> > Ini pesanan Keselamatan Jalan Raya semasa musim cuti sekolah Mac 2019 oleh Safe Kids Malaysia UPM
Ini pesanan Keselamatan Jalan Raya semasa musim cuti sekolah Mac 2019 oleh Safe Kids Malaysia UPM
KULANTHAYAN KC MANI, UPM Jumaat | 8 Mac 2019

BANGI - Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MIROS menganjurkan program Keselamatan Jalan Raya sempena cuti sekolah yang akan bermula pada 22 Mac 2019.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi Seksyen 4, Selangor ini dihadiri seramai 1,300 pelajar.

Satu ceramah Keselamatan Jalan Raya diadakan untuk 2 sesi iaitu jam 7.30 pagi - 8.00 pagi bagi sesi pagi dan jam 2.30 petang - 3.00 petang bagi persekolahan sesi petang.

Ceramah ini disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, UPM, Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani. Manakala pihak MIROS menyediakan sesi pameran mereka sepanjang hari mulai jam 8.00 pagi - 4.00 petang.

KULANTHAYAN KC MANI

Malaysia mencatat bilangan kes kemalangan jalan raya yang tinggi sebanyak 548,598 dengan purata setiap minit satu kemalangan jalan raya pada tahun 2018. Negara kehilangan seramai 6284 nyawa (purata seramai 17 nyawa sehari).

Ini merupakan isu kesihatan komuniti dan setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk bersama sama menangani epidemik ini. Dari angka ini, secara purata setiap tahun, kita kehilangan seramai 1000 nyawa kanak kanak dibawah umur 18 tahun.

Jika diteliti lebih mendalam dengan kes kematian jalan raya, di dapati 64.5% adalah dari golongan pengguna motosikal, 18.8% (pengguna kereta), 6.5% (pejalan kaki).

Tiga kumpulan pengguna jalan raya ini mengambil 89.8% daripada jumlah kematian pengguna jalan raya tahun 2017. Justeru itu sebarang inisiatif keselamatan jalan raya perlulah mengutamakan tiga kumpulan sasaran utama ini.

Manakala kumpulan pengguna jalan raya yang paling kurang mencatat angka kematian jalan raya ialah pengguna bas (pengangkutan awam).

Berikut dicadangkan 5 kaedah utama untuk menangani isu ini semasa musim cuti sekolah ini:

1.0 PENGANGKUTAN AWAM

Statistik kemalangan dan kematian jalan raya dalam negara dengan jelas menunjukkan risiko pengangkutan persendirian adalah jauh lebih tinggi bebanding dengan pengangkutan awam. Tambahan, risiko pengguna yang duduk dalam kenderaan kecil (kereta) adalah tinggi berbanding dengan duduk dalam kenderaan besar (bas).

Ini kerana bagi kenderaan yang besar, jarak penumpang dengan badan kenderaan adalah jauh berbanding dengan kenderaan kecil dan dalam pelanggaran jarak sentuhan adalah dekat/hampir dalam kenderaan kecil. Justeru itu diharap kanak-kanak sekolah dapat berpesan kepada ibubapa dan penjaga mereka bahawa pengangkutan awam adalah lebih selamat berbanding dengan pengangkutan persendirian.

Mana-mana trip perjalanan jauh bersama keluarga, digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk keselamatan. Secara perbandingan, pengangkutan awam rel adalah jauh lebih selamat berbanding dengan pengangkutan awam darat (bas).

Ini kerana semua pengangkutan awam rel adalah menggunakan trek/laluan khas mereka yang tidak berkongsi /berinteraksi dengan jenis pengangkutan lain.

Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia memberikan ceramah Keselamatan Jalan Raya kepada 1,300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi Seksyen 4.

2.0 PENGGUNAAN KENDERAAN TANPA LESEN MEMANDU / MENUNGGANG

Lazimnya pada musim percutian sekolah, kanak-kanak sekolah berada di rumah dan mempunyai masa lapang yang banyak dan tidak diawasi oleh orang dewasa kerana ibubapa / penjaga bekerja. Maka kadang-kadang ada kecenderungan dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang mencuba untuk memandu / menunggang motosikal keluarga mereka.

Sifat ini mengundang bahaya kerana tanpa lesen memandu / menunggang, membawa maksud amalan mereka salah di sisi peraturan jalan raya.

Tanpa lesen memandu / menunggang juga membawa maksud mereka tidak mempunyai kemahiran pengendalian kenderaan bermotor. Ini akan mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain yang berkongsi kemudahan jalan raya yang disediakan.

Pesanan kepada pihak ibu bapa dan penjaga agar tidak membenarkan anak-anak di bawah jagaan mereka menggunakan mana-mana kenderaan bermotor tanpa lesen memandu dan menunggang.

