> > Kejuruteraan Perniagaan UMP: Bakal jurutera lulusan bidang ini antara paling 'dikehendaki'? Ini sebabnya...
Kejuruteraan Perniagaan UMP: Bakal jurutera lulusan bidang ini antara paling 'dikehendaki'? Ini sebabnya...
NORHAYATI ALLI FOTO UMT Selasa | 26 Februari 2019

Program Kejuruteraan Perniagaan? Mungkin persoalan ini berlegar di dalam minda kebanyakan kita memandangkan apabila menyebut program kejuruteraan, ia lazimnya dikaitkan dengan elektrikal, mekanikal atau awam.

Menurut Ketua Program Kejuruteraan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Lee Khai Loon, mendepani Revolusi IR 4.0, eksekutif yang dilengkapi kemahiran teknikal dan pengetahuan Pengurusan Perniagaan dikatakan antara pekerjaan paling dikehendaki dan menyumbang peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

“Justeru, penawaran program Kejuruteraan Perniagaan di FIM sejak diperkenalkan empat tahun lalu memberi peluang mereka yang berminat dalam kejuruteraan turut mempunyai pengetahuan dalam pengurusan perniagaan dan mencipta kerjaya masa depan,” katanya.
Dr Lee (dua, kanan) bersama pelajar program Kejuruteraan Perniagaan yang mengikuti program di Fakulti Pengurusan Industri. (FOTO UMP)

Ijazah ini tambahnya, adalah program akademik dwi-ijazah dengan Reutlingen University (HsR), Jerman dan UMP. Pelajar akan melengkapkan tahun pertama dan kedua mereka di UMP dan bagi yang berjaya memenuhi keperluan akademik, mereka berpeluang menyambung pengajian tahun ketiga dan keempat di Reutlingen University.

Kelebihannya, pelajar akan mendapat sarjana muda dari kedua-dua institusi iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian (UMP) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Operasi dan Logistik Antarabangsa. Mereka juga dapat mempelajari Bahasa Jerman dan menghayati budaya Jerman dan menimba pengalaman dalam industri di Jerman sendiri.

Hub pendidikan bertaraf antarabangsa

Graduan program ini dijangka dapat membantu merealisasikan Perancangan Rancangan Malaysia ke-11 bagi mewujudkan lebih ramai usahawan berasaskan kejuruteraan dan menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Penawaran program ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri perniagaan dan kejuruteraan di kawasan perindustrian utama wilayah ini termasuklah berdekatan dengan kawasan perindustrian berdekatan kampus seperti di Pekan, Gebeng, Temerloh, Kerteh dan Kemaman.

Bagi UMP dan HsR, kedua-dua universiti ini boleh dijadikan sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa serta menggalakkan kerjasama penyelidikan gunaan dan inovasi di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Sri Dr Daing Nasir Ibrahim (empat, kanan) dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun (tiga, kiri) bersama pelajar dari Jerman, Natalie Christine Isabella Gerth (dua, kiri) yang berjaya menamatkan program kerjasama UMP dan HsR Jerman. Turut serta rakan senegaranya, Fleck Felix Oliver, Simon Julius Funken, Constantin Gehling dan Theresa Stohr. (FOTO UMP)

Graduan berkemahiran pengurusan dan teknikal

Program ini dirancang untuk memberi ruang dan peluang kepada kemunculan graduan yang dilengkapi asas pengetahuan perniagaan dan kejuruteraan kukuh disertai kemahiran pengurusan dan teknikal.

Pelajar akan mendapat pendedahan teknologi terkini Jerman yang diajar tenaga pengajar HsR. Mereka mampu mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran kejuruteraan perniagaan dalam menginovasi amalan organisasi.

Selain itu, mereka akan memegang jawatan eksekutif yang memerlukan kepakaran kejuruteraan perniagaan dalam membuat keputusan lebih baik dengan cepat.

Pengiktirafan antarabangsa

Pengiktirafan badan profesional tempatan antarabangsa terhadap subjek dan program yang ditawarkan juga penting dalam menentukan kualiti akademik di UMP.

Terkini, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) yang berpangkalan di United Kingdom telah memberi akreditasi terhadap kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan iaitu program dwi ijazah secara usaha sama antara UMP dengan Reutlingen University di Jerman.

Pelajar-pelajar dari Jerman yang berjaya menamatkan program kerjasama UMP dan HsR Jerman. (FOTO UMP)

Sehingga kini seramai lima orang pelajar perintis dari Jerman telah menerima ijazah mereka pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 pada 2018.

Sumber info: UMP


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...