> MLK N.9 > Personaliti agama, Ustaz Hariri Mohamad Daud dilantik Ahli Lembaga Pengarah baharu USIM
Personaliti agama, Ustaz Hariri Mohamad Daud dilantik Ahli Lembaga Pengarah baharu USIM
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK USIM Jumaat | 8 Februari 2019

NILAI – Personaliti agama yang sering muncul sebagai moderator Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Ustaz Mohd Hariri Mohammad Daud, 35 dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu.

Pelantikan beliau dipersetujui oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malek selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (f) Perlembagaan USIM (Wakil Alumni) bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2022.

Mohd Hariri anak kelahiran Pasir Mas Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Dakwah DAN Pengurusan Islam) USIM (2009) dan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (2016) merupakan Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mohd Hariri yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti atas kapasiti alumni telah memberi pelbagai sumbangan kepada universiti sejak zaman beliau menjadi mahasiswa USIM.

Semasa pengajiannya di USIM, beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dan Presiden Kelab Debat selain aktif mewakili universiti sebagai pendebat Bahasa Melayu dengan meraih pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan.

Sepanjang perkhidmatannya di Jakim, beliau telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri, Anugerah Pekerja Harapan Jakim dan menjuarai Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

Beliau juga turut terpilih oleh Kedutaan Amerika Syarikat pada 2018 sebagai peserta program berprestasi tinggi, International Visitor Leadership Program (IVLP) untuk berkursus di Amerika Syarikat.

Selain memberi sumbangan kepada masyarakat melalui lapangan dakwah, beliau juga aktif dalam bidang penulisan. Beliau telah menulis lebih 12 buah buku dan pernah mendapat Top 5 Buku Paling Popular tahun 2015 serta Buku Pilihan Perpustakaan Negara 2018.

Antara buku penulisan beliau adalah ‘Rumah Yang Berkat Membawa Rahmat’, 99 Tips Pembentangan Power dan terkini ‘Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika’. Beliau juga turut menyumbang penulisan keagamaan sebagai kolumnis di akhbar perdana dan majalah.

Pihak universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu alukan pelantikan ini yakin beliau dapat memberi sumbangan yang signifikan dan membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selari dengan perancangan strategik universiti untuk menjadi institusi rujukan global dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Univesiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Selain beliau, turut dilantik...
Muhamad Husaini Mahmur yang muncul johan qari Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Sembilan kelmarin adalah satu contoh kecemerlangan yang akan terpahat sebagai kejayaan yang...
Diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia di Lembaga Zakat Negeri Kedah di usia muda memberi kelebihan kepada alumni Fakulti Syariah...
NILAI – YB Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju untuk melantik Datuk Prof. Dr Siddiq Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu....
PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, mengumumkan pelantikan Dr Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu. Menerusi satu kenyataan,...
PENGARAH Urusan merangkap Timbalan Presiden Altera Corporation (M) Sdn. Bhd, Datuk Dr. Mohd Sofi Osman telah dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU)...