> IKON > Bijak guna duit PTPTN, graduan ini simpan sikit setiap bulan buat modal jual kek
Bijak guna duit PTPTN, graduan ini simpan sikit setiap bulan buat modal jual kek
NORHASPIDA YATIM Selasa | 12 Mac 2019

KUALA TERENGGANU - ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, itu perumpamaan yang boleh diberikan kepada Fatimah Awang, 25, yang berasal dari Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus.

Anak sulung tiga beradik ini tabah menempuhi kehidupan biarpun tidak merasai sepenuhnya belaian kasih seorang ayah sejak dia berusia lapan bulan, selepas bapanya, Awang Puteh, 60, lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya.

“Ayah kemalangan ketika saya berusia lapan bulan. Dia mengalami kerosakan tulang belakang dan tidak boleh bangun. Selepas ayah kemalangan, emak saya tidak bekerja kerana tak boleh tinggalkan ayah seorang diri.

“Mak bergantung harap kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk membesarkan kami. Kalau ada perbelanjaan yang tidak mencukupi, ayah akan minta bantuan daripada bapa saudara saya untuk bantu sara keluarga,” katanya.

Serius cuba nasib

Menjadi ‘pengemudi’ keluarga, ia menjadikan jiwa Fatimah atau lebih mesara disapa sebagai Imah lebih cekal untuk mencuba nasib secara serius dalam bidang perniagaan sebaik selesai pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Aneka kek yang dihasilkan Fatimah menerusi jenama Imahfaa.

“Saya mula berniaga dengan modal RM10 untuk beli bahan-bahan kek coklat moist. Waktu tu saya sedang ambil ijazah di UMT. Pelanggan pertama saya ialah rakan senior dan jiran-jiran saya.

“Sebelum dapat geran, wang elaun ketika praktikal saya simpan untuk dijadikan modal perniagaan. Selain itu, duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun saya simpan sikit setiap bulan untuk dijadikan modal perniagaan.

“Daripada jualan kek coklat itu saya mula beli ketuhar dan pengadun kecil untuk kegunaan saya,” kata graduan Sains Matematik Kewangan itu.

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian, dia menjalani latihan selama tiga bulan di bahagian kewangan Maidam sebelum mengikuti Terengganu Graduate Transformation Programme (TGTP) selama enam bulan.

“Masa sertai TGTP, ada kawan saya cerita mengenai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) yang memberi geran RM15,000 bagi memulakan perniagaan.

“Saya pun cuba mohon dan menjalani temu duga. Selepas terpilih mengikuti Tube 5.0, saya ikuti kursus selama tiga minggu di kem Program Latihan Khidmat Negara (PKN) Padang Kachung, Marang dan menjalani latihan di sebuah kedai kek di Gong Badak,” katanya.

Antara produk jenama Imahfaa yang dihasilkan Fatimah.

Minat berniaga sejak kecil

Menurut Fatimah, dia menyimpan hasrat berniaga kerana dapat menguruskan masa sendiri, dalam masa sama membantu ibunya, Rozita Umar, 45, menjaga bapa serta dua adiknya, Shahirah, 15, dan Salwa Salsabila, 10.

“Memang saya minat berniaga sebab sejak di bangku sekolah rendah saya dah mula tolong emak jual kerepek pisang dan kuih-muih.

“Bila boleh buka perniagaan di rumah, saya tak tinggal jauh daripada keluarga. Lagipun, mak saya tak pandai bawa motosikal, sayalah yang akan bawa dia ke mana-mana termasuk menghantar dan mengambil adik-adik di sekolah,” katanya.

Antara tart yang dihasilkan Fatimah.

Dapat geran SME Corp

Fatimah kini hampir enam bulan mengusahakan kek jenama Imahfaa secara atas talian (Facebook dan Instagram). Selain kek, dia juga menghasilkan chocorice, creampuff, tart telur, tart nanas, brownies dan kek batik.

“Saya dapat geran SME Corp dalam bulan Ogos 2018. Sebelum dapat geran saya buat kek sikit-sikit dulu. Dah dapat geran saya mula beli keperluan seperti meja, peti, ketuhar, pencetak, komputer riba dan pengadun.

“Saya betul-betul serius berniaga dengan jenama sendiri Oktober tahun lalu dan buat penghantaran (COD) di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan menaiki motosikal kepunyaan bapa saudara,” katanya yang kini mempunyai dua ejen di Kajang dan Johor Bahru.

Cuba resipi sehingga menjadi

Fatimah berkata, dia belajar membuat kek sendiri melalui resipi dalam Facebook dan internet.

Belajar membuat kek sendiri melalui resipi di media sosial.

“Alhamdulillah, banyak yang menjadi dan setakat bulan ini sahaja (Mac 2019) saya dapat pulangan dalam RM1,000 termasuk melalui ejen saya. Sehari saya boleh dapat dalam RM100 untuk COD sahaja,” katanya.

Fatimah turut berterima kasih kepada SME Corp Malaysia kerana memberi pinjaman sekali gus membantunya membina karier dan merealisasikan impian.

“Kalau ikutkan saya rasa letih uruskan seorang diri perniagaan ini tapi saya nekad untuk berkorban. Kalau saya tak berkorban siapa yang nak jaga adik-adik, ibu dan bapa saya,” katanya.

Fatimah kini sedang menyambung sarjana sains penyelidikan penuh di Fakulti Informatik dan Komputeran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan bercita-cita ke peringkat doktor falsafah (PhD).


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...