> KELANTAN > Wow! Rebana versi 'pintar' dihasilkan pelajar FTKW UMK laris dijual dalam tempoh 48 jam?
Wow! Rebana versi 'pintar' dihasilkan pelajar FTKW UMK laris dijual dalam tempoh 48 jam?
SYARIME WOSLEY FOTO: FTKW/AL AZAM RAZI Khamis | 24 Januari 2019

BACHOK - Rebana versi pintar yang dihasilkan 24 pelajar tahun tiga subjek Seni Persembahan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) habis ditempah dalam tempoh 48 jam selepas dipasarkan di aplikasi jualan dalam talian.

Sepuluh unit rebana versi pintar itu yang dijual dengan harga RM900 adalah lebih murah berbanding harga alat muzik tradisional di pasaran ekoran keunikan serta kelainan reka bentuk yang dihasilkan.

Kaedah inovasi baharu dalam pembuatan rebana versi pintar mempunyai sedikit perbezaan berbanding dengan alat muzik tradisional kerana bahan-bahan asasnya menggunakan 'skin drum' sebagai pengganti belulang kambing atau biri-biri.

Manakala bahan-bahan asas lain terdiri daripada besi plat kereta terpakai, kayu pokok mangga kampung dan rotan. Walaupun bahan-bahan yang digunakan terdapat kelainan namun apabila dipalu atau dipukul dapat menghasilkan bunyi yang sama dengan rebana tradisional.

Rebana versi baharu yang dihasilkan pelajar FTKW UMK. (FOTO UMK)

Pensyarah Muzik Seni Persembahan FTKW, Aswawi Isa berkata, pembuatan rebana versi baharu dihasilkan melalui bengkel pembuatan rebana anjuran FTKW dengan objektif utama melahirkan pelapis dalam kalangan pelajar UMK yang serba boleh dalam industri muzik.

"Bengkel ini juga berjaya mewujudkan kebolehpasaran produk UMK dalam segala aspek seni seperti pembuatan, permainan dan pasaran produk. Selain itu, dapat melahirkan pelajar mahir dalam urus niaga yang selari dengan agenda UMK sebagai universiti keusahawanan dalam bidang pembuatan produk.

“Inovasi ini bukan saja membolehkan alat muzik tradisional iaitu rebana dapat dilestarikan sebagai warisan tidak ketara tetapi perkara yang lebih penting ialah dapat menyambung usaha mewariskan kemahiran pembuatan rebana dengan menghidupkan kembali tradisi muzik ini,” katanya pada majlis perasmian penutup bengkel di Kemayang Lagoon Restoran Pantai Kemayang Resort, Bachok, Kelantan, 14 Januari lalu.

UMK turut menawarkan subjek pengajian pembuatan rebana kepada pelajar di FTKW. (FOTO UMK)

PENGAJIAN PEMBUATAN REBANA

Tambah beliau, pemilihan rebana dalam sesi bengkel ini ialah kerana pembuatan alat muzik ini semakin pupus sedangkan alat ini sangat popular dalam industri muzik pada masa kini.

“Tambahan pula, terdapat Universiti Awam yang menawarkan pengajian subjek teknik seni persembahan rebana seperti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UITM). Manakala UMK hanya menawarkan subjek pengajian pembuatan rebana kepada pelajar seni persembahan di FTKW," jelasnya.

Selain kos pembuatannya agak mahal, proses menghasilkan secara tradisional juga agak rumit. (FOTO UMK)

Menurut Asmawi atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Awi lagi, asal usul rebana yang merupakan sejenis alat muzik tradisional dalam klasifikasi membranofon adalah dari Timur Tengah dan sumber laman web Duta Islam melaporkan alat muzik rebana pertama kali dimainkan adalah pada sambutan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

"Rebana walaupun ditimpa kepupusan tetapi masih digunakan khususnya untuk mengiringi acara khitanan, pernikahan, kesyukuran, persembahan tarian dan peringatan-peringatan Islam. Alat muzik tradisional ini juga dilihat sebagai media hiburan dengan mempunyai fungsi utama untuk mempersembahkan norma budaya dan agama terhadap masyarakat melalui syair-syair yang dikumandangkan," terangnya.

