> > Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera, Tengku Hassanal tak banyak ragam ketika bayi
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera, Tengku Hassanal tak banyak ragam ketika bayi
AIMAN SADIQ ABDULLAH Rabu | 30 Januari 2019

BENTONG - Periang dan mudah dekati rakyat adalah gambaran keperibadian Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang telah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan semalam.

Tengku Hassannal sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat, suatu nilai yang turut diwarisi daripada ayahanda baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menyentuh keperibadian Tengku Hassanal sendiri, Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang lebih dikenali sebagai Jc menyifatkan, putera hasil perkongsian hidup Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu menerima didikan dan pendekatan sama seperti ayahandanya semasa menjadi Tengku Mahkota sebelum ini.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melafaz ikrar taat setia selepas dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, semalam. (FOTO: BERNAMA)

Menurutnya, Tengku Hassanal juga seorang yang berpendidikan dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Hubungan Antarabangsa (BA-IR) selepas tiga tahun menuntut di The Geneva School of Diplomacy and International Relation (GSD), Switzerland.

“Tengku Hassanal ketika ini sedang mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, iaitu akademi sama yang pernah dihadiri Al-Sultan Abdullah sehingga melayakkan baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Ratu Elizabeth pada 1980.

“Ibarat ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, Tengku Hassanal juga mewarisi sifat rendah diri dan kesederhanaan Al-Sultan Abdullah apabila sering kelihatan solat berjemaah di masjid sekitar Kuantan tanpa sebarang protokol yang ketat.

“Baginda juga telah beberapa kali ke daerah Bentong, turun padang dengan mengadakan program bertemu dengan rakyat jelata, membuatkan baginda cukup disegani oleh rakyat seperti paduka ayahanda,” katanya.

Jc berkata, pendekatan asuhan Al-Sultan Abdullah dan Tungku Azizah dalam mendidik Tengku Hassanal dilihat berjaya membentuk keperibadiannya menjadi seorang putera raja berjiwa rakyat sama seperti ayahanda dan nendanya, Sultan Ahmad Shah bagi meneruskan kesinambungan prinsip keluarga diraja ini ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.'

Tengku Hassanal (dua, kiri) beramah mesra bersama Jc (kanan) ketika ditemui.

Mudah dijaga dan sangat baik

Tengku Hassanal juga seorang yang tidak banyak ragam semasa masih bayi.

Jururawat istana, Datin Pathma Ramanathan berkata, malah kehadiran cahaya mata lelaki pertama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut gembira seluruh warga istana sehingga ada yang menitiskan air mata.

Menurutnya, beliau bertanggungjawab menjaga Tunku Azizah di istana pada sejak hari pertama disahkan mengandung sehinggalah genap sembilan bulan dan melahirkan cahaya mata di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Tengku Hassanal seorang bayi yang sangat sempurna, elok rupa parasnya, mudah dijaga dan sangat baik. Baginda tak banyak ragam. Kurang menangis.

“Ketika itu kami antara lima ke enam orang jururawat mempunyai tiga syif, siang dan malam dan bekerja di sana sehingga sembilan bulan 10 hari. Bukan Tengku Hassanal sahaja, tetapi kesemua anakanda Tunku Azizah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

*Sumber artikel: Sinar Harian Rabu 30 Januari 2019

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali biodata Sultan Pahang keenam


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
PROGRAM latihan industri adalah tidak asing lagi kepada mahasiswa yang mengikuti program diploma mahupun ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi. Ia merupakan fasa yang...
HASRAT kerajaan dalam memperkasakan mahasiswa disambut baik majoriti mahasiswa di segenap pelosok negara dengan pelbagai agenda yang bakal dilaksanakan pihak kementerian amnya...
KUALA NERUS - Biarpun dilahirkan dalam keluarga kurang berkemampuan, dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-10 Universiti Sultan Zainal Abidin...
KUALA NERUS - Berbekalkan semangat juang yang tinggi, Leftenan Madya Ahmad Irfan Afif Azman yang menganggotai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) bagi...
IPOH - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956. Dalam hierarki Kesultanan Negeri Perak, Baginda...
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Oleokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun bukan penghalang wanita berusia 26 tahun ini bergelar usahawan.