> CETUSAN > Menjayakan ASaP: Ayuh bersama-sama bersatu hati tangani masalah penggunaan plastik
Menjayakan ASaP: Ayuh bersama-sama bersatu hati tangani masalah penggunaan plastik

TULISAN ini berkisar tentang Agenda Sifar Plastik atau akronimnya ASaP. Akronim ini amat popular untuk satu singkatan dalam bahasa Inggeris yang membawa erti As Soon As Possible. Ini bererti agenda ini (ASaP) lebih baik dipercepatkan pelaksanaannya untuk manfaat negara dan rakyat atas sebab-sebab tertentu.

Pada sejarahnya, penggunaan bahan-bahan diperbuat daripada plastik telah lama diguna pakai oleh masyarakat di negara kita. Beg, straw, cawan dan pinggan plastik merupakan bahan plastik paling banyak digunakan. Sumbangan bahan-bahan ini kepada krisis pemanasan global telah menjadi perdebatan hangat di negara ini.

Walau bagaimanapun, penggunaannya masih lagi meluas dalam kalangan orang ramai. Pembungkusan makanan menggunakan bahan plastik mahupun styrofoam menjadi pilihan utama masyarakat kerana ia dirasakan lebih praktikal, ringan dan boleh digunakan berulang kali selagi masih dalam rupa bentuk yang baik. Hal ini terjadi kerana dirasakan kurangnya kesedaran orang awam terhadap kesan-kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Menurut sumber laman web rasmi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat lebih 280,000 tan buangan sisa-sisa plastik dan polistirena yang telah diguna pakai sehingga 2016 dan menyumbang kepada pencemaran. Plastik juga merupakan sumber buangan kedua terbesar selepas kertas yang bernilai hampir RM163 juta.

Tahukah anda, bagi setiap lima minit, sehelai beg plastik digunakan mengambil masa lebih 50 tahun untuk mereput? Berdasarkan artikel oleh Subashini Rajandra bertajuk ‘500 tahun tidak reput’ (Kosmo Online), secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu.

Artikel ini juga merumuskan bahawa 36 peratus daripada mereka yang ditemu ramah mengakui membuang beg plastik selepas sekali penggunaan sahaja. Penggunaan bahan-bahan plastik ini juga telah memudaratkan kesihatan manusia serta haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Menurut US Food and Drug Administration (FDA), bahan kimia yang terdapat dalam bahan-bahan plastik ini akan merembes keluar terutama apabila digunakan pada suhu yang tinggi. Sebagai contoh, membungkus makanan dan minuman panas dengan pembungkus plastik adalah sangat tidak elok untuk kesihatan kerana secara tidak langsung bahan kimia daripada plastik tersebut akan merembes keluar dan meresap ke dalam makanan atau minuman, seterusnya akan masuk ke dalam tubuh badan manusia yang memakannya.

Bahan kimia ini tidak dapat dihadamkan sistem pencernaan seterusnya membentuk radikal bebas yang mana ia menjadi salah satu penyebab penyakit kanser yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Penggunaan bahan-bahan plastik ini juga telah memudaratkan kesihatan manusia. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

Selain itu, bahan-bahan plastik yang dibuang ke dalam sungai oleh manusia tidak bertanggungjawab akan dihanyutkan ke dalam laut dan ini seterusnya telah membunuh ratusan penyu dan hidupan marin yang memakannya atau lemas akibat terperangkap di dalam bahan-bahan plastik ini.

Kesedaran terhadap keburukan dan mudarat bahan-bahan plastik ini telah menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan dan seterusnya menghentikan penggunaannya. Antara langkahnya adalah dengan menghentikan bekalan dan jualan bahan-bahan plastik. Saranan kepada rakyat agar membawa beg atau troli sendiri ke pasar juga salah satu alternatifnya. Iklan-iklan mengitar semula bahan-bahan plastik dan terpakai telah giat diadakan.

