> > Bilik terbakar! Mujur tersedar dari tidur, pelajar terkilan barangan berharga pemberian ibu tak dapat diselamatkan
Bilik terbakar! Mujur tersedar dari tidur, pelajar terkilan barangan berharga pemberian ibu tak dapat diselamatkan

BANDAR BARU UDA - Seorang pelajar Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) nyaris maut apabila asrama yang didiami bersama tiga rakannya di Pangsapuri Titiwangsa, di sini, terbakar sekitar jam 7 petang, kelmarin.

Pelajar tahun dua Diploma Pendidikan Islam di Kolej Pengajian Islam Johor, Safuan Fadli Amaludin, 20, berkata, ketika kejadian hanya rakannya, Ahmad Danish Aiman, 20, yang berada di dalam rumah berkenaan di tingkat dua bangunan itu.

Ammar.

Jelasnya, mujur Ahmad Danish tersedar daripada tidur apabila terhidu bau asap dan melarikan diri ke tingkat bawah selepas melihat api telah marak di bilik hadapan.

“Bila keluar bilik dia nampak api tengah marak di bilik saya. Dia jerit api, api tapi saya memang tak dengarlah sebab di tingkat empat.

“Masa itu saya berada di bilik kawan di tingkat empat. Tapi ketika itu saya sudah terhidu bau hangit. Masa itu juga kecoh kawan-kawan ajak turun bawah.

“Waktu saya lalu tingkat tiga asap tak tebal lagi tapi apabila sampai tingkat dua asap memang tebal dan terpaksa turun terus, tak boleh masuk rumah.

Dah sampai bawah baru saya tahu bilik saya rupanya yang terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan siasatan di bilik asrama.

Menurutnya, kesemua barangan di bilik yang dikongsi bersama rakannya, Nur Ammar Izzuddin Bazlan hangus termasuk pakaian dan sebuah komputer riba.

“Saya tidak ada cas apa-apa cuma ketika saya tinggalkan bilik, suis kipas saya tak tutup. Selepas api berjaya dipadamkan, saya naik ke rumah terkejut tengok semua hitam. Habis semua barang hangus.

“Nasib baik baju, komputer riba dan buku saya ada dalam almari di ruang tamu. Tapi dalam bilik ada komputer riba Ammar dan buku-buku dia habis terbakar dan yang tinggal cuma besi katil,” katanya.

Ammar yang merupakan pelajar tahun dua Diploma Syariah Islamiah terkilan apabila komputer riba pemberian ibunya hangus dalam kejadian yang tak diduga itu.

“Komputer riba itu mak saya bagi masa mula mula masuk Marsah tahun 2017.

“Saya tak sangka pula bilik saya yang terbakar,”katanya.

Exco ucap takziah

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan hadir menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 untuk diagihkan kepada empat pelajar kolej tersebut.

Katanya, setiap pelajar akan terima RM500 untuk tujuan bantuan sara diri dan bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor sekiranya masih ada kekurangan.

Safuan menceritakan kejadian yang berlaku di biliknya kepada Aminolhuda.

“Takziah kepada mangsa yang terlibat, syukur tiada korban jiwa. Kita tunggu laporan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung punca kejadian.

“Minggu depan peperiksaan jadi saya harap mereka yang terlibat dapat menumpukan kepada ulang kaji. Saya difahamkan mereka akan dipindahkan ke bilik lain,” katanya.

Terdahulu, sebuah bilik di Pangsapuri Titiwangsa yang juga merupakan asrama Marsah hangus akibat kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...