> PERAK > Jeritan kawan masih terngiang, penghuni asrama PSAS cerita detik ribut luar biasa petang semalam
Jeritan kawan masih terngiang, penghuni asrama PSAS cerita detik ribut luar biasa petang semalam
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID Selasa | 12 Mac 2019

TANJUNG MALIM - Jeritan penghuni asrama wanita blok V1 Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, dalam kejadian ribut petang semalam, masih terngiang-ngiang ditelinga pelajar yang berada di kediaman ketika itu.

Malah kejadian yang pertama kali itu, meninggalkan kesan kepada penghuni asrama yang baharu sahaja pulang dari kuliah dan beristirehat di dalam bilik masing-masing sekitar jam 6 petang.

Bagi penghuni blok V1, Nurul Hazwani Ahmad, 22, pelajar Diploma Perakaunan berkata, ketika kejadian dia berada di bilik bersama seorang lagi rakannya sedang beristirehat selepas tamat kelas.

"Pada mulanya kami hanya mendengar bunyi angin kuat di luar dan tidak menghiraukan namun bunyi itu semakin kuat sehingga terdengar jeritan rakan-rakan asrama seorang demi seorang.

"Saya terus membuka pintu untuk melihat apa yang berlaku dan masa itu hujan lebat dan angin terlalu kuat hingga saya meminta tolong rakan sebilik bersama-sama menutup pintu bilik kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PSAS, di sini, hari ini.

Seorang lagi penghuni blok V1, Wan Fatimatuzzarah Noor Azman, 23, berkata, dia bersyukur dirinya serta rakan-rakan asrama yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kejadian ribut berkenaan.

Wan Fatimatuzzarah (kanan) dan Nurul Hazwani (kiri) memegang makanan serta pakaian yang diambil dari bilik mereka selepas diarahkan berpindah ke Pusat Islam.

"Saya duduk ditingkat atas sekali jadi memang dengar bila bunyi serpihan bumbung tercabut dan jatuh pecah ke lantai bawah dibawa angin selain dari jeritan kawan-kawan lain.

"Saya tak berani nak buka tingkap untuk melihat keadaan ketika itu kerana memang sangat menakutkan kami hanya mampu membaca ayat suci Al-Quran untuk menghilangkan rasa takut," katanya.

Sekurangnya tujuh blok bangunan rosak

Bagi Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil dia masih terkejut dengan kejadian yang berlaku memandangkan PSAS tidak pernah mengalami bencana ribut hingga menyebabkan kerosakan yang banyak serta teruk.

"Saya sangat terkejut dan tidak menyangka perkara ini berlaku, namun bersyukur kerana tiada pelajar mengalami kecederaan semasa kejadian.

"Namun saya berdukacita apabila dimaklumkan salah seorang pengawal keselamatan menerima 10 jahitan di dahi selepas ditimpa bumbung ketika sedang bertugas dalam kejadian terbabit," katanya.

Menurut Naimah, sekurang-kurangnya tujuh blok banggunan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut berkenaan melibatkan tiga blok asrama pelajar, dua blok akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Islam PSAS, serta banggunan kiosk perniagaan pelajar.

Abdul Aziz (kanan) berbual dengan Naimah mengenai kerosakan Pusat Islam PSAS yang dipukul ribut semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ribut: Empat blok asrama politeknik terjejas

"Jumlah kerosakan belum diterima lagi kerana kami masih menunggu laporan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelajar-pelajar terlibat telah dipindahkan ke Pusat Islam PSAS untuk sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar PSAS.

"Ibu bapa pelajar jangan risau kerana setakat ini kebajikan anak-anak anda masih dijaga baik oleh pihak PSAS dan mereka tidak perlu dihantar pulang memandangkan sesi pembelajaran masih berjalan.

"Kerajaan negeri bersama pihak PSAS akan melakukan yang terbaik dalam memastikan kerja-kerja pembaikan bangunan yang rosak dapat dijalankan dengan bantuan kementerian," katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...