POLITEKNIK Ungku Omar, menerusi hasil penglibatan dalam 11th China-ASEAN (the Association of Southeast Asian Nations) Education Cooperation Week di Guizhou pada 26 Julai 2018 yang lalu telah menandatangani Framework of Cooperation bagi melaksanakan kerjasama dengan institusi pendidikan di China, di antaranya Anhui Business College dan Yangzhou Polytechnic College.
Terbaharu, Politeknik Ungku Omar (PUO) diundang menyertai program 2019 Belt and Road Higher Vocational Forum yang berlangsung di Anhui Business College, China pada 7 Januari lalu di samping jemputan untuk menjalinkan kolaborasi dengan Anhui Technology University dan Yangzhou Polytechnic College di Wilayah Yangzhou.
Seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada 17 Kolej Vokasional dan Perusahaan dari Wilayah Anhui; serta wakil dari negara Thailand telah menyertai program anjuran Anhui Business College dan Anhui Province Finance and Business Professional Education Group mengikuti forum ini.
Antara ucaptama dalam forum berkenaan ialah Pengarah Education Malaysia Beijing, Tuan Haji Abdul Aziz How Abdullah yang menyampaikan maklumat Diplomasi Pendidikan Malaysia China dan TVET serta turut mengalu-alukan kerjasama pendidikan erat antara institusi pendidikan kedua dua negara.
Sementara Pengarah PUO, Dr. Haji Zairon Mustapha, telah menyampaikan pembentangan berkaitan peluang kerjasama pendidikan berkaitan TVET. Turut serta bersama delegasi tersebut ialah Woon Chee Chee, Penasihat Kelab Bahasa Mandarin dan Yeoh Poh See, Pegawai Pengantarabangsaan dari PUO.
Forum ini telah memberi peluang dan maklumat yang jelas bagi mewujudkan kerjasama dalam bidang TVET bagi kedua-dua negara. Anhui Business College, dengan kekuatan sokongan oleh 36 industri dalam bentuk pembelajaran berasaskan kerja (work based learning) telah menunjukkan minat terutama dalam bidang reka bentuk dalaman, pengurusan kewangan dan perbankan dan pusat kajian pasaran saham dalam menyediakan latihan industri dan kepakaran kepada para pelajar.
Hasil mesyuarat bersama pihak Anhui Business College juga telah mencapai persetujuan dan persefahaman bagi melaksanakan program pertukaran pelajar, pertukaran staf, latihan industri dan juga pembangunan kurikulum bersama. Selain itu, kedua-dua belah pihak bersedia menyediakan platform untuk menyediakan pusat kecemerlangan bahasa dan budaya di PUO dan Anhui Business College.
Manakala hasil mesyuarat bersama Anhui Technology University telah mencapai persetujuan dan persefahaman bagi penawaran biasiswa kepada pelajar dari Politeknik Ungku Omar yang ingin melanjutkan pengajian ke tahap Sarjana Muda dan Sarjana di Anhui Technology University.
Hasil mesyuarat bersama pihak Yangzhou Polytechnic College pula telah mencapai persetujuan dan persefahaman bagi melaksanakan program dalam bidang Building Information Modeling (BIM) dan pembuatan teknologi terkini (Siemens).
Menurut Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Haji Zairon Mustapha berkata beberapa cadangan dan kerjasama telah dirancang terutama untuk pelajar dan kakitangan dalam bidang bahasa dan kebudayaan China-Malaysia, bidang Kejuruteraan Awam dan Mekanikal, pertukaran serta penawaran biasiswa yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Tambah beliau pihaknya akan memberikan cadangan tindakan berkaitan dan bentuk kerjasama yang dinyatakan agar lebih praktikal dan dapat dilaksanakan serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.