> TERENGGANU > Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat lancar pelayaran saintifik UMT ke LIMA'19
Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat lancar pelayaran saintifik UMT ke LIMA'19
BERNAMA Selasa | 12 Mac 2019

KUALA NERUS – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat merasmikan Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) : Menelusuri LIMA’19 di jeti Duyung Marina & Resort, dekat sini, hari ini.

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Nur Zahirah, yang juga Canselor UMT, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan bergambar bersama saintis pada Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik UMT: Menelusuri LIMA'19 di Duyong Marina Resort hari ini. Foto: Bernama.

Pelayaran menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery itu akan bermula esok dengan kapal berkenaan dijangka berlabuh di Dermaga Tanjung Lembung, Pulau Langkawi pada 24 Mac ini, sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 2019) yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac ini.

Selepas perasmian, Sultan Mizan berangkat melawat kapal itu yang akan membuat pelayaran selama 20 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia menerusi dua laluan maritim, Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum tiba semula di jeti itu pada 6 April.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) berkenan merasmikan Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT): Menelusuri LIMA'19 di Duyong Marina Resort hari ini. Foto: Bernama.

Pelayaran itu yang akan melalui lebih 45 lokasi kajian di sepanjang laluan berkenaan termasuk lokasi kajian utama di Pulau Perak, Kedah, disertai 25 saintis lapangan dan makmal, termasuk lima daripadanya saintis wanita.

Sementara itu, Dr Nor Aieni dalam ucapannya berkata di samping terlibat dalam kajian saintifik, RV Discovery akan berhenti di Gelang Patah, Johor bagi penganjuran program bersama komuniti dan sekolah-sekolah sekitar negeri ini.

“Matlamat program itu adalah bagi mempromosi UMT sebagai antara universiti yang mempelopori bidang sains marin di negara ini dan satu-satunya yang mempunyai kapal penyelidikan.

“Melalui pelayaran penyelidikan saintifik ini juga kajian yang dijalankan bakal menghasilkan senarai semak kehadiran sepsis, sebaran dan biodiversiti yang terdapat dalam perairan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambahnya, dapatan daripada ekspedisi ini akan diterbitkan dalam bentuk penulisan saintifik serta artikel dalam media utama supaya maklumat yang dijana akan dapat diguna pakai bukan sahaja kepada komuniti saintis dan pentadbir, tetapi juga kepada masyarakat umum.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (dua, kanan) dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (tiga, kanan) selaku Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan melihat demontrasi mengambil sampel organisma dasar laut pada Perasmikan Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik UMT: Menelusuri LIMA'19 di Duyong Marina Resort hari ini. Foto: Bernama.

“Dengan harapan ia dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bertindak balas berasaskan pengetahuan dan memelihara serta menghargai alam sekitar sebagai khazanah semulajadi Malaysia,” katanya. - Bernama.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...