> Penyelidik UMP dedah khasiat misai kucing
Penyelidik UMP dedah khasiat misai kucing
NUR SHARIEZA ISMAIL Isnin | 28 Januari 2019

MISAI kucing atau secara saintifiknya dipanggil Orthosiphon Stamineus (O. Stamenius) mempunyai potensi dalam bidang perubatan yang terbukti memiliki khasiat seperti anti diabetes, kesan diuretik, anti kanser, antioksidan, menghalang karsinogenesis dan kolesterol.

Menyedari akan khasiatnya yang banyak, Dr Jolius Gimbun dan Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) membuat kajian dan penemuan secara berperingkat, yang akhirnya berjaya menemui suatu pembangunan kaedah inovatif untuk menghasilkan produk nutraseutil kaya polifenol berkualiti tinggi daripada misai kucing, Maleo Java Tea.

Produk inovasi ini dihasilkan melalui kaedah pengekstrakan canggih atau penyinaran gelombang mikro dan polariti pelarut berubah menerusi kaedah microencapsulation, menggunakan polysacprotein terbaharu yang dirumuskan.

Namun, secara klinikal sama ada adakah terbukti misai kucing mampu membantu menurunkan risiko diabetes dan beberapa penyakit masih lagi dalam pemerhatian.

Maleo Java Tea produk inovasi yang dihasilkan menerusi ekstrak misai kucing.

Potensi ekstrak misai kucing

Bagaimanapun, potensi untuk mengembangkan produk ini tetap ada. Hal ini terbukti, dengan melihat perkembangan pasaran semasa yang mana teh misai kucing merupakan salah satu produk yang masih mendapat sambutan dalam pasaran.

Khusus bagi masyarakat yang percaya bahawa herba tempatan mampu mengurangkan risiko penyakit, rata-rata meyakini pengambilan minuman jus herba bukanlah suatu penyelesaian total namun, pengambilannya diklasifikasikan sebagai makanan tambahan.

Justeru, syarikat Misatech PLT terpanggil untuk memberi kesedaran mengenai penggunaan kadar herba yang betul menerusi produk inovasi yang dihasilkan tersebut.

Perlu tahu penggunaan produk herba Pengasas bersama syarikat, Maliana Musa berkata, penting untuk umum mengetahui penggunaan yang betul dalam konsumsi produk berasaskan herba boleh memberi kesan baik.

Maliana (kiri) optimis potensi produk inovasi ekstrak misai kucing oleh Misatech PLT.

“Terdapatnya banyak produk berasaskan herba di pasaran kini melabelkan pelbagai kelebihan juga menjanjikan impak positif kepada pengguna. Namun secara peribadi saya berpendapat, ia tak menjanjikan kesan optimum. Ini berlaku apabila proses makanan mahupun minuman yang terdapat di dalam kebanyakan produk herba tidak diambil dengan betul.

“Rata-rata produk berasaskan herba mempunyai kandungan bahan bioaktif dengan miliki fungsi tertentu seperti kesan anti-penuaan, anti-diuretik dan sebagainya. Kandungan bahan yang berfungsi itu sebenarnya tidak memberi sebarang kesan, jika pengguna tidak dididik cara pengambilan dan penggunaan yang sebetulnya,” katanya.

Justeru tambahnya, pengguna perlu diberi kesedaran yang mana setiap proses makanan mahupun minuman asalnya mempunyai cara dan kaedah yang berbeza.

“Boleh jadi dalam mengendalikan proses makanan, suhu digunakan terlalu tinggi dan beri kesan kepada bahan bioaktif seterusnya hilang fungsinya kerana tidak tahan suhu tinggi.

“Begitu juga, asalnya produk tersebut mempunyai kandungan bioaktif yang tinggi, namun salah penggunaan dan konsumsi, menyebabkan hilang fungsi tersebut. Justeru, Misatech PLT menampilkan perkembangan produk inovasi Maleo Java Tea di dalam membantu menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Produk ekstrak misai kucing ini merupakan inovasi dibangunkan dengan kerjasama UMP melalui kaedah pengekstrakan canggih.
Misai kucing atau nama saintifiknya O.Stamenius miliki banyak khasiat.

“Ia menghasilkan bahan aktif yang optimum dalam kandungan misai kucing yang mana boleh diaplikasikan dalam makanan, minuman dan makanan tambahan lain,” katanya

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Misatech PLT, Muhammad Ruzaini Mohd Redzumaini berkata, produk inovasi ini turut mempunyai potensi untuk dipasarkan menerusi bidang kosmetik.

*Artikel ini dipetik daripada ruangan Inovasi Bisnes Sinar yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian, Isnin 28 Januari 2019.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi menjalankan kajian...
Pancaran sinar-X yang ditemui oleh saintis Jerman, Wilhelm Röntgen, di penghujung kurun ke-19 telah memainkan peranan yang besar
APABILA disebut pendakwah, pastinya terlintas dalam fikiran kita susuk tubuh seorang ustaz atau ustazah yang mendapat tauliah mengajar agama.
Senaman joging sangat baik bagi membantu seseorang penghidap penyakit insomnia
BERTERASKAN inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) maka Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan agenda...
Seramai 90 peserta menyertai Bengkel Inovasi Prospek Kerjaya anjuran Unit Inovasi Pendidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UPSI dengan kerjasama MIMOS BERHAD yang...