> > Oh, bahasaku!: Ini yang perlu anda tahu berkenaan ulu atau hulu dan selamat datang...
Oh, bahasaku!: Ini yang perlu anda tahu berkenaan ulu atau hulu dan selamat datang...
MUNSYI CHAN LOON GUAN Khamis | 7 Mac 2019

Dalam perjalanan ke pekan Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, penulis perlu melalui Mukim Hulu Bernam dari Tanjong Malim, daerah Muallim.

Sebenarnya, daerah Hulu Selangor terdiri daripada 13 mukim, iaitu Hulu Bernam, Kalumpang, Kuala Kalumpang, Sungai Gumut, Kerling, Sungai Tinggi, Ampang Pecah, Peretak, Buluh Telor, Rasa, Batang Kali, Hulu Yam dan Serendah.

Makalah kali ini, penulis ingin membicarakan kosa kata, iaitu “ulu” atau “hulu” dan slogan “Selamat Datang” yang kerap digunakan oleh masyarakat, pihak swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sewenang-wenangnya.

Usai merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2016), jelaslah bahawa perkataan, “ulu” tidak disenaraikan dalam entri kata (kamus) tersebut. Sebaliknya, yang tersenarai ialah perkataan “hulu”.

Hulu bermaksud kepala, bahagian atas (sungai dan lain-lain), banat, udik, lawan hilir (mudik), pangkal, permulaan, tangkai (pisau, keris, cangkul, dan lain-lain), pemegang, hujung dan pedalaman.

Frasa contoh:

i. gering hulu – sakit kepala

ii. hulu sungai – bahagian atas sungai

iii. hulu hati – bahagian hati yang sebelah atas

iv. hulu cangkul – tangkai cangkul

v. orang hulu – orang yang tinggal jauh di pedalaman

vi. hulu kepala – ubun-ubun

vii. hulu tongkat – kepala tongkat

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (Zainal Abidin Safarwan, 1995) pula meletakkan entri kata, “ulu” sebagai ejaan yang tidak rasmi, yakni bunyi huruf h tidak digunakan dan diberikan rujukan silang dengan ejaan yang rasmi, iaitu “hulu”. Oleh itu, yang manakah lebih persis “Ulu Bernam” atau “Hulu Bernam”?

Jika kata nama khas tersebut masih belum diwartakan oleh Pejabat Tanah dan Galian, Daerah Hulu Selangor maka yang persis sekali ialah Hulu Bernam.

Selamat Datang

Daripada kata dasar, “hulu”, maka akan terbentuklah kata terbitan yang berikut, iaitu berhulu, berhulukan, menghulu, menghulukan, dan huluan selain penghulu dan hulubalang sebagai golongan kata nama.

Slogan, “Selamat Datang Tapah” dan “Selamat Datang Teluk Intan” turut menarik perhatian penulis. Jika ditelusuri sepintas lalu, maka boleh kita tafsirkan bahawa ucap selamat tersebut khas ditujukan kepada kedua-dua tempat yang berkenaan, iaitu Tapah dan Teluk Intan sedangkan matlamat asal ucapan adalah untuk mengalu-alukan kedatangan para tetamu, pelawat atau wisatawan (pelancong) ke tempat-tempat yang berkenaan.

Jadi, yang persis dan gramatis, pada hemat penulis ialah slogan-slogan ucapan seperti yang berikut:

i. Selamat Datang Tapah. (x)

Selamat Datang ke Tapah. (/)

ii. Selamat Datang Teluk Intan. (x)

Selamat Datang ke Teluk Intan. (/)

iii. Selamat Datang Kuala Kubu Bharu. (x)

Selamat Datang ke Kuala Kubu Bharu. (/)

Sesungguhnya, kata kerja tak transitif, “datang” perlu disusuli dengan kata sendi, “ke” dan diikuti oleh unsur pelengkapnya, iaitu Tapah, Teluk Intan, Kuala Kubu Bharu atau Tanjong Malim.

Yang berikutnya, slogan-slogan contoh yang perlu diberikan perhatian oleh para pengguna bahasa kebangsaan, pembaca dan masyarakat seluruhnya.

i. Selamat Datang Konvensyen Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019. (x)

Selamat Datang ke Konvensyen Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019. (/)

ii. Selamat Datang Majlis Pendaftaran Murid Tingkatan Satu. (x)

Selamat Datang ke Majlis Pendaftaran Murid Tingkatan Satu. (/)

iii. Selamat Datang Proton City. (x)

Selamat Datang ke Proton City. (/)

Sebagai pengguna bahasa yang peka dan prihatin, kita sering dinasihati agar senantiasa membiasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, tepat dan gramatis sama ada dalam bahasa lisan atau bahasa penulisan.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

MUNSYI - CHAI LOON GUAN

*Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

*Artikel ini dipetik daripada ruangan Cetusan: Oh, bahasaku! terbitan Sinar Harian Khamis 7 Mac 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...