> > Puteri Bunga Bakawali sinar baru jikey
Puteri Bunga Bakawali sinar baru jikey
NAHRIZUL ADIB KADRI Selasa | 12 Februari 2019

Kebudayaan Melayu diakui ramai mempunyai kandungan aspek dan genre yang sangat luas, dengan pengaruh nilai dan estetika dari seluruh pelosok Asia Tenggara. Lebih menarik, perkongsian nilai ini dilihat wujud merentasi batas negara, ras, dan agama. Pengkaji sosiobudaya Melayu berpendapat, kemungkinan besar ini merupakan hasil penyatuan dan penyaringan elemen-elemen budaya dari pelbagai ketamadunan yang menguasai kawasan tenggara benua Asia ini sejak dari Kerajaan Srivijaya pada kurun ketujuh Masihi.

Menurut Dr. Rosdeen Suboh, terdapat lima jenis seni persembahan teater tradisional Melayu, iaitu makyong, bangsawan, mek mulung, randai, dan jikey.

“Kesemuanya berkongsi elemen yang hampir sama, dengan adunan tarian, nyanyian, dan lakonan menurut struktur yang tertentu. Setiap jenis seni persembahan ini juga mempunyai fungsi dan nilai yang tertentu di dalam masyarakat Melayu, dan tidak terhad untuk tujuan hiburan semata-mata,” kata pensyarah di Jabatan Tari, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM) ini.

Baru-baru ini, di bawah pengarahan Dr. Rosdeen, sebuah persembahan jikey ‘Puteri Bunga Bakawali’ telah diadakan di Panggung Eksperimen, UM.

Dr. Rosdeen (tiga dari kanan) berkongsi pengalaman kajiannya mengenai jikey di penghujung pementasan Puteri Bunga Bakawali.

“Tidak dapat dinafikan, terdapat persamaan jika dilihat secara kasar antara persembahan makyong, mek mulung, dan jikey, terutamanya dari aspek adunan lagu, tarian, dan lakonan yang dibawa. Namun, keunikannya tetap ada, terutamanya dari penggunaan konsep panggung tradisional berbentuk semi-arena yang bersifat terbuka dan interaktif, dan penonton tradisional yang membenarkan penonton untuk bergerak semasa pementasan, termasuklah makan dan minum. Keunikan inilah yang menjadikannya sebuah elemen kebudayaan Melayu yang seharusnya dipelihara demi kelangsungannya pada masa hadapan,” katanya lagi.

Selain pendedahan kepada masyarakat mengenai jikey, pementasan ‘Puteri Bunga Bakawali’ ini juga bertindak sebagai platform kepada mahasiswa jurusan tari dan drama Pusat Kebudayaan UM untuk menimba pengalaman profesional dalam sesebuah produksi teater tradisional.

“Uniknya, keperluan pementasan teater tradisional tidak terhad kepada kehendak fizikal semata-mata. Teater tradisional melibatkan peranan pakar teater tradisional tersebut yang dijemput khas bagi melatih penjiwaan watak, selain pemberian nasihat secara am kepada pasukan produksi. Ini bakal memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar yang terlibat,” kata Dr. Rosdeen.

Jikey dipersembahkan dalam bentuk semi arena, dan penonton turut berada bersama di pentas.

Bagi Leelhani Yuneska Abd. Karim, mahasiswa tahun akhir jurusan drama, Pusat Kebudayaan UM berkata dia berasa teruja kerana diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan pementasan jikey ini.

“Untuk seorang mahasiswa seperti saya, ini merupakan ruang yang sangat kondusif untuk saya menghayati dan menerokai khazanah kreatif teater tradisional. Saya kini lebih memahami struktur dan elemen sesebuah persembahan teater tradisional, dan secara tidak langsung menjadikan saya lebih berdisiplin ketika melibatkan diri dalam gerak kerja pengurusan organisasi,” katanya.

Pementasan yang melibatkan lebih 30 individu ini merupakan kesinambungan program tahunan mahasiswa dan pensyarah Pusat Kebudayaan UM sejak 2014, yang telah mementaskan pelbagai jenis teater tradisional dari dalam dan luar negara.