3.0 PENGURANGAN KELAJUAN KENDERAAN

Pengurangan kelajuan ialah strategi yang paling berkesan dalam mengurangkan kemalangan dan kecederaan jalan raya.

Jika kita dapat kurangkan kelajuan kenderaan, kita mampu mengawal kenderaan dengan lebih baik. Kita akan mempunyai masa dan jarak yang mencukupi untuk respon dan ini akan membantu untuk elak kemalangan.

Pengurangan kelajuan memberikan kita kelebihan untuk tindakbalas. Lagi tinggi kelajuan, lagi jauh jarak diperlukan untuk membolehkan kenderaan berhenti. Ini akan meningkatkan risiko kemalangan jika ada objek di hadapan kita, kerana kemungkinan kita tidak sempat untuk memberhentikan kenderaan dengan serta merta dalam situasi kecemasan.

Kelajuan boleh menyebabkan kecederaan kerana ia membawa bersama tenaga. Lagi tinggi kelajuan kenderaan, lagi tinggi pemindahan tenaga yang akan berlaku.

Bagi seorang dewasa dalam keadaan terbuka (berada di luar kenderaan – seperti pejalan kaki dan penunggang basikal), maksima pemindahan tenaga yang mampu diserap oleh mereka ialah setakat 30kmj sahaja. Jika melebihi, maka kemungkinan besar akan menjadi kemalangan maut.

Manakala bagi seorang yang berada dalam keadaan tertutup (berada dalam kenderaan – pengguna kereta), maksima pemindahan tenaga yang mampu di serap ialah sehingga 50kmj. Ini di panggil sebagai Had Toleransi Badan.

Risiko kematian adalah 20% bagi kemalangan pada kelajuan 50kmj berbanding dengan risiko kematian 60% jika kelajuannya ialah 80kmj. Juga bila kenderaan laju, ia memerlukan satu jarak yang jauh untuk memberhentikan kenderaan.

Sebagai contoh: bagi kelajuan 50kmj, kita hanya memerlukan jarak 27m untuk memberhentikan kenderaan bila kita tekan brek kenderaan. Tetapi jarak ini akan bertambah jika kita bergerak pada kelajuan tinggi iaitu 60kmj (36m) dan 80kmj (58m). Justeru itu, kanak kanak diminta ajak ibubapa dan penjaga untuk mengurangkan kelajuan kenderaan bagi perjalanan selamat.

Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, UPM menyampaikan ceramah Keselamatan Jalan Raya sempena cuti sekolah.

4.0 PENGGUNAAN TALI PINGGANG KELEDAR

Strategi pencegahan dan pengawalan kecederaan yang baik ialah menggunakan segala produk keselamatan yang sedia ada bersama kita dalam kenderaan.

Bila kita membeli kereta, ia datang bersama dengan tali pinggang keledar. Setiap pengguna kereta (pemandu, penumpang depan dan belakang) perlu memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan perjalanan kita dan penumpang lain dalam kereta.

Tali pinggang keledar mampu mengurangkan kebarangkalian terbunuh sebanyak 40-50% bagi pemandu dan penumpang depan serta lebih kurang 25% bagi penumpang belakang. Justeru itu, setiap pengguna kereta harus menggunakan tali pinggang keledar.

Juga sebagai penumpang bas, jika terdapat kemudahan tali pinggang keledar dalam bas, maka, seharusnya kita menggunakan tali pinggang keledar tersebut untuk keselamatan kita.

5.0 PENGGUNAAN TOPI KELEDAR KESELAMATAN MOTOSIKAL

Bagi pengguna motosikal, produk keselamatan yang terbaik yang kita ada buat masa ini untuk menyelamatkan mereka dari kecederaan ialah topi keledar keselamatan motosikal.

Topi keledar keselamatan motosikal berkeupayaan untuk mengurangkan risiko kematian sebanyak 40% dan risiko kecederaan sebanyak 70%. Justeru itu, semua pengguna motosikal disarankan menggunakan topi keledar keselamatan motosikal (berlabel SIRIM) mengikut saiz yang bersesuaian untuk orang dewasa dan kanak kanak.

Sebaik mungkin warna topi keledar yang cerah dapat membantu menambahkan kelihatan kita kepada kenderaan yang datang dari belakang pada waktu malam. Saiz motosikal yang kecil, mempunyai kebarangkalian untuk dilihat juga adalah kecil, justeru itu kelihatan mereka boleh ditambah melalui pemakaian jaket pematul cahaya, pakaian cerah atau topi keledar cerah.

Bagi keselamatan kita semasa perjalanan semasa musim cuti sekolah ini, jom amalkan 5 strategi: Pemindahan ke pengangkutan awam, Tidak memandu / menunggang kenderaan tanpa lesen, pengurangkan kelajuan, penggunaan tali pinggang keledar dan topi keledar keselamatan motosikal.

Penulis; Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani, merupakan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...