> > Pelajar U nak jimat-cermat dan elak boros berbelanja, ini caranya...
Pelajar U nak jimat-cermat dan elak boros berbelanja, ini caranya...
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW Isnin | 18 Februari 2019

DALAM melalui proses pengajian universiti ada juga segelintir pelajar sering terlepas pandang untuk mengamalkan budaya berjimat-cermat serta bijak berbelanja ketika di alam kampus.

Sama ada seseorang pelajar itu menerima wang biasiswa pendidikan, wang pinjaman pendidikan atau pun wang saku dari keluarga mereka, perkara pokok yang paling penting untuk semua pelajar ketahui ketika ingin berbelanja ialah untuk mengamalkan sikap berjimat-cermat, bijak berbelanja dan tidak mengamalkan sikap boros.

Sikap berjimat-cermat serta bijak berbelanja adalah penting bukan sahaja supaya para pelajar dapat menampung proses pengajian serta makan minum mereka ketika berada di universiti malah ia bertujuan untuk membentuk sikap disiplin diri pelajar itu sendiri terhadap wang saku dimiliki.

Sekiranya para pelajar dapat dilatih dari peringkat awal di universiti untuk berdisiplin terhadap perbelanjaan setiap wang dimiliki, mereka dapat menjadi insan yang mampu menguruskan kewangan setelah bekerja dan berkeluarga kelak.

Sering kali kita didedahkan dengan masalah beban hutang dihadapi golongan muda dalam negara kita. Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan baik, golongan muda ini akan hadapi masalah hutang yang serius hingga boleh menjejaskan masa depan mereka.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya golongan muda khususnya para pelajar yang berada di dalam universiti mengamalkan tatacara ataupun tip untuk berjimat dan bijak berbelanja.

Antara tatacara ataupun tip yang boleh dikongsi di sini ialah tidak berbelanja terlalu banyak membeli buku-buku kerana mereka boleh menggunakan kemudahan perpustakaan di setiap universiti bagi mendapatkan segala jenis buku diingini.
Pelajar harus bijak urus perbelanjaan. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

Para pelajar juga disarankan menggunakan segala kemudahan pengangkutan awam disediakan pihak universiti bagi menjimatkan wang minyak dan wang penyelenggaraan kenderaan persendirian. Banyak universiti yang menyediakan perkhidmatan bas untuk membantu membawa para pelajar ke kelas.

Para pelajar juga disarankan sentiasa membawa dan menggunakan kad pelajar mereka untuk dapatkan apa-apa jenis kemudahan diberikan pihak kerajaan kepada mereka. Terdapat kedai-kedai buku dan alat tulis yang memberikan potongan istimewa untuk pelajar IPT. Mereka juga boleh menggunakan kad pelajar untuk dapatkan diskaun menaiki pengangkutan awam seperti LRT dan KTM Komuter.

Sekiranya pihak universiti menyediakan kemudahan asrama, para pelajar dinasihatkan supaya tinggal di asrama kerana bayaran disediakan lebih berpatutan berbanding tinggal di rumah atau bilik sewa di luar kampus. Sekiranya para pelajar ingin menyewa rumah atau bilik di luar kampus, mereka disarankan untuk berkongsi kemudahan sewa terbabit dengan pelajar lain. Ini bagi mengurangkan kos sewaan serta bagi menjamin keselamatan diri mereka ketika tinggal di luar kawasan kampus.

Para pelajar juga disarankan mencari kerja sampingan (part time job) atau melakukan aktiviti perniagaan kecil-kecilan supaya mereka dapat menjana sedikit pendapatan di samping dapat menimba pengalaman bekerja.

Namun, mereka perlu pastikan kerja sampingan mereka tidak sesekali mengganggu proses pembelajaran mereka di universiti. Pelajar juga harus mengelakkan diri mereka daripada terlibat dengan mana–mana skim cepat kaya kerana ia berisiko tinggi serta mengundang bahaya buat diri mereka.

Bagi pelajar yang merokok, inilah masanya untuk hentikan merokok. Merokok sentiasa memberikan impak negatif sama ada dari segi kewangan mahupun kesihatan. Sebagai seorang pelajar, baik mereka simpan semua duit yang mereka ingin gunakan untuk membeli rokok itu.

Sekiranya terdapat kemudahan untuk membasuh baju sendiri di asrama atau di rumah sewa, para pelajar juga disarankan basuh baju sendiri serta elakkan dari menghantar baju ke dobi atau menggunakan mesin pencuci berbayar.

Terdapat juga alatan atau perkakasan belajar yang boleh dikongsi di antara pelajar tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar seperti printer atau scanner. Para pelajar juga disarankan membeli komputer atau laptop biasa yang dapat memenuhi keperluan dan bukannya yang memenuhi kehendak.
Beli laptop untuk keperluan, bukan ikut kehendak. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

Sebagai seorang pelajar yang rata-ratanya belum mempunyai pendapatan mereka sendiri, mereka juga disarankan membeli telefon pintar yang biasa serta tidak terlampau mahal sekali gus kurang menarik perhatian penjenayah terhadap diri mereka.

Dari aspek pakaian pula, cukuplah sekadar membeli pakaian mengikut kadar sepatutnya. Para pelajar tidak perlu membazir wang mereka membeli pakaian mahal-mahal serta dalam kuantiti yang banyak. Perlu diingati, universiti adalah tempat untuk belajar bukannya tempat untuk berfesyen serta memperagakan pakaian.

Sekiranya terdapat lebihan wang, para pelajar disarankan menyimpannya di dalam bank atau mana–mana pelaburan amanah saham yang telah diiktiraf kerajaan supaya wang lebihan mereka selamat di samping dapat menambahkan lagi wang simpanan melalui dividen disediakan bank dan pelaburan amanah saham. Ibarat meletur buluh biarlah dari rebungnya, para pelajar di universiti perlu dididik supaya mengamalkan sikap berjimat cermat serta bijak berbelanja.

Oleh itu, pihak universiti juga perlu mendidik pelajar supaya tidak boros berbelanja. Pihak pengurusan universiti perlu mengadakan lebih banyak syarahan dan diskusi ilmiah mengenai aspek pengurusan kewangan kepada pelajar mereka. Para pensyarah juga memainkan peranan penting dan perlu menjadi contoh tauladan yang baik kepada pelajar mereka dengan mengamalkan sikap berjimat cermat serta bijak berbelanja. Para pensyarah juga perlu memastikan segala tugasan yang ingin diberikan tidak membawa beban kewangan tinggi kepada diri pelajar mereka sendiri.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Tiada duit, terpaksa ikat perut... nota ditinggalkan pelajar ini meruntun jiwa


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...