> CETUSAN > PBT Pengerang santuni golongan OKU
PBT Pengerang santuni golongan OKU
DR MOHD AZLIS SANI MD JALIL, UTHM Jumaat | 22 Februari 2019

MASYARAKAT di negara ini umumnya cakna dengan golongan berkeperluan khas, malah sangat prihatin dengan mereka. Walau bagaimanapun, ‘fasa kesedaran’ ini sudah pastinya tidak mencukupi bagi membantu golongan ini untuk meneruskan kehidupan mereka. Kita perlu beralih kepada suatu fasa lain iaitu ‘fasa inklusif sosial’, yang memastikan golongan ini tidak terpinggir malah boleh berdikari.

Inklusif sosial adalah suatu usaha atau tindakan untuk memastikan semua golongan di dalam masyarakat dihargai dan turut terlibat di dalam pembangunan sesuatu komuniti. Semua golongan di dalam sesuatu masyarakat haruslah dilibatkan atau mempunyai peluang yang sama di dalam pekerjaan, perumahan, kesihatan, pendidikan dan latihan serta lain–lain kemudahan termasuklah golongan berkeperluan khas atau kumpulan orang kelainan upaya (OKU) di dalam sesebuah komuniti.

Terbaharu, tular video berkenaan sekumpulan lelaki yang mempermainkan seorang individu OKU dan mereka telah diburu oleh pihak polis. Ia amat menyedihkan dan tindakan ini jelas menunjukkan ada segelintir masyarakat yang masih lagi tidak memahami wujudnya pelbagai golongan di dalam masyarakat yang sepatutnya dibantu, bukan dipermainkan sebegini. Justeru itu, inklusif sosial amat perlu bagi mengasimilasikan semua golongan dan peringkat di dalam masyarakat agar dapat hidup bersama–sama serta saling bantu–membantu.

Persembahan oleh pelatih–pelatih PDK semasa Majlis Perasmian Autism Care @Pengerang.

Pengerang mengorak langkah positif

Pengerang yang juga terkenal dengan pantai peranginan Desaru serta projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) telah menjadi suatu daerah yang pesat membangun.

Oleh sebab itu, amat penting bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang lebih cakna terhadap pembangunan warganya. Atas kesedaran ini, PBT Pengerang melalui Jabatan Pembangunan Komunitinya dan Yayasan Pengerang telah merancang dan menjayakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan berkeperluan khas di daerah ini sepanjang 2018. Yang Dipertuanya, Tuan Haji Bukhari Abd Rahman adalah merupakan pendukung kuat inisiatif–inisiatif ini.

Yang Dipertua dan Timbalannya membuat cap jari di pemidang Semarak Biru @Pengerang.

Usaha ini telah digerakkan dengan bantuan pasukan perunding program sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta sokongan daripada Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di daerah ini serta agensi kerajaan dan swasta. Untuk tahun 2018, PBT Pengerang telah memilih autisme sebagai fokus utama program inklusif sosial mereka.

Dimulai dengan fasa paling asas iaitu memupuk kesedaran di kalangan masyarakat setempat; program Autism Care @Pengerang telah dianjurkan bersempena Pengerang Fest pada Januari 2018.

Program perintis ini yang merangkumi perkongsian ilmu oleh Dr Norlizah Paidi, pakar perubatan keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan Adli Yahya, pengasas Autism Cafe Project (ACP) serta gerai pameran dan jualan OKU. Pelatih–pelatih PDK juga telah menunjukkan bakat masing–masing semasa Majlis Penutup Pengerang Fest ini.

Hasil kreatif guru–guru untuk pertandingan fotografi kreatif Semarak Biru @Pengerang.

Ternyata usaha awal ini telah berjaya menyatukan pelbagai agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU untuk duduk semeja dan berbincang tentang hala tuju mereka dengan dinaungi PBT Pengerang dan Yayasan Pengerang.

Objektif inklusif sosial untuk meningkatkan keterlibatan golongan ini di dalam aktiviti sosial telah mula menampakkan hasil. Mereka sangat teruja bersama – sama menjayakan program ini malah bersedia untuk turut serta dalam program akan datang.

