> IKON > Terpaksa jual rumah! Jafrey nekad buka IPTS dek tersentuh lihat pelajar tak berkemampuan
Terpaksa jual rumah! Jafrey nekad buka IPTS dek tersentuh lihat pelajar tak berkemampuan
SYAMILAH ZULKIFLI Rabu | 30 Januari 2019

ATAS dasar cinta terhadap bidang pendidikan mendorong Mohd Jafrey Moideen Kutty, 35, bersama rakan kongsi, Mohd Shafie Md Sarip membuka institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bertempat di daerah Tampin, Negeri Sembilan, beliau kini boleh berbangga dengan penubuhan Kolej Seri Ayu (SAC) yang beroperasi sejak 2015.

Meskipun perjalanannya berliku selain perlu bersaing dengan lambakan IPTS lain, namun anak kelahiran Batu Pahat ini puas apabila pusat pengajian diterajuinya melahirkan ramai graduan.
Ruang pembelajaran kondusif diberi keutamaan.

Beliau yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah SAC nekad membuka IPTS selepas tersentuh melihat pelajar yang tidak berpeluang menyambung pengajian kerana kesempitan hidup ketika berkhidmat di beberapa IPTS sebelum ini.

“Saya ada pengalaman berkhidmat di IPTS selama tujuh tahun sama ada dalam bidang akademik atau pengurusan. Dari situ, saya mengaut ilmu dan terdedah dengan pelbagai cerita. Saya dapati ada IPTS yang lebih mengejar keuntungan semata-mata sehingga ambil pelajar yang ramai sedangkan tidak mampu beri pendidikan terbaik dan kemudahan pembelajaran sempurna,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu tidak adil kepada pelajar sedangkan mereka membayar yuran pengajian yang mahal.

Bertitik-tolak dari situ Mohd Jafrey memulakan rancangan dan strateginya bersama rakan kongsi membuka SAC dengan permulaan menawarkan kursus Diploma Pengurusan Perniagaan hanya kepada 30 pelajar.

Mohd Jafrey (kiri) sentiasa berbincang dengan Mohd Shafie sebelum membuat keputusan berkaitan kolej.

“Dua tahun kemudian, kita baharu membangunkan kursus lain dan paling penting mengehadkan pengambilan 300 pelajar setiap tahun untuk pastikan kualiti pembelajaran pelajar.

Terus terang saya cakap pada awalnya bukan mudah sehingga saya sendiri terpaksa jual rumah untuk pastikan kelestarian SAC. Tapi syukur hari ini dapat lihat kejayaan SAC yang kini jadi pilihan ramai,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana dapat sokongan keluarga selain mempunyai rakan kongsi yang mempunyai misi dan visi sama.

Malah bukan keuntungan dicari, sebaliknya memastikan anak bangsa mendapat pendidikan tinggi bukan sekadar tamat sekolah semata-mata.

Kesal ada anggap sambung belajar tak penting

Namun apa yang dikesali Mohd Jafrey apabila melihat segelintir generasi hari ini yang menganggap pendidikan tinggi itu bukan lagi jadi keperluan.

Ini kerana katanya, ada yang melihat kejayaan itu bukan terletak pada pendidikan semata-mata sebaiknya peluang pendapatan atau pekerjaan yang ada di depan mata.

“Tolong jangan nafikan pendidikan itu penting. Memang ramai hari ini buktikan berjaya dalam perniagaan tanpa ada kelulusan tinggi. Hasil kejayaan itu saya tak nafi jadi kebanggaan. Tapi, anda akan jadi insan lebih berjaya jika ada ilmu dan pendidikan tinggi,” katanya.
SAC menawarkan pembelajaran eksklusif.

Peluang pendidikan SAC

Sementara itu katanya, SAC menawarkan empat program diploma yang menepati keperluan pasaran iaitu Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pengurusan Logistik dan Diploma Perakaunan.

Jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan program yang mendapat permintaan tinggi kerana peluang pekerjaannya terbuka luas sama ada di sektor awam dan swasta.

Paling penting kolej ini mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM) dan setiap programnya mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Peluang untuk mengikuti program pendidikan di SAC juga terbuka kepada sesiapa sahaja dengan syarat sekurang-kurangnya tiga kredit dalam mana-mana subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MOHD JAFREY

BIODATA

NAMA: Mohd Jafrey Moideen Kutty

UMUR: 35 Tahun

ASAL: Batu Pahat

STATUS: Berkahwin

PENDIDIKAN TERTINGGI: Institut Agama Islam Negeri(IAIN) Ar Raniry Bandar Aceh (Sarjana Hukum Islam)

Sumber: Sinar Harian Rabu 30 Januari 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Apa yang aku nak sampaikan ialah aku bukan hendak membuka aib sendiri...aku nak masyarakat tahu bahawa aku dulunya seorang yang liar dan nakal. Terlibat dengan jenayah, maksiat...
SERDANG: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini menggariskan tiga hala tuju bagi memartabatkan sistem pendidikan sesuai dengan visi menjadikan "pendidikan untuk...
Dalam kesibukannya menguruskan perniagaan, Fadzli Nordin berjaya menggenggam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan demi menambah ilmu baharu yang memberi kekuatan saat berdepan...
Universiti Malaya menjadi tuan rumah bagi mesyuarat projek penyelidikan Erasmus Active Learning selama tiga hari bermula pada 9 Januari di Bangunan Canselori. Ini adalah projek...
Kita sedia maklum, makanan segera tidak elok untuk kesihatan kerana kurang berkhasiat. Namun begitu, walaupun sudah dididik sedari kecil tentang ketidakbaikan makanan segera ini,...
Jarang sekali kita dengar gadis yang memakai niqab turut serta dalam aktiviti sukan lasak. Kali ini kita berkenalan dengan seorang pelajar dari Kolej Islam Antarabangsa yang masih...