> > Sijil palsu cemar kesarjanaan
Sijil palsu cemar kesarjanaan
DR ISMAIL SUALMAN Jumaat | 22 Februari 2019

SEBAGAI Pemikir Negara, Majlis Profesor Negara (MPN) terpanggil membuat tinjauan terhadap pemalsuan diploma dan ijazah yang semakin menjadi isu panas bukan sahaja dalam kalangan ahli politik tetapi juga di sektor awam dan swasta.

Pemalsuan diploma dan ijazah adalah suatu jenayah kolar putih yang perlu dihukum menurut undang-undang. Ia juga dianggap sebagai suatu penghinaan kepada mereka yang bertungkus-lumus untuk mendapatkan sijil diploma, ijazah tinggi. Tindakan pemalsuan ini dianggap sebagai mencemar kesarjanaan dan integriti secara halus.

Tinjauan terhadap 300 profesor mengenai pemalsuan sijil menggunakan kaedah survey menunjukkan 96 peratus sangat bersetuju bahawa kegiatan ini adalah untuk menonjolkan kehebatan diri menggunakan diploma dan ijazah palsu adalah satu sikap diri yang tidak berintegriti.

Sebanyak 95 peratus sangat setuju bahawa orang yang tidak berintegriti tidak layak terlibat untuk memimpin negara. Sebanyak 84 peratus sangat bersetuju bahawa pemimpin yang tidak berintegriti menggunakan ijazah palsu ini perlu meletakkan jawatan daripada organisasi kerajaan.

Kajian ini juga mendapati 60 peratus sangat bersetuju jika kerajaan tidak bertindak menghukum pemimpin yang tidak berintegriti menggunakan ijazah palsu, maka kerajaan ini tidak akan terus mendapat sokongan rakyat. Kajian ini juga menunjukkan bahawa kualiti pemimpin bukanlah terletak kepada sekeping ijazah semata-mata tetapi menjurus kepada kebolehan dan keikhlasan sebagai tonggak integriti.

Pengerusi MPN Prof Ulong Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin semasa diwawancara di Sinar Live, menganggap bahawa dalam dunia kapitalis pemalsuan ada dalam pelbagai bentuk, sama ada sijil palsu, kad pengenalan palsu, penganugerahan Datuk palsu dan sebagainya berlaku setiap hari.

Dr Shamsul (tiga, kanan) dan penulis (kiri) semasa hadir di Sinar Live baru-baru ini.

Pemalsuan adalah komoditi untuk meraih keuntungan kewangan, pangkat dan darjat. Namun tindakan pemalsuan secara terang-terangan ini dianggap telah mencemar kesarjanaan dan integriti yang didukung selama ini.

Dahulu, kerajaan bergelut dengan permasalahan cetak rompak, plagiat meniru dan merompak hak cipta, namun kini berhadapan dengan pemalsuan sijil. Ia berlaku dalam universiti dan luar universiti. Contohnya baru-baru ini beberapa Menteri di Jerman dan Sepanyol meletak jawatan apabila ditangkap plagiat tesis.

Sebenarnya ijazah palsu juga dapat dikenal pasti melalui nama secara mengelirukan seperti Dr dan (Dr). Gelaran 'Dr' lebih merujuk kepada kelayakan Doktor Falsafah atau PhD atau Doktor Perubatan. Manakala nama bertulis '(Dr)' lebih kepada penganugerahan Doktor Kehormat oleh mana-mana universiti atau badan tertentu yang tidak memerlukan penerima melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah.

Sejauh mana peranan kementerian dalam menangani isu pemalsuan sijil ini? Sebenarnya kementerian tidak ada kuasa penguatkuasaan dan pasukan bertindak. Kementerian hanya mampu memantau, memberi nasihat dan menyediakan kerangka tadbir. Kuasa mewujud atau meminda perlembagaan perlu dibawa ke Parlimen agar masalah ini dapat dikurangkan atau dihapuskan.

Walaupun kini telah wujud mekanisme mengesan kesahihan sesuatu sijil sama ada palsu atau tidak, masih memerlukan penguatkuasaan dan tindakan. Secara relatifnya, amalan di negara maju, jika seseorang telah 'tertangkap' kerana menipu sijil dan kelayakan, mereka dengan sendirinya akan meletak jawatan.

Tindakan bersepadu perlulah dilakukan bagi memastikan pemalsuan sijil tidak terus berleluasa. Jika kita terus melenyapkan isu ini atas kepentingan sesuatu, maka generasi akan datang dan masa kini akan menganggapnya sebagai suatu yang biasa dan diterima semua.

Penjualan sijil palsu oleh agensi di Malaysia perlu juga dipantau dan diambil tindakan sewajarnya. Jika pekerja awam atau swasta yang didapati bersalah memalsukan sijil mereka akan dipecat.

Bagaimana pula dengan ahli politik atau wakil rakyat yang telah dikenal pasti melakukan kesalahan dengan memalsukan sijil? Bolehkah dipecat dan perlu membuat pilihan raya kembali? Ini merupakan persoalan integriti yang perlu diambil berat agar jenayah ini dapat dibendung.

Sebenarnya, kelayakan kelulusan tertinggi bukanlah satu-satunya kriteria untuk menjadi pemimpin dan ahli politik yang baik. Walau bagaimanapun, menggunakan kelayakan palsu dan tidak sahih bertujuan menaikkan imej dan kredibiliti, memancing undi atau menutup kelemahan dan memperdayakan rakyat adalah tidak wajar sama sekali. Ia perlu dibendung dan disekat.

Para pemimpin atau ahli politik yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral ini, sewajarnya perlu meletak jawatan secara terhormat. Sesuatu perkara yang salah tidak harus ditutup dengan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan atau matlamat menghalalkan cara.

*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman merupakan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM

*Artikel ini dipetik daripada Sinar Harian 22 Februari 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...