Jaringan di antara sesebuah institusi pendidikan dan masyarakat sekitar adalah penting bagi mengekalkan hubungan yang baik di antara mereka.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting demi menjaga hubungan yang baik bersama masyarakat sekitar khususnya sekolah-sekolah di negeri Pahang.
Antara inisiatif yang dilakukan termasuklah menganjurkan Program Reach Out pada 26 Januari 2019 lalu yang disertai seramai 79 orang pelajar sekolah sekitar negeri Pahang.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Inggeris, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanunusiaan (PBMSK), Universiti Malaysia Pahang yang terdiri daripada enam orang pendidik serta seorang pelajar latihan industri hasil kerjasama Integrated Islamic School (IIS), Kuantan Pahang bagi menjayakan sebuah projek yang dihoskan oleh Educational Testing Service (ETS) iaitu TOEFL® Young Students Series GO English!
Eshia & Associates Sdn Bhd yang merupakan wakil Malaysia bagi ETS telah melantik Guru Bahasa Kanan di Universiti Malaysia Pahang, Puan Hajjah Noor Azlinda Zainal Abidin, selaku penyelaras bagi mempromosikan serta menggalakkan guru-guru dan para pelajar untuk melibatkan diri dalam projek TOEFL® Young Students Series GO English!
Ini juga merupakan salah satu inisiatif di peringkat PBSMK bagi program berbentuk servis kepada komuniti.
Program sehari ini turut melibatkan seramai 10 orang guru dari Integrated Islamic School, Kuantan, Pahang. Pendekatan ‘Fun, Interactive, Creative Learning’ telah berjaya melahirkan idea kreatif dalam kalangan pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6.
Program Reach Out ini juga sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dengan menggalakkan mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris serta memupuk minat mereka untuk menjalani gerak kerja dan latihan secara berkumpulan.
Dengan tema seperti ‘Sayangi Haiwan’, ‘Sayangi Alam Sekitar’ dan ‘Sayangi Komuniti’, idea serta karya kreatif para pelajar ini diterjemahkan melalui lukisan poster bagi menginspirasikan tema ETS pada tahun ini iaitu ‘Make the World a Better Place’.
Para pelajar akan menerima hadiah istimewa dari ETS berupa bahan pendidikan, plak bagi sekolah serta sijil pencapaian individu setelah guru mereka memuat naik semua dokumen berkaitan kepada ETS sebagai bukti penghantaran dokumen.
Pengarah Urusan Eshia & Associates, Ezani Amir yang merupakan wakil tunggal Malaysia bagi ETS berkata program ini telah berjaya mempamerkan kreativiti para pelajar pada usia muda.
Para pelajar perlu membuat kajian berkenaan topik yang diberikan, mengaplikasikan kemahiran bahasa malah perlu menunjukkan semangat serta kerjasama dalam kumpulan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan projek ini secara langsung mahupun tidak langsung di IIS termasuklah para guru, pelajar, ibu bapa serta fasilitator dari UMP.
Salah seorang pelajar tahun 5, Faznur Fadilla Md Ali berkata, kumpulan mereka berjaya membawa bahan-bahan terbuang dari rumah seperti buku, majalah serta alat tulis bagi menyiapkan projek ini. Dia sangat gembira dan bersyukur kerana mendapat sokongan dan galakan daripada ibu bapanya.
Mohamad Farrel Dazeman Mohamad Fatasya, 11, pula berkata dia amat teruja dengan projek ini. Dia banyak melakukan perbincangan bersama rakan-rakan sekumpulan.
Berdasarkan tema ‘Sayangi Alam Sekitar’ pula, dia telah mempelajari serta dapat memupuk rasa sayang terhadap alam sekitar. Dia juga telah mempelajari beberapa perkataan baru hasil sumbang saran serta tunjuk ajar daripada guru IIS dan fasilitator UMP.
“Secara peribadi, saya amat teruja dengan projek sebegini. Melalui perbincangan serta gerak kerja secara kumpulan, saya banyak mempelajari perkataan baru di dalam Bahasa Inggeris,” ujarnya.
Guru Besar IIS, Abdul Rahim M. Ali pula berpendapat bahawa peluang sebegini seharusnya dimanfaatkan bersama oleh para guru dan pelajar di IIS kerana ia membantu dalam memberi kesedaran terhadap kepentingan berbahasa Inggeris.
Idea-idea mereka yang diterjemahkan menggunakan poster dapat membantu menyampaikan mesej yang berkesan kepada orang ramai di peringkat global. Peluang ini juga membantu pelajar bagi menambahkan lagi keyakinan diri dalam berbahasa Inggeris dan sebagai motivasi buat mereka.
Sementara itu, pengusaha ISS, Nor Diana Kassim berkata, program sebegini merupakan satu idea yang bernas untuk para pelajar di sini. Para pelajar dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi melahirkan idea-idea yang kreatif.
Pembikinan poster ini dapat memaksimakan penglibatan pelajar dan juga penglibatan ibu bapa secara tidak langsung. Nor Diana berharap program sebegini dapat dilaksanakan secara tahunan sekiranya diberi peluang.
Program ini merupakan satu penglibatan yang besar kerana hasil kerja para pelajar ini akan turut dilihat di peringkat antarabangsa dan ini merupakan satu hadiah yang paling istimewa bagi pelajar di IIS buat Malaysia.
ARTIKEL OLEH: Noor Azlinda Zainal Abidin, Guru Bahasa Kanan, PBMSK, UMP