> > Pernah kecurian duit hasil jualan, tapi siapa sangka siswi UMT ini dah ada kedai sendiri
Pernah kecurian duit hasil jualan, tapi siapa sangka siswi UMT ini dah ada kedai sendiri
NORHAYATI ALLI FOTO: KOLEKSI WIDA Rabu | 6 Februari 2019

TIDAK mahu membebankan orang tua, lebih-lebih lagi selepas bapanya bersara, membarakan lagi semangat Nor Wahidah Abdul Salam menceburi bidang keusahawanan.

Bermula dengan menjadi 'dropship' menjual 't-shirt printing' di universiti tempatnya belajar, lama-kelamaan ia menetaskan idea untuknya mereka tudung jenama sendiri, Strawberry Scarves dan menjualnya secara atas talian (online).

"Idea berkenaan timbul pada tahun kedua pengajian. Seterusnya, pada tahun ketiga, saya mula nampak perniagaan ini boleh pergi lebih jauh terutama dalam kalangan pelajar universiti.

"Jadi, saya mula menjualnya secara 'offline' dengan membuka kedai sendiri, Strawberry Outlet di tempat disediakan oleh Kosiswa universiti untuk usahawan pelajar," jelas siswi Sarjana Muda Sains Matematik Kewangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusia 22 tahun ini.

Wida dalam satu sesi foto bersama model yang juga rakan-rakan siswi UMT.

Tanpa pinjaman

Lebih dikenali sebagai Wida, baginya, dengan berniaga juga dia dapat mengumpul sendiri duit perbelanjaan dan pengajian tanpa meminjam daripada mana-mana agensi mahupun keluarga.

"Di samping itu, sedikit sebanyak saya dapat meringankan beban keluarga memandangkan ayah sudah pencen dan ibu pula memang tak bekerja.

"Saya memilih perniagaan ini apabila melihat ia boleh pergi lebih jauh. Setiap kali saya buat 'sale', alhamdulillah, produk saya terjual dalam masa yang singkat," katanya sambil mengakui perniagaan atas talian sebagai dropship tidak memerlukan modal tetapi komitmen yang kuat terhadap perniagaan.

Strawberry Outlet milik Wida yang terletak di UMT.

Buka peluang 'vendor' siswa

Menurut Wida lagi, 70 peratus daripada keuntungannya datang daripada jualan atas talian yang sudah ada 'loyal customer'.

"Cuma, biasanya semasa minggu final exam agak menurun memandangkan ketika itu, saya sendiri lebih banyak fokus kepada pelajaran.

"Mengetahui keadaan ini, biasanya saya dah 'prepare' awal-awal untuk gandakan 'sales' pada bulan-bulan sebelumnya untuk 'cover' pada minggu yang saya sibuk dengan pelajaran," jelasnya yang turut dibantu empat pekerja terdiri daripada mahasiswa UMT juga.

"Selain itu, saya juga buka peluang 'vendor' kepada student lain yang ada pegang stok barang dan hendak dijual secara offline seperti handsocks, stoking dan tudung," tambahnya.

Buat jadual

Meskipun teruja dengan bidang keusahawanan diceburi, namun Wida masih meletakkan pelajaran keutamaan.

"Bagi saya walau apa pun aktiviti yang kita lakukan atau mana-mana kelab yang kita sertai, pelajaran adalah paling utama, kerana niat utama kita masuk ke universiti adalah untuk belajar.

"Saya telah buat jadual untuk jaga kedai ikut masa terluang, manakala pada hari dan masa yang sibuk atau ada kelas, saya buka peluang itu kepada mahasiswa lain berkelapangan dan ingin cari duit poket untuk kerja secara sambilan," ujarnya lagi.

NOR WAHIDAH

Pengalaman pahit

Sepanjang menceburi bidang keusahawanan ini, Wida juga tidak terlepas daripada melalui pengalaman pahit manis

"Pengalaman pahit yang saya lalui dalam bidang ini adalah pada bulan pertama membuka perniagaan secara 'offline', separuh dari duit hasil kedai saya telah dicuri yang menyebabkan saya kekurangan wang nak 'rolling' untuk hasilkan produk pada bulan berikutnya.

"Tapi, kenangan manis pula apabila berpeluang pergi ke Vietnam untuk membeli kain untuk menghasilkan jenama rekaan saya selain mengadakan sesi fotografi produk jualan bersama model terpilih berdasarkan ciri-ciri yang saya kehendaki," katanya tidak menafikan mendapat banyak sokongan dan bantuan daripada kawan-kawan dan keluarga.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
SITIAWAN - Seorang warga emas melahirkan rasa terharu apabila kesusahan hidup dia dan keluarganya mendapat perhatian pihak Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute Of Marine...
BUKAN mudah bergelar anak kepada seorang selebriti, lebih-lebih lagi artis seperti Didie Alias yang memang cukup sinonim bukan sahaja pada komedinya tetapi juga keberaniannya...
KUALA NERUS - Menghidap penyakit buah pinggang tahap empat tidak menghalang Muhammad Khairuzzaman Abdul Manan @ Abdul Munin, 24, menggenggam segulung ijazah dengan keputusan...
Perbezaan agama bukanlah halangan untuk memutuskan sesuatu hubungan lebih-lebih lagi ikatan kekeluargaan.
SUDAH hampir sepuluh tahun sebagai Pegawai Belia dan Sukan, banyak pahit manis pengalaman yang telah dilalui Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Yob...
BERDASARKAN pengamatan sehari-hari, semakin ketara masyarakat kita gemar berhubung dengan menggunakan bahasa yang bercampur-campur.