KEMAMAN - Petronas melalui Institut Teknologi Perindustrian Petroleum (INSTEP) membuka peluang kepada lepasan diploma di dalam bidang teknikal yang layak untuk mengembangkan potensi mereka di dalam bidang minyak dan gas melalui kursus-kursus yang ditawarkan institut itu.
Menurut Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, Petronas terus komited di dalam menyokong agenda pendidikan di Terengganu termasuk di dalam menaja perjalanan 10 sekolah amanah untuk tempoh lima tahun.
“Petronas turut membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar supaya mereka menjadi lebih yakin apabila memasuki pasaran kerja.“Semenjak 1975, Petronas komited menaja untuk pelajar cemerlang yang layak untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang berkenaan di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KTS yang merupakan salah sebuah sekolah amanah di bawah tajaan Petronas.
Turut hadir, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Roshali Taha; Yang Dipertua PIBG KTS, Hassan Ali dan Pengetua KTS, Sabariah Ibrahim.
Menyentuh mengenai sekolah amanah, Wan Mohd Hasnan berkata, KTS mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dan ia juga membuktikan komitmen Petronas selama ini berhasil.
Pada majlis itu turut disampaikan dua kerusi roda untuk pelajar istimewa iaitu Nik Abdul Muhaimin Othman dan Nur Nadia Maisarah Mohd Amran.
Sementara itu, Hassan meminta ibu bapa agar memberi komitmen padu kepada semua program yang dijalankan KTS kerana kehadiran ibu bapa ke program sekolah umpama tonik berharga yang mempengaruhi kemenjadian pelajar.