DYMM Permaisuri Johor berangkat ke Sambutan Semarak Biru

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pihak PBT Pengerang dan Yayasan Pengerang mengorak langkah lebih besar dengan menganjurkan program Sambutan Semarak Biru Peringkat Negeri Johor sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut 2 April setiap tahun.

Permaisuri Johor berkenan merasmikan Program Semarak Biru Peringkat Negeri Johor 2018.

Program ini adalah selaras dengan kempen Light It Up Blue yang dianjurkan Autism Speaks, New York. Ia mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta serta dibantu sukarelawan siswa Persatuan Pelajar Mekanikal, UTHM.

Sambutan ini telah diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah. Baginda berkenan merasmikan majlis sambutan ini seterusnya merasmikan Autism Care Cafe @Pengerang yang mana lokasinya ditaja oleh SKS City Mall, Bandar Penawar.

Antara sekolah yang menyertai pertandingan fotografi kreatif Semarak Biru @Pengerang.

Kesudian Tuanku mencemar duli berangkat ke majlis ini ternyata amat menggembirakan warga Pengerang khususnya anak–anak istimewa yang diraikan. Sekolah – sekolah di daerah ini juga turut terlibat dengan menyertai pertandingan fotografi kreatif Semarak Biru. Penyertaan daripada pelbagai pihak di dalam menjayakan sambutan ini telah meningkatkan kesedaran masyarakat serta memberi kefahaman mengenai autisme dan OKU amnya.

Warga Pengerang telah mulai cakna dan prihatin terhadap individu autisme dan berkeperluan khas. Usaha–usaha murni telah diteruskan dengan pelbagai aktiviti di Autism Care Cafe @ Pengerang, SKS City Mall. Kiosk ini telah diuruskan secara usaha sama di antara 5 buah PDK serta kelas–kelas Pendidikan Khas Integrasi di daerah ini.

Kiosk Autism Care Cafe @Pengerang di SKS City Mall.

Selain itu, aktiviti–aktiviti sampingan melibatkan pelatih–pelatih PDK, pelajar–pelajar PPKI serta ibu bapa dan pengunjung pasar raya ini telah diadakan dari masa ke semasa seperti pertandingan mewarna, nyanyian, forum dan banyak lagi.

Komitmen pihak SKS City Mall melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) yang senantiasa menyokong dan menaja lokasi amat dihargai. Bilangan pengunjung juga semakin bertambah dan ia memberi pulangan yang lebih buat peniaga–peniaga di sekitar, malah mereka sentiasa ternanti–nanti program yang bakal dianjurkan.

Lebih membanggakan, ada di antara produk–produk keluaran PDK dan PPKI ini telah mendapat tempahan daripada beberapa buah hotel di Desaru. Ia suatu pencapaian yang sangat baik di samping memberi peluang kepada golongan ini berdikari. Pihak korporat juga telah menyemarakkan konsep inklusif sosial dengan menyokong aktiviti serta produk–produk PDK dan PPKI. Satu lagi objektif inklusif sosial untuk melibatkan mereka di dalam perniagaan dan pekerjaan telah berjaya dimulakan di sini.

Antara aktiviti bulanan di SKS City Mall, Bandar Penawar.

PBT Mesra OKU Negeri Johor 2018

Di atas usaha dan komitmen berterusan PBT Pengerang melalui Yayasan Pengerang serta sokongan dari pelbagai pihak telah berjaya menobatkannya sebagai PBT Mesra OKU Peringkat Negeri Johor tahun 2018. Ia juga telah membuka lembaran baru bagi masyarakat daerah ini untuk bekerjasama dengan lebih erat bagi membantu dan membangunkan golongan berkeperluan khas. Tahun 2019 akan menjanjikan sesuatu yang lebih bermakna buat golongan ini khususnya di Pengerang.

DR MOHD AZLIS SANI

*Penulis merupakan Perunding Program Sosial bagi Yayasan Pengerang dan PBT Pengerang serta Setiausaha Wacana Autisme (NGO berkaitan autisme) dan juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...