> PERAK > Video tragedi Tanduo undang sebak, terutama buat pelajar ini yang teringatkan ayahnya terkorban dalam insiden berdarah itu
Video tragedi Tanduo undang sebak, terutama buat pelajar ini yang teringatkan ayahnya terkorban dalam insiden berdarah itu
BERNAMA Jumaat | 1 Mac 2019

IPOH - Paparan video memperingati pahlawan yang terkorban dalam tragedi Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 2013 mengundang sebak dan linangan air mata hadirin termasuk waris dan anggota 69 Komando (VAT 69) di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini.

Video berdurasi kira-kira 16 minit yang ditayangkan pada Majlis 1313 Sumbangan Warisan 69 Komando Op Sulu dan Op Daulat hari ini antaranya memaparkan situasi tindakan pihak berkuasa menangani musuh termasuk risikan dan pertempuran.

Haziq Wahiduzzaman, 25, anak kepada Sarjan Sabaruddin Daud yang terkorban dalam tragedi itu berkata beliau berasa sebak apabila melihat ayahnya dalam video tersebut sekali gus mengingatkannya kepada insiden berdarah yang mana ketika itu dia berumur 19 tahun.

Menurut penuntut Universiti Selangor itu, beliau sekeluarga terharu apabila VAT 69 mengadakan majlis tersebut bagi memperingati mereka yang terlibat dalam pertempuran menentang penceroboh kumpulan bersenjata.

"Saya kenang tragedi ini pada setiap tahun tetapi kejadian ini dah enam tahun berlaku mungkin ada yang sudah lupa, bila majlis ini diadakan orang akan ingat kembali," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Antara pengisian Majlis 1313 yang julung kali diadakan itu ialah penyerahan batu peringatan Op Sulu/Op Daulat oleh pihak Institut Integriti Malaysia kepada 69 Komando selain penyampaian sumbangan kepada anak pegawai serta anggota yang terkorban dan bacaan tahlil.

Turut diadakan pada majlis itu sesi bual bicara bersama bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar; bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun; bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Azizan Abdul Aziz dan Pengarah Kanan Institut Integriti Malaysia Dr Mohd Nizam Mohd Ali.

Selain Zulkifli dan Sabaruddin, pertempuran dengan penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, Semporna mengorbankan tujuh lagi anggota keselamatan negara iaitu ACP Ibrahim Lebar, ASP Michael Padel, Sarjan Abdul Azis Sarikon, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit, Koperal Salam Tugiran dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail.

Sementara itu, Khalipah Mahamedisa, 61, ibu mentua ASP Zulkifli Mamat, berkata pengorbanan serta jasa Allahyarham sentiasa diingati kerana pemergiannya ketika sedang berjuang demi keselamatan negara. Khalipah berkata beliau akan menjaga tiga anak arwah iaitu Noor Aqmar Amirudin, 11, Noor Mohd Aqil, 7 dan Noor Aqib Shahid, 6, dengan sebaik mungkin.

"Mungkin saya tak dapat jaga mereka (cucu) seperti arwah jaga. Walaupun ibu mereka sudah berkahwin, makcik tak abaikan mereka. Mereka tinggal berhampiran dengan rumah makcik, apa-apa masalah yang berlaku makcik boleh tengok," katanya.

Beliau yang berasal dari Kangar, Perlis berkata beliau akan memeluk Noor Aqmar apabila cucunya itu terasa rindu pada arwah kerana dua beranak itu sangat rapat.

Sementara itu, Ismail berkata majlis itu diadakan bukan semata-mata kerana VAT 69 Komando sentimental, sebaliknya ia diadakan untuk memperingatkan generasi masa kini bahawa keamanan dan kedaulatan negara terpelihara disebabkan pengorbanan.

"Tragedi di Lahad Datu pada 2013 itu telah menunjukkan bahawasanya penglibatan polis, tentera dan sebagainya telah mengorbankan jiwa mereka untuk mempertahankan negara yang kita cintai.

"Komando perlu meneruskan perjuangan mereka dan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan, lebih penting gunakan pengalaman untuk beri perkhidmatan terbaik dan bersedia hadapi cabaran pada masa akan datang," katanya. -- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...