> CETUSAN > Bagaimana membantu graduan kita? Ini caranya, terutama perkara ketiga yang kebanyakan graduan 'gagal'...
Bagaimana membantu graduan kita? Ini caranya, terutama perkara ketiga yang kebanyakan graduan 'gagal'...
PROF DR MOHD TAJUDDIN MOHD RASDI Selasa | 19 Februari 2019

KEBANYAKAN kita mempunyai anak-anak yang telah menamatkan pelajaran di peringkat ijazah. Berpuluh ribu sekarang sedang mencari kerja. Dalam kemelesetan ekonomi dan cabaran-cabaran lain dalam negara adalah menjadi sesuatu yang amat menyukarkan anak-anak kita mencari kerja seperti biasa.

Dalam artikel ini saya akan mencadangkan enam perkara yang para graduan dan kita semua serta pemimpin politik dapat buat untuk membantu para graduan kita memulakan kerjaya dan hidup mereka.

Pertama adalah membina CV atau biodata kepakaran pasca universiti atau selepas belajar di institusi. Sambil menunggu kerja yang dipohon melalui jaringan rakan, kenalan dan Internet, graduan jangan membuang masa.

Pertama, adalah membaca. Sambil menunggu, cari buku-buku penting berkait dengan profesion atau berkait dengan ilmu persekitaran sosial atau fizikal atau agama dan masyarakat. Jika telah mengkhatamkan buku-buku ini pastikan ia dicatat dalam CV.

Ramai mungkin terkejut kenapa dibuat demikian. Kalau saya menemu bual seorang calon yang membaca dengan sendiri dan calon yang tidak membaca langsung siapa agaknya akan saya pilih? Sudah tentu yang membaca kerana ia merupakan yang berilmu lebih dan berinisiatif.

Kedua, graduan perlu berpartisipasi dalam forum-forum penting yang membincangkan tentang hala tuju masyarakat kita. Pergi ke forum-forum itu, interaksi dengan ahli panelis dan mohon business card mereka. Jika saya sedang memilih CV calon, saya akan pilih mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara melalui diskusi dan perasaan tulen untuk merubah keadaan semasa.

Calon yang berforum adalah calon yang mempunyai inisiatif, mempunyai sikap mahu mengubah keadaan, mempunyai jaringan kenalan luas dan dapat memahami the big picture dalam masyarakat.

Ketiga, graduan perlu mengkaji setiap syarikat yang dipohonnya dengan teliti melalui Internet, kenalan dan kenalan atas kenalan. Setelah itu drafkan suatu pernyataan apakah keistimewaan graduan itu sendiri dalam menyumbang kepada perkembangan firma atau syarikat tersebut. Jangan pergi temu bual menonong tak tahu apa-apa pun tentang syarikat tersebut.

Dalam temu bual, jika disoal atau tidak disoal, selitkan apa yang graduan tahu tentang syarikat tersebut dan bagaimana agaknya graduan boleh menyumbang kepada pembangunan masa depan syarikat itu. Tidak kisah sama ada ide dan cadangan graduan itu kelihatan idealistik ataupun nampak ‘bodoh’ tetapi jangan duduk diam seribu bahasa.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Keempat, kalau ada peluang menjadi pembantu pengurus restoran Kentucky, Pizza Hut atau McDonald, masuk gelanggang walaupun graduan seorang berijazah kejuruteraan atau seni bina. Bekerja di bawah sebagai pelayan biasa selama sebulan dan kemudiannya latihan pengurusan. Kerja bersungguh-sungguh. Cuba buat perubahan operasi kalau boleh. Rekodkan segala tanggungjawab dan masukkan dalam CV. Apabila temu bual ceritakan dengan ringkas dan mantap tanggungjawab pengurusan dan ide-ide baharu yang diperkenalkan dan saya yakin syarikat besar akan memilih anda.

Kelima, pihak PTPTN saya minta jangan kacau gaji graduan yang baru bekerja selama lima tahun yang tidak putus. Bila EPF mereka telah mencapai RM30,000 maka kerajaan PH harus mengarahkan EPF mengeluarkan RM15,000 untuk membayar balik pinjaman. Baki yang lain boleh dibayar balik dalam 20 tahun potongan gaji. EPF jangan buat hal dengan mengatakan ini sumbangan untuk hari tua. Sebenarnya EPF itu mementingkan dirinya sendiri dan bukannya nasib anak-anak kita.

Keenam, ini adalah cadangan paling radikal. Saya cadangkan kerajaan PH membuka pejabat kecil di 30 negara-negara maju yang memerlukan pekerja-pekerja buruh biasa seperti pelayan restoran, pembantu tukang masak, penjaga kedai runcit atau cashier supermarket.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, gaji minimum di tempat-tempat ini lebih tinggi dari gaji bulanan graduan permulaan. Jika setiap ejen pekerjaan dapat mencari 100 pekerjaan, maka 3,000 graduan boleh kita eksportkan ke luar negara setiap tahun. Mengapa mengehadkan pekerjaan di Malaysia sahaja? Graduan kita boleh berbahasa Inggeris dan rajin bekerja, beradab serta amanah.

Ini empat ciri pekerja yang amat penting. Setiap graduan yang mendapat tempat boleh menandatangani suatu perjanjian pinjaman wang modal RM10,000 untuk pembiayaan tiket kapal terbang, sewa bilik dan sara hidup untuk sekurang-kurangnya 6 bulan. Apabila kedudukan mereka stabil, potongan gaji boleh dibuatkan dan hutang boleh selesai dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Graduan yang bekerja buruh pada permulaan boleh mula mencari peluang kerjaya profesional bidang mereka apabila mereka sudah tahu cara bergerak di negara orang.

Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi negara sekarang, kita harus membantu graduan anak-anak kita bagi bertapak untuk berjaya. Selain dari usaha mereka membangunkan diri dengan kemahiran, sikap dan perwatakan baharu, kerajaan PH juga boleh bersikap kreatif dan tidak bertindak seperti robot yang tak mempunyai ide bernas.

PROF DR MOHD TAJUDDIN MOHD RASDI

*Penulis ialah Profesor Seni Bina di sebuah universiti swasta tempatan

*Artikel ini dipetik daripada Cetusan terbitan Sinar Harian Selasa 19 Februari 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...