> > Tapak Jom Masuk IPT Zon Selatan diserbu hampir 50,000 pengunjung...
Tapak Jom Masuk IPT Zon Selatan diserbu hampir 50,000 pengunjung...
SURIAYATI BAHAROM, UTHM Isnin | 4 Mac 2019

BATU PAHAT – Program Jom Masuk IPT 2019 (JMIPT) Zon Selatan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung pada 2 dan 3 Mac lalu telah menarik hampir 50,000 pengunjung memenuhi Padang Kawad, kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program ini akan diteruskan penganjurannya di lima zon seluruh negara iaitu di Zon Sabah (9 dan 10 Mac di Kota Kinabalu), Zon Utara (9 dan 10 Mac di USM Pulau Pinang), Zon Timur (16 dan 17 Mac di Kota Bharu, Kelantan), Zon Sarawak (23 dan 24 Mac di Kuching) dan Zon Tengah (30 dan 31 Mac di MAEPS Serdang).

Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik, KPM melihat Jom Masuk IPT sebagai signature program pihak kementerian dan harus digerakkan dengan lebih berimpak tinggi.

Dr. Maszlee ketika merasmikan program Jom Masuk IPT 2019.

Program ini akan terus menjadi Pusat Sehenti Bermaklumat (One-Stop Centre) kepada para pelajar dan masyarakat setempat untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang dan ruang pendidikan tinggi di Malaysia khususnya mengenai urusan kemasukan ke Universiti Awam (UA), politeknik, kolej komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain.

Penganjuran program ini juga adalah seiring dengan pembukaan permohonan kemasukan pelajar ke IPT awam bagi sesi akademik 2019/2020, yang mula dibuka mulai 25 Februari sehingga 2 April ini secara dalam talian melalui UPU Online iaitu http://upu.mohe.gov.my.

Tetamu VIP di kaunter UPU online.

Tambahnya lagi selain daripada peluang melanjutkan pengajian yang dibuka kepada kumpulan calon arus perdana, KPM juga tidak lupa kepada empat golongan yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), atlet, orang asli dan golongan berpendapatan B40 dengan menyediakan laluan khas bagi kemasukan ke UA.

“Golongan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan calon arus perdana dan hanya perlu memenuhi syarat khas yang telah ditetapkan oleh universiti yang dipilih dan akan disaring dalam kalangan kelompok mereka sendiri sahaja.

Sebahagian pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat di reruai IPT yang turut serta.

“Polisi ini adalah manifestasi kepada konsep 'pendidikan untuk semua' yang bertunjangkan kepada falsafah equal opportunity atau peluang yang saksama,” katanya ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian JMIPT 2019 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Dr. Mohd Sofi Osman; Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Aminolhuda Haji Hassan.

Khusyuk mendengar penerangan.

Selain memberi pendedahan tentang permohonan kemasukan ke IPT, masyarakat setempat juga boleh mendapatkan pelbagai informasi mengenai peluang melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi, khidmat nasihat dan tunjuk ajar serta pertanyaan mengenai peluang pembiayaan pengajian bagi lepasan SPM/setaraf dan STPM/setaraf.

UTHM selaku tuan rumah bagi zon selatan bekerjasama dengan KPM menyediakan kira-kira 100 gerai pameran pendidikan yang terdiri daripada universiti awam dan swasta tempatan, politeknik, kolej komuniti dan ILKA, pelbagai agensi awam dan swasta termasuk badan pembiayaan pendidikan.

Dr. Maszlee dan tetamu VIP lain semasa pelancaran Jom Masuk IPT Zon Selatan.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pameran badan beruniform, forum kebolehpasaran murid, kuiz dan persembahan kebudayaan oleh pelajar UTHM bagi menarik orang ramai mengunjungi program ini. Aktiviti keusahawanan pelajar dan Food Truck juga memeriahkan lagi tapak program yang berlangsung selama dua hari ini.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...