“Setakat ini, kami telah mementaskan bangsawan, drama tari makyung Riau yang berasal dari Sumatera, Mek Mulung yang berasal dari Kedah, dan ‘likay pa’ yang berasal dari Thailand. Program yang dilaksanakan menerusi aktiviti kumpulan yang kami namakan ‘Sri Malaya’ ini diharapkan kekal dan diteruskan pada masa hadapan, dan menjadikan Pusat Kebudayaan UM sebagai hab teater tradisional serantau,” kata Dr. Rosdeen lagi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. Rosdeen, jikey dikatakan mempunyai persamaan dengan teater tradisional yang dipersembahkan di selatan Thailand (dikenali sebagai ‘likey’) dan Kemboja (dikenali sebagai ‘yike’), terutamanya dari sudut watak-watak khusus dan struktur pementasan. Versi jikey yang diamalkan di Langkawi dan beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia adalah berkisar mengenai kisah yang dibawa oleh watak saudagar berbangsa Farsi dari India yang menetap di Tanah Melayu.

Antara aksi menarik pementasan jikey Puteri Bunga Bakawali.

"Kisah yang dibawa adalah pelbagai, dan selalunya berkisar kehidupan istana dan alam kayangan yang penuh dengan elemen pengajaran. ‘Puteri Bunga Bakawali’ ini saya olah dengan mengambil kira elemen-elemen ini, bagi mengekalkan keaslian pementasan jikey yang pernah popular sekitar tahun 1960an,” katanya lagi.

Puteri Bunga Bakawali’ mengisahkan pengembaraan dan cabaran seorang putera raja yang ingin mendapatkan bunga bakawali di kayangan bagi mengubati penyakit ayahandanya. Elemen-elemen percintaan, pertelingkahan adik-beradik, dan pertempuran dengan watak-watak magis telah dibawakan dengan baik oleh kesemua tenaga produksi.

Pementasan yang berdurasi 120 minit turut diselangi nyanyian dan tarian, dengan muzik latar yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik yang turut berada di pentas bersama penonton.

Menariknya, pementasan ini turut melibatkan mahasiswa bukan Melayu yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai aspek produksi. Danesh Raj Nagarajan, pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu UM, yang memegang watak inang kepada puteri kayangan.

Keseluruhan tenaga produksi jikey Puteri Bunga Bakawali bergambar kenangan bersama Ketua Pengarah JKKN (dua dari kanan) dan Pengarah Pusat Kebudayaan UM (tiga dari kanan).

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjayakan watak inang yang sangat mencabar ini. Bukan setakat berlakon, watak ini memerlukan saya menari dan menyanyi. Unsur komedi juga diletakkan di bahu saya untuk menghidupkan lagi pementasan ini.

“Saya mengharapkan pementasan jikey ini bakal menjadi pencetus kepada usaha pemeliharaan teater tradisional di Malaysia. Dengan sokongan semua pihak, terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), saya percaya pementasan teater tradisional sebegini akan mampu dinilai dengan lebih baik oleh masyarakat. Ia tidak seharusnya dilihat sebagai hiburan semata-mata, dan tenggelam di dalam arus kemodenan,” kata Dr. Rosdeen mengakhiri temubual.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
NILAI - Program Outreach sempena Seminar Kebangsaan Pencegahan Dadah dan Rawatan Pemulihan Dadah (PREVENT) dan Empowering Youth for Drug Free Community (EYDFC 2018) telah diadakan...
Ketika kita mula mempelajari subjek matematik di peringkat awal persekolahan, selepas mula mengenal nombor dan turutannya, kita mula beralih kepada mengenal proses yang melibatkan...
GEORGE TOWN - Terjemahan bukan satu bidang yang sempit dan terhad kepada satu atau dua cara konvensional sahaja sebaliknya ia adalah satu bidang yang luas termasuk dalam kehidupan...
NILAI - Bagi meneruskan delegasi Duta Jauhar sebelum ini, Duta Jauhar USIM 5.0 kali ini tampil dengan produk baharu yang diberi nama ‘Nugget Pisang’. Produk Duta Jauhar USIM...
SHAH ALAM - Bersempena Majlis Konvokesyen Huffaz Selangor kali ke-2, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan...
Majlis Apresiasi Barakah bertemakan Kelestarian Ekonomi Ummah anjuran Pusat Wakaf dan Zakat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberi penghargaan kepada 16 penyumbang wakaf...