> KELANTAN > Pernah gagal SPM, tapi satu perkara ini betul-betul buat air mata Jah gugur...
Pernah gagal SPM, tapi satu perkara ini betul-betul buat air mata Jah gugur...
ROSMIZA KASIM Selasa | 12 Februari 2019

KOTA BHARU - Anugerah terindah, apabila pernah gagal di alam persekolahan, tetapi kini dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang 2018 Kolej Uniti Kota Bharu.

Itulah detik bermakna dalam hidup Jah Mariatul Qibtiah Othman, 21, dari Manir Terengganu yang mengikuti pengajian Pengurusan Industri Halal sebagai menebus kegagalannya ketika SPM sebelum ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu layak menerima pengiktirafan tersebut kerana mendapat PNG 4.0 berturut-turut sepanjang lima semester pengajiannya. Alhamdulillah.

Sungguh mengharukan dan tersentuh hati ketika remaja bertubuh kecil molek tersebut berkongsi kisah hidupnya dan menjadikan pengalaman kecundang sebelum ini sebagai tonik untuk bangkit semula.

Kejayaan paling bermakna dalam hidup Jah Mariatul Qibtiah.

Katanya, kejayaan dicapainya itu bukanlah kepuasan untuk diri sendiri tetapi adalah hadiah paling istimewa diberikan kepada ibu bapanya Siti Asma Lateh, 52, dan Othman Abu Bakar, 51, yang selama ini menjadi tempat bersandar ketika dilanda ujian.

“Segala-galanya kena kembali kepada ALLAH SWT. Kejayaan ini tidak tercapai tanpa ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya ketika mendengar luahan kekecewaan dan patah semangat.

“Merekalah pembangkit semangat saya untuk kembali berdiri dan terus berlari sehingga berada di tahap ini. Tanpa mereka, siapalah saya.

“Terima kasih tidak terhingga buat mama dan abah. Jasa kalian tidak dapat dibalas biarpun dengan segunung intan dan permata sekali pun,” katanya yang mahu menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Eksekutif Kolej Uniti Kota Bharu, Seri Banun Bahtiar di hadapan 90 penuntut lain dan disaksikan Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Shaharom Azmin di kolej tersebut baru-baru ini.

Jah Mariatul Qibtiah menerima hadiah penghargaan daripada Seri Banun. Turut kelihatan, Mohd Shaharom.

Mengimbau pengalaman, Jah Mariatul Qibtiah turut selitkan satu kisah daripada secebis hidupnya tatkala melalui kegagalan, sehinggalah dia singgah di sebuah masjid dan digerakkan hatinya oleh ALLAH SWT untuk mencari sesuatu yang ‘hilang’ dalam dirinya.

“Saya melihat kanak-kanak membaca al-Quran. Melihat video yang menyentuh mengenai tawakal kepada ALLAH SWT setelah sehabis daya kita berusaha, saya tersentak. Mungkin kerana lupa untuk berserah kepada Ilahi, itu sebabnya saya gagal ketika itu.

“Setelah itu, saya sentiasa tanam dalam diri untuk bertawakal dan membuat sesuatu kerana Lillahi Taala. Dengan mengingati ALLAH SWT hati akan tenang.

Penuntut cemerlang yang membanggakan kolej.

“Jaga solat. Letak ALLAH SWT nombor satu dalam apa jua yang dilakukan. Jaga hubungan dengan ibu bapa dan pensyarah. Cepat-cepat minta maaf jika buat silap dan minta mereka halalkan ilmu,” katanya bercita-cita untuk memiliki perniagaan sendiri.

Selain itu, Jah Mariatul Qibtiah juga memberitahu, di sebalik kejayaannya itu, dia perlu bijak membahagikan masa dengan pengajian dan juga aktiviti di kolej.

Kenangan berswafoto bersama rakan-rakan pada hari penuh bermakna.

“Saya sentiasa fokus dalam kelas biarpun saya tidak faham, selepas itu saya akan membuat perbincangan berkumpulan selain mendapatkan bantuan pensyarah dan membuat nota ringkas.

“Tiada yang mustahil, kita sendiri yang perlu mengubah kemampuan diri. Berfikir secara positif dan pegangan hidup saya ‘ilmu apabila dikongsikan ia akan bertambah’. Jadi jangan kedekut ilmu,” katanya.

Sementara itu, Seri Banun berkata, sebanyak 80 peratus graduan dari kolej tersebut memperoleh pekerjaan dalam bidang masing-masing setelah menamatkan pengajian.

SERI BANUN

“Ada yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan ini sesuatu yang membanggakan kami. Kami sebagai pihak pengurusan selalu mendoakan semua penuntut menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan mendapat keberkatan serta menerima ganjaran di akhirat nanti,” katanya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
PUTRAJAYA - Seramai 874 graduan diraikan di dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Uniti kali ke-17 yang melibatkan dua kampus iaitu Kolej Uniti Port Dickson dan Kolej Uniti Kota...
PUTRAJAYA - Mahu membalas jasa kedua ibu bapanya yang tidak pernah berhenti berdoa serta memberi sokongan mendorong Muhammad Haziq Nordin, 25, untuk menamatkan pengajian dengan...
KULAI - Meskipun terpaksa belajar menggunakan sebelah pancaindera, itu tidak menjadi halangan kepada Mohd Naim Mohd Hassan, 34, menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer...
BANGI – Seramai 99 orang kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima anugerah untuk penilaian 2017 sempena Majlis Anugerah Bitara dan Perkhidmatan 2018 di Dewan...
Berbekalkan semangat yang disuntik pendaki Gunung Everest, Edmund Hillary memberi inspirasi kepada Lee Pei Teng melakar sejarah indah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah...
Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Ammar Rafiq Ruslan, 24, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Tokoh Siswa...