Pengharaman penggunaan bekas plastik dan polistirena bagi mengisi makanan juga telah dikuatkuasakan hampir di seluruh kafeteria di universiti awam dan swasta. Langkah lebih drastik telah dilaksanakan beberapa buah negeri apabila telah mengambil tindakan menyita kilang-kilang pembuatan plastik haram.

Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyekat pemberian permit import (AP) sisa plastik. TESCO Malaysia merupakan antara pasar raya yang telah menyahut seruan kerajaan ini dengan menghentikan bekalan beg plastik kepada pelanggannya. Alternatifnya, pelanggan TESCO digalakkan menggunakan beg kain TESCO dan untuk membawa beg kain tersebut setiap kali membeli belah di pasar raya tersebut serta mata ganjaran akan diberikan kepada pelanggannya.

Mengambil contoh tauladan daripada negara luar seperti Amerika Syarikat, kedai-kedai pasar raya termasuk kedai-kedai runcit biasanya menggunakan beg kertas yang teguh sebagai alat pengganti plastik. Selain itu, kotak-kotak turut disediakan kepada para pelanggan yang ingin membawa barang-barang yang lebih besar dan berat. Amalan ini patut kita contohi kerana selain dapat dikitarkan semula, kertas merupakan bahan mesra alam kerana mudah degradasi.

Negara-negara yang telah mengharamkan penggunaan plastik ini termasuklah Kernataka di India, Kenya, Chile, United Kingdom, Australia dan China. Malaysia juga tidak terkecuali tersenarai dalam negara-negara yang sedang menuju ke arah pengharaman penggunaan bahan plastik ini.

Sehubungan dengan isu ini, beberapa kumpulan penyelidik di beberapa buah universiti di Malaysia juga telah giat menjalankan kajian bagi menggantikan bahan-bahan plastik dengan bahan lain yang lebih selamat dan biodegradasi.

Seekor burung cuba mengeluarkan makanan daripada beg plastik. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

Kajian yang dilakukan Profesor Madya Dr Wan Aizan Wan Abdul Rahman bersama-sama kumpulannya dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan pelbagai produk berasaskan bahan-bahan terbuang daripada tumbuh-tumbuhan seperti nenas, kenaf dan lain-lain. Penghasilan bahan daripada bahan-bahan alami seperti ini dapat menjadi sumber alternatif kepada bahan-bahan plastik yang sedia ada kini dan seterusnya platform ke arah alam sekitar dan kesihatan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Kesimpulannya, ayuhlah kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani masalah penggunaan plastik di nagara kita kerana telah sekian banyak fenomena yang tidak diingini telah berlaku berpunca daripada plastik ini. Jelasnya, sekiranya masalah ini dapat diatasi, rakyat dapat hidup dalam sejahtera dan negara akan lebih harmoni.

Penulis utama:

Dr Nur Izyan Wan Azelee

Pensyarah Kanan,

Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan Kimia,

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Penulis bersama:

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Pensyarah Kanan,

Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
PELBAGAI reaksi masyarakat dunia dapat kita saksikan setelah plastik sampah seberat 5.9 kilogram ditemui di dalam perut bangkai ikan paus yang terdampar di perairan Wakatobi,...
BATU PAHAT – Teruja untuk merasakan pengalaman berkhidmat kepada masyarakat di luar negara adalah salah satu respons daripada salah seorang dari 20 peserta program Mobiliti...
PADA zaman abad ke 21 ini, pembelajaran menggunakan alat teknologi banyak digunakan pelajar-pelajar bahkan oleh semua pengguna tanpa had umur. P21 – Partnership for 21st Century...
MENJADI barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di sebuah Kolej Vokasional pasti akan merasa kelainan disebabkan perbezaan situasi dan persekitaran berbanding di Institut Pengajian...
DALAM alam pendidikan tidak lengkap jika tidak diadakan majlis graduasi, konvokesyen dan komensmen. Majlis ini menjadi penamat atau khatam bagi sesuatu sidang atau tempoh...
Ketegasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguatkuasakan peraturan menjadikan restoran dan premis makanan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2019 amat...