> > Lelaki Nigeria yang fasih bahasa Melayu ini rupanya pelakon filem...
Lelaki Nigeria yang fasih bahasa Melayu ini rupanya pelakon filem...
ZALMIMAZURA ZAHARI Selasa | 12 Februari 2019

Amat jarang kita dengar orang asing boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih, lebih-lebih lagi mereka bukannya lahir dan membesar di negara ini. Namun agak luar biasa jika mereka boleh bercakap bahasa Melayu seperti selebriti Mark Adam, Mat Dan kerana bahasa Melayu agak sukar untuk dipelajari dan memerlukan masa yang lama.

Namun jika ada kesanggupan, segala kepayahan itu boleh diatasi seperti mana dialami oleh Ridwan Abdur Rahman Olanrewaju, mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Disapa dengan nama Abdur Rahman, ini perkongsian beliau bersama KampusUols.

“Saya orang Afrika dan berasal dari Nigeria yang merupakan negara ketujuh paling ramai penduduk di dunia dan negara yang paling ramai penduduk di benua Afrika yang mempunyai 54 negara!

“Saya adalah anak Yorùbá merupakan salah satu daripada kumpulan etnik di Afrika Barat dan dilahirkan di perkampungan Abeokuta di negeri Ogun.

“Saya mendapat pendidikan tinggi di Lagos (Nigeria) dan kemudian berpindah ke Malaysia untuk mengikuti diploma dalam Video Digital di Kolej Universiti Insaniah (kini UniSHAMS). Seterusnya sambung pengajian ijazah dalam Multimedia dan Master dalam Teknologi Maklumat di UUM.

Abdur Rahman

PENGUASAAN BAHASA MELAYU

“Saya tertarik dengan bahasa Melayu apabila saya tiba di Malaysia. Ini kerana saya ingin memahami cara hidup rakyat Malaysia. Untuk memperoleh pemahaman ini saya perlu belajar tentang sejarah, budaya dan gaya hidup rakyat di sini.

“Saya menyedari bahawa kebanyakan pelajar di kampus pertama saya dulu tidak dapat berkomunikasi dengan saya, mungkin sebab malu, atau penguasaan bahasa Inggeris mereka ‘kurang’. Tambahan pula jurang komunikasi antara pelajar tempatan dengan pelajar antarabangsa agak besar, jadi saya merasakan saya perlu merapatkan jurang ini dengan belajar bahasa Melayu.

Abdur Rahman bersama teman-teman sekuliah.

“Tahu tak pada permulaan belajar bahasa Melayu memang sukar bagi saya? Setiap hari saya perlu bergantung kepada kamus Oxford Inggeris-Melayu dan Google Translate.

“Apabila saya mula berminat mempelajari bahasa itu, saya putuskan untuk memaksa diri berkomunikasi dalam bahasa Melayu setiap kali bertemu orang Melayu. Contohnya, jika ingin membeli sesuatu di kedai saya akan membayangkan bagaimana perbualan saya di kedai dan saya akan menaipkannya dalam Google Translate (bahasa Inggeris ke bahasa Melayu). Kemudiannya saya akan menghafal terjemahan tersebut dan pergi ke kedai untuk mempraktikkannya.

“Alhamdulillah, dengan cara ini saya dapat mengembangkan kosa kata bahasa Melayu dengan cepat dan setiap kali waktu lapang saya akan baca kamus terjemahan untuk belajar perkataan baru.

“Saya juga amalkan bercakap bahasa Melayu dengan rakan-rakan di kampus dan biasanya lebih kepada perbualan mengenai terjemahan perkataan yang saya tidak tahu.

“Kalau nak tahu, rahsia saya cepat belajar juga adalah dengan menonton cerita kartun Melayu seperti Upin dan Upin dan Bola Kampung. Ini secara tak langsung membantu saya membina perbendaharaan kata dan melancarkan sebutan.

“Kini saya menonton filem dan siri drama. Saya pernah menonton filem Indonesia bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Filem ini sepenuhnya subtitle dalam bahasa Melayu dan saya menangis sepanjang masa. Memang menyentuh emosi saya!

“Jangan tak percaya, saya juga penggemar drama-drama Melayu antaranya Nur, Seribu Rindu dan terkini Leftenan Zana. Saya juga suka mendengar muzik dan nyanyian P.Ramlee. Dengan cara memahami makna lagu membantu saya memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.

Abdur Rahman suka makan makanan Melayu.

