> > Demi hargai tugas wira sebenar... ini kisah di sebalik lukisan mural nombor badan arwah Adib
Demi hargai tugas wira sebenar... ini kisah di sebalik lukisan mural nombor badan arwah Adib
SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI Selasa | 12 Februari 2019

Pemergian anggota bomba dan penyelamat dalam satu kejadian di baru-baru ini menjadi inpirasi kepada sekumpulan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn untuk melukis mural mengenai semangat ahli penyelamat yang terkorban ketika bertugas.

Cetusan idea bermula daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Johor, mahu memberi penghargaan kepada anggota yang terkorban ketika mereka berkhidmat dalam jabatan itu.

Salah seorang penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn, Muhammad Aris Farhan Jamaludin, 23, berkata, pihaknya menerima permintaan daripada anggota bomba untuk melukis mural yang bertajuk 'Erti Sebuah Pengorbanan' di dinding Balai Bomba Penggaram.

Mahasiswa yang mengambil program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual ini berkata, tugasnya yang diamanahkan itu adalah perkara biasa kerana dia dan rakan sekelasnya sering melukis di mural-mural sekolah dengan kadar upah berpatutan.

Hasil lukisan yang dibuat oleh penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn.

"Kami satu kelas sering mengambil upah melukis mural di dinding sekolah dan ia membantu kami untuk kumpul duit bagi kegunaan viva tidak lama lagi.

"Melukis mural adalah aktiviti kami hanya pada hujung minggu kerana pada hari lain sibuk dengan kelas dan tugasan yang diberikan oleh pensyarah," katanya.

Jelas penuntut ini, pihaknya menerima tawaran itu dan membuat beberapa lakaran untuk diberi kepada pihak bomba dan penyelamat sebelum memilih dan memutuskan untuk dilukis pada dinding.

Penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn turut melukis pada waktu malam kerana jadual yang ketat perlu diikuti.

Katanya, Ketua Balai Bomba Penggaram berpuashati dengan rekaan rakan sekelasnya yang turut memaparkan wajah salah seorang anggota penyelamat yang terkorban ketika bertugas sebelum meminta mereka melukis mural di dinding balai bomba itu.

Menurutnya, dia bersama-sama rakan sekelasnya kemudiannya membahagikan tugas untuk membeli peralatan termasuk cat warna yang diperlukan di dalam lukisan mural itu.

"Kami mempunyai tugasan masing-masing dalam projek ini, pengarah merangkap pereka mural adalah Hadziq Nielham Hadzhar dibantu dengan ahli lain Mohd Idham Hasbullah, Faziera Suratman sebagai ahli jawatankuasa (AJK) dokumentasi dan AJK peralatan, Mohd Shariffuddin Salleh.

"Selain itu, kita juga ada AJK Perhubungan dan Komunikasi yang dianggotai oleh saya dan dibantu oleh Nurmahfuzah Mohd Sedik, Nur Syazwani Rosly, Muhamad Adib Aizat dan Shazatul Shahira Ruzakhan bagi melancarkan perjalanan projek yang kami jalankan ini tanpa sebarang masalah," katanya.

Melukis hingga ke malam

Gara-gara jadual mereka padat, penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn ini perlu bekerja overtime dengan melukis hingga larut malam.

Jelasnya disebabkan itu juga, mereka perlu melukis dan mewarna mural sehingga malam untuk menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan.

"Bukan apa, kami perlu masuk ke kelas setiap hari Ahad sehingga Khamis dan hanya mempunyai masa terluang pada Jumaat dan Sabtu sahaja.

"Ini menyebabkan kami perlu menyiapkan lukisan mural dalam masa yang ditetapkan dan tidak berpanjangan kerana bimbang boleh mengganggu masa kelas kami nanti," katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Penggaram turut membantu.

Anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini menambah, dia dan rakan sekelas bernasib baik kerana seluruh anggota Bomba dan Penyelamat Balai Penggaram turut membantu dalam beberapa hal sepanjang mereka berada di premis itu.

Jelasnya, bantuan yang diberikan itu juga sedikit sebanyak membantu mereka dapat menyiapkan dalam kadar segera.

"Bukan itu sahaja, ada yang anggota offday hari tersebut, mereka tetap datang dan membantu kami.

"Atas sebab itu juga, kami jalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin kerana ia sangat bererti kepada setiap anggota bomba dan penyelamat di luar sana," jelasnya.

Dapat permintaan sehingga ke Kuala Lumpur

Muhammad Aris Farhan berkata, dia juga tidak menyangka hasil kerja yang mereka jalankan itu turut mendapat reaksi positif dalam kalangan warganet selepas kerja-kerja dimuatnaik ke laman sosial oleh salah seorang kakitangan bomba dan penyelamat balai itu ketika kerja-kerja melukis mural sedang dijalankan.

Bermula dengan itu, ia menjadi tular dalam kalangan warganet sehingga ada individu mahu mengambil mereka untuk melukis mural di premis masing-masing.

Proses mewarna mural giat dijalankan oleh penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn.

Katanya, mereka juga tidak menyangka ia menjadi tular di laman sosial kerana niat dia dan rakan-rakannya demi memperingati anggota bomba yang terkorban baru-baru ini.

"Kesan daripada tular di laman media sosial itu menyebabkan ramai individu minta kami untuk melukis mural di sekolah atau premis mereka. Ada dari Batu Pahat hingga ke Pontian.

"Paling jauh adalah Kuala Lumpur yang terpaksa kami tolak kerana terlalu jauh kerana kami terikat dengan jadual padat setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu," terangnya.

Memang nombor badan arwah Adib

Ditanya mengenai nombor badan pada model anggota penyelamat yang dilukis mural itu, Muhammad Aris Farhan mengakui ia adalah nombor badan bagi arwah Adib yang meninggal dunia dalam satu kejadian baru-baru ini.

Katanya, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram meminta untuk memasukkan nombor itu pada model lukisan mural itu untuk memperingati jasa anggota yang terkorban itu.

Hasil kerja penuntut IPG Kampus Tun Hussein Onn.

"Malah apabila siap, Ketua Balai Bomba Penggaram berpuas hati dengan lukisan tersebut dan sama seperti pegawai serta anggota apabila memberikan komen yang positif kerana mereka ada membuat perancangan untuk menceriakan kawasan balai bomba.

"Setakat sekarang, saya dimaklumkan ada orang awam dari kawasan berhampiran yang datang dan berswafoto dengan gambar ini," katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Pengkarya seni jalanan terkenal dari Colombia, Diana Ordoñez, atau lebih dikenali dengan nama LeDania, telah menyumbangkan karyanya yang terkini di dinding bangunan utama Fakulti...
MELAKA - Mungkin bagi sesetengah orang ikan laga atau pelaga hanyalah ikan picisan tetapi bagi Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam, 22, ia memberi makna yang besar dalam...
MACHANG - Pelbagai cabaran terpaksa dilalui Mohd Shahir Hakimi Zulkifli, 24, bagi menggenggam segulung ijazah sarjana muda selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak...
Kementerian Sumber Manusia merancang untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menerima permintaan tinggi di Sabah dan Sarawak.
REMBAU - Program tanggungjawab sosial koporat (CSR) yang dijalankan oleh 35 mahasisawa semester 5 dari Diploma Pengurusan Industri Halal, Kolej Uniti di Pertubuhan Anak-Anak Yatim,...
GONG BADAK - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melebarkan lagi jaringan hubungan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkey Youth Foundation...