SINGAPURA - Bermula Ogos tahun ini mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS) boleh mereka modul mereka sendiri.
Universiti berkenaan dalam satu kenyataan menjelaskan, ia merupakan kali pertama kaedah seperti itu ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di republik ini.
Katanya, kaedah berkenaan dipercayai mampu meningkatkan proses kemasukan pelajar politeknik dengan kemahiran keusahawanan yang kukuh.
“Pelajar yang berminat untuk mereka sendiri modul mesti terlebih dahulu mempunyai sekurang-kurangnya 10 anggota dalam satu-satu pasukan.
“Mereka boleh menjemput penceramah jemputan untuk membimbing mereka bagi satu subjek seperti fintech (teknologi kewangan) atau kemapanan bandar,” katanya sebagaimana dipetik berkata kepada Mediacorp.
Katanya, pelajar juga boleh memilih modul secara dalam talian (online) yang ditawarkan oleh edX, sebuah penyedia kursus online terbuka yang bukan meraih bertujuan keuntungan dan mempunyai lebih 2,100 kursus peringkat universiti.
“Pelajar kemudian boleh mengemukakan cadangan kepada mentor fakulti NUS atau kepada fakulti mereka sendiri untuk diluluskan. Mereka akan dibimbing oleh mentor fakulti yang akan menetapkan tugasan dan menyelia perbincangan,” katanya.
Secara berasingan, lulusan politeknik dengan keupayaan keusahawanan juga mempunyai peluang lebih baik untuk mendapatkan tempat di NUS.
Lima politeknik boleh mencalonkan sehingga 200 lulusan yang akan dipertimbangkan untuk kemasukan.
Tahun lalu, 15 peratus daripada pengambilan pelajar NUS terdiri daripada pelajar politeknik, naik 11 peratus berbanding lima tahun lalu.
NUS juga akan memperluaskan skim kemasukan bonus kepada pelajar politeknik dari Sekolah Tinggi NUS dan yang mempunyai kelayakan Baccalaureate Antarabangsa (IB).