CABARAN DAN PERSEPSI

“Di awal saya di sini, masyarakat seakan melarikan diri dari orang Afrika seperti saya dan pelajar antarabangsa yang lain terutama apabila mendekati mereka untuk bertanya sesuatu atau bercakap.

“Perjalanan ke Malaysia telah menjadi kejutan budaya bagi saya dan saya berharap budaya tersebut tidak akan berulang lagi dan tanggapan buruk masyarakat Malaysia terhadap orang asing terutama Afrika tidak lagi wujud.

“Sebenarnya apabila kita berjaya memulakan perbualan, mereka menyedari bahawa mereka mempunyai banyak perkara untuk kita sama-sama belajar.

Abdur Rahman dan rakan-rakan bergambar kenangan bersama Izzue Islam (kanan).

PENGALAMAN SUKA DUKA

“Setiap kali saya bercakap bahasa Melayu pada seseorang yang tidak mengenali saya di kampus atau luar kampus, saya selalu dapat sambutan mengejutkan, “Oooiii!Boleh cakap bahasa Melayu! Saya biasanya akan jawab “sikit jer” atau kalau nak lawak saya akan balas seperti “Oh no, ini bahasa Melayu? Dah pernah dengar saya cakap bahasa Melayu?”

“Suatu hari saya pergi ke Kuala Lumpur dan makan di sebuah restoran. Apabila saya mahu mengambil wang dari saku untuk membayar kepada juruwang, saya berkata. “Sat!”. Dia memandang saya dengan wajah terkejut dan bertanya sama ada saya pernah ke Kedah. Saya ketawa, dan memberitahunya saya tinggal di Kedah.

“Walaupun saya tinggal agak lama di Kedah, tetapi saya tidak belajar dialek Kedah jadi saya tidak tahu bagaimana bercakap Kedah.

“Saya sangat suka bahasa Melayu kerana ia mempunyai banyak aspek emosi di dalamnya. Sebagai contoh, jika nak memberitahu seseorang supaya tidak marah, ia akan menjadi seperti “Jangan la maraaaaaaah”. Perkataan itu bukan hanya dinyatakan melalui wajah tetapi juga melalui pemanjangan ‘ra’ dalam ‘marah’. Saya suka mendengar pemanjangan suku kata terakhir dalam sebutan bahasa ini.

PENGLIBATAN PERTANDINGAN

“Saya pernah menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu pada tahun 2014. Pertandingan ini mempunyai lebih 70 peserta dan setiap wakil mewakili negara dan saya mewakili Nigeria. Alhamdulillah saya berjaya melangkah ke suku akhir merangkumi 25 peserta.

Abdur Rahman ketika terlibat dalam pertandingan Pidato Bahasa Melayu.

“Pada tahun 2015, saya menyertai pertandingan nyanyian bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa. Kami terdiri dari tiga ahli dan dapat tempat kedua. Lagu yang kami nyanyikan berjudul ‘Masihkah Kau Ingat oleh kumpulan Kopratasa.

“Dua tahun lalu, saya terlibat dalam filem pendek iaitu ‘Hujan Emas’ bersama pelakon Izzue Islam.

Abdur Rahman bersama selebriti Izzue Islam.

“Tahun lepas saya menyertai Majlis Perasmian Jerayawaya Gerakan Dekad sebagai penceramah jemputan yang membincangkan topik berkaitan kepentingan bahasa Melayu. Acara ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. Selepas tamat program, saya dan rakan-rakan UUM menyanyikan lagu ‘Di Matamu’ oleh Sufian Suhaimi dan membaca sajak, Tamu Senja karya Datuk A.Samad Said.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Sejak menyertai Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), anak muda ini tidak lagi berasa malu atau kurang yakin untuk berhadapan dengan orang ramai. Beliau seorang pelajar...
SELAMA - Siapa sangka daerah Selama yang terletak di kawasan penghujung negeri Perak sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah sejarah berharga dan unik seperti Mukim Raja Bersiong,...
Seringkali kita dengar orang berkata, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu pencapaian yang menentukan masa depan seseorang sama ada berjaya atau tidak. Ada benarnya...
BANGI - Kementerian Pendidikan tidak akan berganjak daripada meneruskan perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya yang hak sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa...
‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’, merupakan kata pepatah yang sangat bermakna bagi pelajar yang pernah merantau jauh dari rumah dan keluarga. Walaupun sukar, belajar sambil...
BUKAN mudah bergelar anak kepada seorang selebriti, lebih-lebih lagi artis seperti Didie Alias yang memang cukup sinonim bukan sahaja pada komedinya tetapi juga keberaniannya...