> > Bukan penghalang! Kembar albino dan yang kekurangan fizikal ini turut buktikan cemerlang dalam STPM
Bukan penghalang! Kembar albino dan yang kekurangan fizikal ini turut buktikan cemerlang dalam STPM
BERNAMA Isnin | 11 Mac 2019

SERI KEMBANGAN - Kekurangan dari segi fizikal tidak mematahkan semangat pasangan kembar albino, Nur’ Aqilah Zamri dan Nur’ Afifah Zamri, 20, dengan salah seorang daripada mereka dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 bagi kategori pelajar istimewa-rabun hari ini.

Nur’ Aqilah yang mendapat anugerah itu berjaya mencatatkan keputusan 4A dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif manakala kembarnya juga mendapat 4A tetapi dengan PNGK 3.84.

"Saya dan Afifah (adik) ingin membuktikan bahawa keadaan fizikal kami bukan penghalang bagi kejayaan dalam pendidikan. Rahsia kejayaan kami adalah bergaul dengan rakan yang bermatlamat jauh dan saling menyokong antara satu sama lain.

"Elakkan daripada mengulangkaji dalam kumpulan besar kerana bagi kami ia akan menganggu proses pembelajaran, sentiasa buat nota kecil, jangan malu untuk bertanya kepada guru sekiranya tidak faham dan yang paling penting mendapatkan restu ibu bapa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2018.

Kedua-dua mereka yang juga pelajar Tingkatan Enam St.John’s Institution Kuala Lumpur sebelum ini mengikuti pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak.

Ibu mereka Norlili Ibrahim, 49, berkata pasangan kembar itu sering diterapkan dengan ayat-ayat positif sejak kecil lagi bahawa kekurangan mereka tidak boleh dijadikan halangan dalam setiap perkara yang mereka buat.

"Pengalaman mempunyai anak sulung lelaki yang juga albino membantu dalam membesarkan mereka tapi dengan pendekatan berbeza, lelaki jenis kuat sikit, perempuan mudah tersentuh jadi positif approach yang kami gunakan Alhamdulillah menjadi.

"Cabaran mereka adalah ketika berada di sekolah aliran biasa dahulu, namun selepas ditukar ke sekolah khas di Setapak kami nampak perkembangan kembar ini lain, terima kasih kepada guru yang mengajar,” katanya yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Sementara itu, penyakit saraf tulang belakang (Spina Bifida) tidak langsung menghalang Nur Nabilah Shaikh Abdul Jalil, 20, untuk merangkul PNGK 4.00 bagi keputusan STPM 2018 sekali gus meraih anugerah pelajar terbaik STPM 2018 bagi kategori khas-sakit kritikal.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu tidak pernah menganggap kelemahan dirinya sebagai satu kekurangan, bahkan beliau reda dengan ujian itu dan terus melangkah ke hadapan bagi menggapai impiannya menjadi ahli akademik yang berjaya suatu hari nanti.

"Saya hadapi penyakit Spina Bifida sejak lahir tetapi saya langsung tidak boleh berjalan apabila saya memasuki Darjah Enam. Sejak itu, saya perlu menjalani fisioterapi di hospital setiap dua minggu sekali tetapi ia langsung tidak mengganggu fokus saya untuk berjaya dalam pelajaran.

"Nasihat saya kepada sahabat yang mengalami kekurangan dan kecacatan anggota, jangan menganggap perkara itu sebagai kelemahan bahkan kita perlu atasinya dengan kecemerlangan dalam pelajaran dan akhlak kerana kita juga ada hak untuk berjaya seperti orang lain," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya Shahina Bagum Syed Muhamed dan Shaikh Abdul Jalil Abu Tahir serta guru di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin Alor Setar kerana tidak pernah putus memberi sokongan padu kepadanya sehingga beliau berjaya dengan cemerlang dalam STPM. -- Bernama


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...