> > Sebak! Tiada duit, terpaksa ikat perut... nota ditinggalkan pelajar ini meruntun jiwa
Sebak! Tiada duit, terpaksa ikat perut... nota ditinggalkan pelajar ini meruntun jiwa
NORHAYATI ALLI Selasa | 12 Februari 2019

“Assalamualaikum... terima kasih pada pihak yang memberikan free food. Saya dah berhari tak ada duit untuk makan. Terima kasih banyak. Saya dapat makan hari ni. Saya ambil lebih 1. Terima kasih. Semoga Allah murahkan rezeki tuan/puan. Pelajar UMT.”

Pemberian makanan percuma ini ternyata amat dihargai kalangan warga kampus. (FOTO UMT)

Nota pada sekeping kertas separuh koyak yang ditinggalkan di sebuah kios makanan ini, ternyata menyentuh hati dan menimbulkan rasa terharu khususnya kepada sukarelawan yang menyediakan makanan percuma berkenaan.

Betapa kos sara hidup yang semakin meningkat masa kini memberi impak kepada banyak pihak. Tidak terkecuali golongan mahasiswa yang turut terkena tempiasnya.

Nota yang ditinggalkan pelajar di kios AOK. (FOTO UMT)

Kisah mahasiswa kelaparan dan terpaksa ‘ikat perut’ disebabkan ketidakmampuan, pernah menggemparkan negara, lantaran mereka harus berjimat-cermat demi memastikan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian mencukupi sekurang-kurangnya sehingga habis semester.

Pelajar mengambil makanan yang disediakan. (FOTO UMT)

Ya, bukan semua mereka yang bergelar mahasiswa berasal daripada keluarga berkemampuan atau memperoleh biasiswa mahupun pinjaman, tetapi ia belum tentu mencukupi untuk menampung kehidupan di dalam kampus, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di luar kampus, segalanya memerlukan perbelanjaan – sewa rumah, kenderaan, makan minum dan sebagainya.

Sedar dan prihatin terhadap masalah sebegini, telah mendorong kalangan warga kampus sama ada di pihak pengurusan seperti pensyarah dan staf mahupun mahasiswa sendiri menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif bagi membantu pelajar tidak berkemampuan ini.

Kongsi rasa kepada yang ‘tiada’

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang komited dengan usaha kemasyarakatan ini menerusi projek dinamakan Act of Kindness (AOK dan Gerobok Rezeki (GR) @ UMT.

“AOK dimulakan hanya dengan bakul dan kemudian mendapat sumbangan pembinaan tiga kios pada 2018 untuk meletakkan makanan daripada PUSPANITA cawangan Kementerian Kewangan dan penambahan dua kios lagi daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT pada penghujung tahun lalu,” kata pengasasnya, Dr. Izan Jaafar dari Pusat Pengajian Sains Marin & Sekitaran (PPSMS) ketika menjelaskan bagaimana timbul idea untuk mewujudkan projek ini bersama beberapa orang pensyarah lagi iaitu Dr. Wan Rafizah, Dr. Nazaitulshila, Dr. Aqilah Muhammad dan Dr. Suriani Jusoh dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK).
DR. IZAN JAAFAR

Menariknya, untuk kedua-dua projek ini, para penyumbang adalah daripada kakitangan UMT sendiri seperti pensyarah, kakitangan sokongan dan profesional dan para alumni serta dibantu kumpulan sukarelawan terdiri daripada lebih 70 para pelajar diploma, sarjana muda dan sarjana UMT.

“Penyumbang atau pembekal makanan itu sendiri yang menyediakan makanan sama ada memasak mahupun membeli bekalan untuk diletakkan di kios disediakan.

“Di Gerobok Rezeki pula, selain disediakan makanan kering dan minuman juga terdapat keperluan asas harian seperti beras, tepung, susu tin, teh, telur, kicap, sos, ubat gigi, sabun basuh pinggan, sabuh basuh baju dan lain-lain,” kata Dr. Izan lagi.
Makanan yang diletakkan di stesen AOK. (FOTO UMT)

Cakna kebajikan pelajar dan komuniti

Sentiasa cakna terhadap menangani masalah dan isu pelajar berlapar, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Skuad MyGift UMP pula melaksanakan program Food For All dalam membantu pemberian sarapan dan makan tengah hari percuma kepada mahasiswa UMP di kedua-dua masjid UMP di Gambang dan Pekan.

Manakala menerusi Projek Gerobok Rezeki #BPACare pula, almari ditempatkan di Pejabat BPA Gambang dan Pekan bagi membolehkan mahasiswa mengambil apa sahaja barangan keperluan secara percuma.

Selain makanan, turut disediakan keperluan harian di Gerobok Rezeki UMP. (FOTO UMP)

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, universiti berfungsi melahirkan profesional untuk pembangunan negara.

