> SEL KL > Nama penuntut UPNM bantu siasatan bukan pilihan rambang, tapi diberi tertuduh pertama dan kedua
Nama penuntut UPNM bantu siasatan bukan pilihan rambang, tapi diberi tertuduh pertama dan kedua
BERNAMA Sabtu | 9 Mac 2019

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat dalam kes Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai akibat didera rakan seuniversitinya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa penuntut UPNM yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu bukan pilihan rambang.

Pegawai Penyiasat Kanan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata nama penuntut-penuntut itu diberikan oleh tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan tertuduh kedua Muhammad Azamuddin Mad Sofi yang telah dituduh membunuh Zulfarhan Osman.

Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia disyaki didera rakan seuniversitinya, dua tahun lepas.

"Pemilihan pelajar bukan dilakukan secara rambang dan ia diberikan oleh tertuduh pertama dan tertuduh kedua. Nama itu (kemudian) diberi kepada pegawai polis yang menjalankan soal siasat awal semasa di Hospital Serdang,” kata saksi pendakwaan ke-29 itu ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon pada perbicaraan kes itu hari ini.

Ranjit mewakili tertuduh ketiga Muhammad Najib Mohd Razi.

Dalam perbicaraan semalam, Wan Azirul Nizam memberitahu seramai 30 penuntut UPNM telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Kepada soalan mengenai siapa "saksi mata” (saksi yang melihat kejadian Zulfarhan Osman dipukul dan diseterika) pada malam kejadian, 22 Mei 2017, Wan Azirul Nizam berkata kebanyakan saksi adalah dalam kalangan 30 penuntut yang ditahan bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya peguam A.G Kalidas yang mewakili tertuduh Muhammad Danial Firdaus Azmir dan Muhammad Hasif Ismail, mengenai siapa yang kehilangan komputer riba dalam kes itu, Wan Azirul Nizam berkata dua penuntut UPNM iaitu tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi dan saksi pendakwaan ke-27, Muhammad Ilham Zamree.

Menjawab pertanyaan mengenai langkah yang diambil pegawai penyiasat itu untuk mencari dua komputer riba jenama Acer yang hilang tersebut, Wan Azirul Nizam berkata beliau telah melakukan pemeriksaan di laci dan bilik Zulfarhan Osman di asrama penginapan UPNM namun tidak menjumpainya.

Kepada soalan berhubung bukti yang boleh menunjukkan komputer riba itu pernah wujud dan telah hilang, sama ada melalui resit pembelian dan sebagainya, saksi itu berkata: "Tidak ada, hanya berdasarkan pengakuan (tertuduh) sahaja.”

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 23 April. -- Bernama


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...