perancangan strategik oleh kedua-dua pihak yakni universiti dan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Afandi Ahmad berpendapat, memacu ekosistem kampus yang menyeluruh mesti menjadi agenda utama universiti dengan membawa maksud, jika mahasiswa yang ‘menjadi’ itu dilihat sebagai mahasiswa holistik, begitulah juga ekosistem kampusnya.

“Budaya ilmu perlu sentiasa disuburkan. Persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa mesti sentiasa disemarakkan. Penghargaan dan indeks pengukur prestasi (KPI) yang sama untuk semua (one-sizes-fit-all) mesti disemak dan diharmonikan. Ini bagi memastikan agar tugas menjadikan mahasiswa itu mahasiswa manusiawi bukan hanya diletakkan di bahu pihak hal ehwal pelajar sahaja, sebaliknya semua pihak menyambung titik-titik (connecting the dots) secara bersama-sama,” tambahnya.
PROF MADYA DR AFANDI AHMAD

Bukan hasil kerja segera

Tidak terkecuali peranan mahasiswa untuk membuktikan kemenjadian mereka khususnya kepada universiti dan masyarakat terutama majikan yang bakal mereka berhadapan kelak.

“Harapan kepada mereka yang berpeluang belajar hingga ke menara gading sangat tinggi dan jauh berbeza. Majikan misalnya, mendambakan graduan segar usai pengajian di universiti bukan sahaja memiliki keupayaan daya fikir yang kritis, malah trampil kemahiran sosialnya.

“Amat malang sekali, mahasiswa di gedung ilmu masih tidak mahu meneroka seluas mungkin keupayaan diri, hanya pergi dan balik kuliah, duduk memerap dalam bilik menghadap komputer atau tidak berenggang dengan telefon pintar kerana impaknya pasti akan dirasai seawal sesi temu duga mendapatkan kerja.

“Tidak cukup dengan itu, mahasiswa yang ‘menjadi’ juga bukanlah hasil kerja segera dan penuh paksa. Seawal tahun pertama pengajian, mereka mesti cekap membuat keputusan dan memandang ke masa depan yang gemilang. Mereka mesti tahu dan boleh menjangka apa yang bakal diperlukan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun daripada mereka memulakan pengajian.

“Ini sangat kritikal, dan hanya akan boleh dicapai jika mahasiswa mempunyai pembimbing atau mentor yang baik. Pembimbing dan mentor yang baik datangnya dalam kalangan staf universiti, dan inilah pentingnya ekosistem kampus yang menyeluruh, semua pihak merasakan mahasiswa itu seperti anak-anak dan kerabat sendiri yang diberikan bimbingan penuh kasih sayang,” ulasnya lagi.

Rangka, sedia, laksana program

Untuk membentuk kemenjadian mahasiswa, universiti perlu memainkan peranan penting dalam merangka, menyediakan dan melaksanakan program akademik dan pembangunan mahasiswa berterusan dan sistematik bagi melahirkan graduan yang holistik dan unggul berteraskan keseimbangan dan kesepaduan intelek, rohani, jasmani, emosi dan sosial, demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sumardianshah Silah.

SUMARDIANSHAH SILAH

Selain itu tambahnya, galakan kepada latihan industri, khidmat komuniti dan kesukarelawanan juga menjadikan mahasiswa dekat kepada masyarakat dan mendedahkan mereka kepada dunia sebenar di luar kampus.

“Tiga elemen utama ini iaitu pelaksanaan program akademik, pembangunan aktiviti pelajar dan jaringan indutri dan masyarakat menjadi teras kepada ‘kemenjadian’ mahasiswa,” katanya lagi.

Seorang mahasiswa dianggap cemerlang, bukan sahaja hebat dalam akademik dan mempunyai CGPA tinggi sebaliknya, mahasiswa yang unggul juga perlu aktif dan melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan pelajar dan mendekatkan diri kepada masyarakat melalui program khidmat komuniti dan jaringan industri.

“Saya mengambil contoh antara pelajar saya yang cemerlang dari sudut akademik dan juga pembangunan kemahiran insaniah serta personaliti unggul yang dapat dijadikan contoh kepada mahasiswa di luar sana iaitu Muhamad Hafiz Hassan yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Seni dan Seni Reka, Fakulti Pendidikan UiTM dan baru sahaja menghabiskan program Master dalam Seni Reka di universiti sama dan pernah mendapat Anugerah Mahasiswa Terbaik bagi program yang diambil.

Muhamad Hafiz ketika menerima Anugerah Mahasiswa Terbaik.

“Selain CGPA yang tinggi semasa belajar, beliau juga aktif dalam aktiviti luar seperti sukan, seni dan kebudayaan, merupakan Presiden Kelab Pendidikan Seni Visual (VAESA) dan sering mengikuti pertandingan inovasi di peringkat fakulti dan universiti. Pada 2015, persatuan tersebut dinobatkan sebagai kelab dalaman terbaik dan sekali gus menjadikan Hafiz sebagai presiden kelab dan persatuan terbaik ketika itu," katanya.

Modal insan yang berharga

Mewakili mahasiswa, Zakwan Zulkifle, 22, mahasiswa tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP), berpendapat, apabila seseorang itu bergelar mahasiswa atau berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT, tanggungjawabnya sangat tinggi.

ZAKWAN ZULKIFLE
“Bagi saya, apabila seorang bergelar mahasiswa atau berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT, mereka akan melalui fasa yang saya gelar sebagai pra dunia sebenar. Tanggungjawab apabila bergelar seorang mahasiswa itu sangat tinggi kerana mahasiswa ini merupakan cerminan atau pemangkin negara pada masa akan datang," katanya.
MOHD HASRUL HISHAM

Pandangan sama turut dikongsi Mohd Hasrul Hisham Hassan, 24, mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) dengan Kepujian, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Mahasiswa merupakan modal insan yang berharga bagi memacu dan menggerakkan keseimbangan negara dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Sebagai modal insan yang sedar akan tanggungjawab, sewajarnya mahasiswa menjadi satu entiti yang amat penting dan cukup berperanan dalam melaksanakan agenda perubahan dan pemerkasaan dalam masyarakat. Kejayaan yang akan dikecap bukan datang dengan sendiri sebaliknya atas kegigihan individu berkenaan," ulasnya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
MERLIMAU – Politeknik Merlimau baru-baru ini telah mengadakan Hari Kerjaya Internship & Career Excellence Day 4.0 dengan kerjasama JobMalaysia Centre Melaka bersempena dengan...
Universiti sebagai pusat pengajian tinggi berperanan antaranya untuk melatih mahasiswa dalam bidang tertentu sebelum mereka meneruskan kerjaya dalam bidang masing-masing
SINTOK - Ibu bapa mana yang tidak mempunyai impian dan hasrat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menggenggam ijazah di menara gading, begitu juga bagi pasangan suami isteri ini...
Tanpa ibu dan ayah, siapalah kita di dunia ini. Betapa besar pengorbanan mereka yang melahirkan dan membesarkan kita, dan sebesar itu jugalah kuasa doa seorang ibu kepada anaknya....
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada 19 Disember lalu
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memuji sumbangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga berjaya melahirkan alumni yang berketerampilan dan berjaya. Bekas pelajar...