“Oleh itu pelajar di universiti perlu menumpukan pengajian dengan selesa dan bersesuaian. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan sememangnya universiti bertanggungjawab bagi memastikan mereka terus menamatkan pengajian. Tanggungjawab sosial bukan lagi satu opsyen tetapi tindakan yang perlu dilakukan dan kebanyakan bantuan diterima dalam pelbagai dimensi dan keupayaan universiti,” jelasnya.
Pelajar boleh mendapatkan makanan percuma di ruangan Gerobok Rezeki yang dikendalikan Bahagian Pengurusan Akademik. (FOTO UMP)

Satu platform ‘pahala’ terbaik

Kerap mendengar keluhan para pelajar yang tidak cukup duit, tidak sempat membeli sarapan atau makan tengah hari kerana ada kelas dari pagi hingga petang, mencetuskan idea kepada kakitangan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk ‘membuka’ Charity Corner bagi kemudahan pelajar tidak berkemampuan.

“Apabila saya pegang jawatan Timbalan Dekan HEPA, saya dan team teruskan usaha tersebut dengan promote dan perkasakan lagi ‘charity corner’ ini kepada pensyarah-pensyarah, staf-staf, pelajar-pelajar dan sesiapa saja yang nak sedekah makanan dan minuman,” kata mantan aktivis Charity Corner yang juga pensyarah di FPTP, Dr. Asrul Nasid Masrom.

“Alhamdulillah, sambutan sangat positif yang mana bukan sahaja makanan percuma, tetapi ada juga pensyarah telah mewakafkan mesin air untuk kemudahan pelajar-pelajar FPTP. Ia juga merupakan salah satu platform ‘pahala’ terbaik untuk warga FPTP membuat amal jariah kepada para pelajar yang kurang berkemampuan,” kongsinya lagi.

Charity Corner turut terdapat di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI), UTHM.

"Sumbangan berupa makanan, minuman, buku serta alatan tulis adalah daripada warga kampus UTHM sendiri yang dipantau Biro Kebajikan dan Pengaduan Awam KKTDI dan dibuat setiap hari," jelas Nayli Mohamad Nizam, siswi FPTP yang juga salah seorang sukarelawan dalam projek ini.

NAYLI MOHAMAD NIZAM

Charity Corner yang dilancarkan sejak 2016 merupakan inisiatif universiti di bawah program Sabil Al Hikmah menerusi satu ruang diperuntukkan di Student Business Centre (SBC) bagi menempatkan makanan dan minuman hasil sumbangan para pensyarah kepada pelajar kurang berkemampuan yang mana para pelajar boleh mengambil minuman dan makanan disediakan secara percuma bila-bila masa.

Sambut baik inisiatif Food Bank Malaysia di universiti

Di samping inisiatif pihak universiti, kesediaan dan komitmen daripada pihak kerajaan sebagaimana disuarakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi meluaskan Food Bank Malaysia di universiti tempatan di seluruh negara, disambut baik kalangan mahasiswa.

Menurut Penolong Setiausaha Agong 1, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2018/2019, Ahmad Farhan Rosli, sewajarnya NGO pelajar dan persatuan mahasiswa di universiti harus bersama-sama menjayakan inisiatif ini bagi memastikan soal makan minum mahasiswa terjamin.

“Kita pasti mengingati kisah mahasiswa kelaparan yang pernah tersebar sebelum ini. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berulang dan terus menjadi igauan dalam kalangan mahasiswa hingga boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu,” katanya.
Bertitik-tolak dari situ, timbul idea penubuhan Dapur Helwa bermula 2015 yang digerakkan PKPIM bersama Helwa ABIM ke beberapa universiti awam dan swasta seluruh negara, bagi menyediakan makanan percuma untuk mahasiswa hasil sumbangan orang ramai dengan sokongan para aktivis masyarakat serta pensyarah di universiti sama ada untuk bekalan sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
AHMAD FARHAN

“Kebiasaannya, sebanyak 100-250 bungkusan diagihkan kepada mahasiswa di kawasan tumpuan seperti di perhentian bas dalam universiti dan masjid universiti,” jelasnya yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah), Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
GRIK, PERAK - Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia serta 2 orang Pengurus Projek dari YDKMM dan 5 orang Penggerak...
#MalaysiaMembaca Kesatuan Pelajar, atau apa yang dipopularkan sebagai Students’ Union, adalah sebahagian daripada aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap perjalanan...
Dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan golongan profesional dan tenaga mahir dalam memenuhi kehendak pasaran kerja
Ketegasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguatkuasakan peraturan menjadikan restoran dan premis makanan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2019 amat...
BANTING – Kelab Futsal BHSN223A Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program Futsal for Fun 2018 bertempat di SMK Banting, Telok Datok, Banting,...
SHAH ALAM - Pelajar Perhubungan Awam daripada School of Education and Social Sciences (SESS), Management and Science University (MSU) telah melancarkan ‘Megatronix’, iaitu...