Proses menghasilkan alat muzik secara tradisional agak rumit kerana diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit kambing dan biri-biri. Rebana mempunyai satu permukaan kulit gendang dan kulit tersebut adalah kulit kambing.

Pelajar juga perlu mahir menggunakan peralatan mesin bagi menghasilkan rebana yang kemas dan cantik. (FOTO UMK)

“Kulit gendang ini dikenali sebagai belulang (kulit haiwan yang kering) yang berfungsi apabila permukaan rebana itu dipalu atau dipukul untuk menghasilkan bunyi. Kos pembuatannya agak mahal, namun dengan bengkel yang dianjurkan, kita berjaya meminimumkan kosnya dengan harga RM150 sahaja,” kata Cikgu Awi sambil menekankan, inilah antara elemen kelainan rebana versi pintar rekaan pelajar FTKW bagi menghidupkan tradisi muzik ini.

“Selain itu, bukan mudah untuk menyiapkan rebana ini kerana ia mengambil masa yang lama. Rebana sangat dikenali di negeri Kelantan kerana rebana bukan alat muzik calang-calang untuk dimainkan. Pemain perlu menjiwai alunan muzik paluan secara semula jadi kerana dalam paluan, perlu ada lengkok dalam gerakan sera emosi, barulah ia menghasilkan rentak yang menarik. Untuk menghasilkan instrumen rebana menarik perlu mempunyai irama yang harmoni,” katanya.
Kulit gendang diperbuat daripada kulit kambing. (FOTO UMK)

GENDANG SATU MUKA

Rebana merupakan sejenis gendang satu muka yang digunakan untuk mengiringi tarian dan nyanyian rakyat dalam sesuatu majlis. Irama dan rentak yang terdapat dalam muzik rebana ialah 'Tak (T)' dan 'Dung (D)'.

Lazimnya rentak yang dimainkan oleh rebana ialah untuk persembahan zapin, masri, inang, joget dan canggung dan sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri Pahang, terutamanya penduduk di sekitar Sungai Pahang.

Pelajar FTKW menunjukkan rebana yang dihasilkan. (FOTO UMK)

“Tepukan rebana mengiringi lagu-lagu tradisional seperti indong-indong, burung kenek-kenek dan pelanduk-pelanduk. Manakala di Kelantan, rebana dimainkan secara berkumpulan dengan diiringi nyanyian lagu dalam bahasa Kelantan.

“Lagu dinyanyikan dengan paluan rebana yang kuat sambil tersenyum. Reaksi penyanyi dan pemain rebana tersebut membuatkan para penonton tersenyum dan gembira, lantaran terdapat beberapa kelainan yang disampaikan masyarakat Kelantan dalam memainkan alat muzik ini dengan masyarakat lain," jelas Cikgu Awi.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
GENDANG gendut tali kecapi, kenyang perut senanglah hati. Pantun dua kerat ini mungkin biasa kita dengar, tetapi berapa ramai pula yang mengenali alat muzik bernama kecapi? Di...
BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan peluang untuk penuntutnya mengembangkan produk kreatif bertaraf antarabangsa. Timbalan Canselor UMK, Profesor Datuk Dr...
JELI- Sebanyak 3,132 tempat ditawarkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kepada mahasiswa baharu bagi sesi September 2018/2019 yang mula mendaftar semalam. Timbalan Naib Canselor...
KOTA BHARU - Dua graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Darwisy Shahidy Baharudin dari Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan dan Dr Ng Kian Yiing, jurusan Perubatan...
PENGKALAN CHEPA - Penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Ahmad Faizrie Abdul Rasip, 21, dinobatkan sebagai johan pada Pertandingan Pidato Piala Timbalan Naib Canselor...
Seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diraikan dalam Majlis Mini Konvokesyennya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dengan penuh adat...