> SEL KL > UiTM, Petronas jalin usaha sama bangunkan sektor tenaga boleh baharu dan pengoptimuman tenaga
UiTM, Petronas jalin usaha sama bangunkan sektor tenaga boleh baharu dan pengoptimuman tenaga
BERNAMA Isnin | 11 Mac 2019

SHAH ALAM - UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), syarikat komersial dan pelaburan Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui anak syarikat milikan penuhnya, UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd (UEFSB) dan unit Tenaga Baharu Petroliam Nasional Berhad (Petronas), telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) untuk bekerjasama membangunkan sektor Tenaga Boleh Baharu melalui program Solar Berskala Besar dan Pengoptimuman Tenaga dalam kampus.

Kedua-dua pihak berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan dan pengalaman masing-masing dalam usaha membangun dan melaksana projek Tenaga Boleh Baharu dan Pengoptimuman Tenaga.

Antara usaha sama yang akan dijalankan dengan segera ialah peluang melaksanakan program Solar Berskala Besar dan pengoptimuman tenaga dan pemasangan peralatan penjanaan tenaga solar di bangunan milik UiTM di seluruh negara.

UiTM memiliki lebih daripada 30 buah kampus di seluruh negara, yang mana projek ini mampu menghasilkan penjimatan ke atas perbelanjaan tenaga sebanyak 30 peratus setahun sekiranya berjaya dilaksanakan.

Turut hadir pada majlis yang telah diadakan pada 7 Mac 2019 ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim; Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petronas, Mohamed Firouz Asnan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), Norzaimah Maarof dan Ketua unit Tenaga Baharu Petronas, Dr Jay Mariyappan.

Norzaimah bertukar dokumen perjanjian dengan Dr Jay disaksikan Dr. Mohd Azraai dan Mohamed Firouz.

“Usaha sama ini mampu memperkukuhkan kelebihan berdaya saing UiTM di dalam sektor pendidikan tinggi dalam misinya untuk menjadi sebuah universiti cemerlang, di samping mampu menjana pertumbuhan komersial yang tinggi, ke arah masa hadapan yang mampan dan lestari,” jelas Dr. Mohd Azraai. UHSB memiliki sebuah Jana Kuasa Elektrik Solar PV Berskala Besar 61MW di Gambang, Pahang. Ia telah pun bermula beroperasi pada 8 Mac 2019.

Fasiliti ini mampu menjana lebih 80,000 MWh tenaga bersih dan menghasilkan RM650 juta pendapatan sepanjang 21 tahun. Penjanaan tenaga hijau ini mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 56,000 tan setiap tahun.

Jana Kuasa Solar ini merupakan fasiliti sebegini rupa yang terbesar di dunia yang dimiliki oleh sesebuah Institusi Pengajian Tinggi.

Ia telah dibiayai menerusi terbitan Sukuk Hijau ASEAN SRI (ASEAN Green SRI Sukuk) yang merupakan Sukuk Hijau ASEAN SRI yang pertama di dunia yang diterbitkan oleh sebuah universiti. Jana Kuasa Elektrik Solar di Gambang ini juga menempatkan sebuah Pusat Penyelidikan Solar UiTM yang serba canggih dan moden.

Pusat Penyelidikan ini akan menjadi Pusat Kecemerlangan untuk Inovasi, Pembangunan dan Pengkomersialan Tenaga Boleh Baharu. Akses kepada maklumat masa sebenar dan silam membolehkan para penyelidik melakukan analisa dan simulasi.

Ini memungkinkan penemuan baharu di dalam teknologi solar dan di dalam pengurusan dan penyimpanan tenaga. Tambahan juga, keberadaan Jana Kuasa Elektrik Solar ini di atas tanah yang luas menyediakan persekitaran yang ideal untuk membolehkan pengoptimuman tanah dilakukan di mana kajian tentang integrasi antara teknologi solar dan pertanian dapat dijalankan.

UHSB juga telah memulakan pembangunan Jana Kuasa Elektrik Solar PV Berskala Besar keduanya yang berkapasiti 31MW di Pasir Gudang, Pahang. Dijangka siap pada Suku Pertama 2010, Jana Kuasa ini mampu menjana lebih 40,000 MWh tenaga bersih dan menghasilkan RM315 juta pendapatan sepanjang 21 tahun. Penjanaan tenaga hijau mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 28,000 tan setiap tahun.

“Tenaga yang dihasilkan oleh kedua-dua Jana Kuasa Solar milik UiTM ini berjumlah 92MW. Jumlah tenaga yang dihasilkan ini akan menyumbang sebanyak 4% daripada Tenaga Boleh Baharu negara menjelang 2020,” tambah Dr. Mohd Azraai.

Norzaimah dan Dr Jay menandatangani Surat Hasrat bagi usaha sama membangunkan Sektor Tenaga Boleh Baharu dan Pengoptimuman Tenaga dan disaksikan Dr. Mohd Azraai dan Mohamed Firouz.

Sebagai mengulas usaha sama ini, Mohamed Firouz berkata, langkah Petronas ke arah tenaga bersih ini dilihat sebagai satu usaha penting bagi memastikan kemapanan Petronas.

"Ia berfungsi sebagai strategi ‘Langkah Keluar’ yang mampu membuka bidang perniagaan baru, sempena transformasi sektor tenaga, dan berperanan melindungi perniagaan kami daripada ketidaktentuan masa hadapan,” katanya.

Selari dengan usaha ini, Petronas juga sedang menjalankan beberapa inisiatif di dalam negara yang bertujuan untuk membantu mencapai sasaran kerajaan yang meletakkan 20peratus daripada penjanaan tenaga negara perlu dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu menjelang 2025.

Usaha ini membabitkan projek solar atas bumbung di Suria KLCC, sebuah Jana Kuasa Solar 10MW di Gebeng, Pahang dan pemasangan penjana tenaga solar di bangunan dan aset milik Petronas seluruh negara.

“Perniagaan Tenaga Baharu ini berhasrat untuk menyumbang sekurang-kurangnya 1.5GW Tenaga Boleh Baharu, sebagai usaha menyumbang ke arah mencapai sasaran 6GW Tenaga Boleh Baharu Kerajaan Malaysia menjelang 2025. Kami yakin usaha sama antara industri dan sebuah rakan daripada sektor pendidikan seperti UiTM amat penting untuk mencapai sasaran ini,” tambah Mohamed Firouz.

Perniagaan Tenaga Baharu Petronas ini akan bergerak sebagai sebuah unit perniagaan yang lengkap dan menumpukan fokus kepada solusi tenaga bersih, yang merangkumi Tenaga Boleh Baharu seperti tenaga solar, angin dan juga solusi hibrid yang menggabungkan gas asli dan teknologi penyimpanan tenaga, yang akan menjadi teras utama di dalam memastikan kejayaan integrasi penuh solusi tenaga bersih seluruh dunia.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...